red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 8hb Mei 2012: 

Adakah Najib akan menunaikan janjinya untuk mewujudkan di Malaysia “sistem demokrasi terbaik di dunia” dan mengaku kalah secara berhemah seperti Sarkozy?

Dalam pemilihan Presiden negara Perancis yang berlangsung pada hari Ahad lalu, calon penyandang Nicolas Sarkozy telah mengaku kalah sejurus selepas tamat pengundian, dan mengumumkan bahawa beliau telah mengucapkan tahniah kepada calon Sosialis Francois Hollande sebagai pemimpin baru negara tersebut.

Persoalan yang patut timbul di minda rakyat Malaysia adalah samada Datuk Seri Najib Razak -- yang telah mengumumkan azamnya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai “sistem demokrasi yang terbaik di dunia” -- akan mengaku kalah dengan berhemah seperti Sarkozy jika pengundi memutuskan demikian dalam pilihan raya umum yang akan datang?

Atau, adakah Najib akan masih menegakkan pendiriannya dalam ucapan yang amat dikesali dalam Perhimpunan Agung UMNO dua tahun yang lepas apabila beliau berjanji “walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa” semasa menekankan kesediaan UMNO untuk mempertahankan kuasa dengan apa cara sekalipun di Putrajaya?

Adalah sangat dikesali apabila Najib mengeluarkan tuduhan melulu bahawa perhimpunan aman “duduk bantah” Bersih 3.0 adalah satu percubaan pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.

Boleh dikatakan Najib kian paranoid sehingga sanggup mempercayai kewujudannya percubaan untuk menggulingkan kerajaan oleh rakyat Malaysia yang hanya mahukan keamanan. Walaupun berpuluh ribu rakyat telah berhimpun, mereka adalah bersepakat dalam menuntut pilihan raya yang bersih, dan hanya “bersenjatakan” garam dan botol air untuk "melindungi diri" masing-masing daripada gas pemedih mata dan semburan air kimia yang digunakan oleh pihak polis.

Najib wajib menjelaskan kepada rakyat Malaysia sekiranya pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 memilih untuk mengubah pucuk pimpinan kerajaan persekutuan di Putrajaya – samada beliau berani menerima keputusan pengundi seperti Sarkozy atau adakah beliau akan berdalih kepada ancaman yang dibuatnya di Perhimpunan Agung UMNO yang berbaur “walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa” untuk mempertahankan kuasanya di Putrajaya dengan apa cara sekalipun?

Bagaimanakah Malaysia boleh mempunyai “sistem demokrasi yang terbaik di dunia” apabila kita masih belum memenuhi prasyarat sebagai negarayang mempunyai kerajaan yang berlandaskan prinsip demokrasi yang asas, di mana peralihan kuasa kerajaan melalui pilihan raya yang sah boleh dianggap sebagai suatu peristiwa yang normal dan bukan luarbiasa?

Rakyat Malaysia mahu mengetahui jika Najib akan memohon maaf dan menarik balik bkan sahaja kenyataannya bahawa Bersih 3.0 adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan, tetapi juga ucapannya yang tidak bertanggungjawab dalam Perhimpunan Agung UMNO 2010 yang berbunyi “walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa” apabila ianya jelas bertentangan dengan keinginan beliau untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai “sistem demokrasi yang terbaik di dunia”.


*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional