DAP kini memaparkan laporan penggunaan peruntukan setiap ahli Parlimen DAP untuk kepentingan rakyat, terutamanya di kawasan yang mereka berkhidmat.

Elaun dan peruntukan sama rata diberikan kepada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang selepas memorandum persefahaman (MoU) penting mengenai transformasi politik dan kestabilan dimeterai antara pemimpin Persekutuan dan pembangkang.

Setiap ahli Parlimen diperuntukkan sejumlah tertentu (RM500,000 untuk 'Outright Grant' dan RM1 juta untuk Projek Mesra Rakyat) oleh Kerajaan Persekutuan, yang akan dibelanjakan untuk memperbaiki kawasan pilihan raya mereka sendiri, termasuk tujuan pembangunan atau untuk diberikan sebagai geran atau derma kepada NGO atau persatuan lain dalam kawasan mereka.

Bagi Projek Mesra Rakyat (PMR), ahli-ahli Parlimen DAP telah membelanjakan peruntukan tersebut untuk 324 buah projek. Sejumlah RM11,192,753 dibelanjakan bagi sekolah dan bidang pendidikan, termasuk membaiki/ menaik taraf kemudahan asas, membeli bekalan untuk mengajar dan sebagainya.

Selain daripada bidang pendidikan, ahli-ahli Parlimen DAP juga membelanjakan sejumlah RM 19,051,796.56 bagi 479 projek komuniti kecil, keagamaan dan bidang kesihatan. Bagi pihak IPD, Bomba dan Tentera, jumlah yang dibelanjakan adalah RM 261,124.

Bagi peruntukan secara 'Outright Grant' (OG), ahli-ahli Parlimen DAP telah membelanjakan sejumlah RM22,391,820.43 bagi tahun 2021 dan RM19,546,713.39 untuk fasa 1 tahun 2022. Turut dilaporkan, keseluruhan peruntukan bagi tahun 2021, iaitu RM 10,499,550.82 dan fasa 1 tahun 2022 sejumlah RM 10,706,740.94 digunakan untuk program, persatuan, NGO dan keagamaan.

Bagi kategori kebajikan dan bencana, jumlah yang dibelanjakan adalah RM5,858,519.17 (2021) dan RM5,348,410.65 (fasa 1 2022). Peruntukan ini digunakan untuk pengurusan bencana bagi meringankan beban mangsa-mangsa kejadian bencana alam dan kebajikan rakyat.

Akhirnya, bagi peruntukan pembekalan dan projek fizikal, sejumlah RM2,722,808,30 (2021) dan RM914,808.80 (fasa 1 2022) telah dibelanjakan.