Menjelang PRU13, media arus perdana BN kian mempraktikkan kewartawanan yang tidak beretika dan menggunakan taktik pemalsuan

Menjelang Pilihanraya Umum Ke-13 yang dilihat sebagai penentu terhadap ‘perjuangan politik’ UMNO dan Barisan Nasional oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kedah semalam (atau lebih tepat lagi, untuk ‘perjuangan politik’ beliau sendiri), media arus perdana UMNO/Barisan Nasional kian mempraktikkan kewartawanan yang tidak beretika dalam serangan mereka terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Ini adalah satu bukti bahawa pemimpin-pemimpin UMNO/BN sudah mula takut dan kelihatan terdesak sekiranya kehilangan kuasa memerintah di Putrajaya dalam pilihanraya umum yang akan datang yang dijangka sebagai pilihanraya yang paling kotor dalam sejarah 55 tahun negara ini – dengan penyebaran fitnah dan berita palsu oleh ‘cybertrooper’ UMNO/BN yang mensasarkan individu-individu pemimpin Pakatan Rakyat seperti dakwaan bahawa saya telah kencing dibawah tiang bendera di rumah kediaman Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris di Kuala Lumpur yang telah mencetus rusuhan 13 Mei 1969, sedangkan saya tidak berada di Kuala Lumpur pada 10, 11, 12 dan 13 Mei 1969 atau dakwaan liar yang tidak berasas bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah memprovokasi rusuhan 13 Mei sebagai Ketua Pemuda DAP sungguhpun umur Guan Eng pada masa itu hanyalah 8 lapan tahun!

Propaganda pemalsuan dan fitnah oleh media arus perdana UMNO dapat dilihat dalam laporan akhbar New Straits Times yang bertajuk “’Anti-hopping law unfair and impractical” diatas saranan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng apabila mengemukakan cadangan untuk memperkenalkan satu undang-undang anti-lompat parti. Kata beliau:

“Pengkritik sendiri telah menuding jari kepada pemimpin DAP Lim Kit Siang yang telah memuji tindakan Ahli-ahli Parlimen Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing dari Tuaran dan Datuk Seri Lajim Ukin dari Beaufort apabila kedua-dua mereka meninggalkan Barisan Nasional untuk menyokong pihak pembangkang.”

Ini merupakan satu rekaan semata-mata, dan sehingga sekarang, saya tidak pernah memberi komen berhubung dengan tindakan Wilfred Bumburing dan Lajim Ukiin apabila meninggalkan Barisan Nasional untuk menyokong Pakatan Rakyat.

Pendirian saya mengenai wakil rakyat yang lompat parti adalah jelas dan konsisten dan saya masih memegang kepada pendirian itu dan apa yang telah saya tekankan di Parlimen, 34 tahun yang lalu, pada 21 Mac 1978 di Dewan Rakyat dimana saya membahas usul untuk memperkenalkan rang undang-undang persendirian ahli Dewan Rakyat yang dikenali sebagai Members of Parliament (Prevention of Defection) Act 1978 untuk menjamin integriti politik Ahli-ahli Parlimen.

Inilah ucapan saya di Parlimen pada 21 Mac 1978:

“Saya berdiri sini dibawah Perintah Dewan 49(2) untuk membahas usul untuk memperkenalkan rang undang-undang persendirian ahli Dewan Rakyat yang dikenali sebagai Members of Parliament (Prevention of Defection) Act 1978 yang mewajibkan ahli Dewan Rakyat untuk mengosongkan kerusi Parlimennya dalam tempoh 30 hari dan mengadakan pilihanraya kecil selepas perletakan jawatan atau pemecatan ahli itu daripada partinya dibawah tiket parti yang telah dimenangi.

“Dalam bulan November tahun lepas, saya telah dijemput oleh akhbar harian Tamil, Tamil Nesam untuk menjawab soalan yang telah dihantar oleh pembaca-pembaca akhbar Tamil Nesan. Salah satu soalan yang ditanya adalah berhubung dengan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang telah lompat parti selepas dipilih, dalam pembelotan mereka serta pecah amanah keyakinan yang dimandatkan kepada mereka oleh pengundi.

“Saya telah ditanya mengenai langkah-langkah efektif yang boleh diambil untuk mencegah pengkhianatan politik terhadap mandat yang telah diberikan oleh rakyat. Jawapan saya adalah, cara paling efektif adalah untuk memperkenalkan enakmen undang-undang yang mewajibkan Ahli Dewan Rakyat untuk mengosongkan kerusinya dan mengadakan pilihanraya kecil selepas perletakan jawatan atau pemecatan ahli itu daripada partinya dibawah tiket parti yang telah dimenangi itu. Saya telah berikrar untuk membahas usul rang undang-undang persendirian diatas kepentingan isu ini.

“Rang Undang-undang seperti ini amat penting untuk menjamin integriti politik Ahli-ahli Parlimen yang telah dipilih dan untuk mencegah rasuah politik.

“Tiada apa yang menjengkelkan rakyat Malaysia lebih daripada melihat Ahli-ahli Parlimen atau ADUN yang telah menang dibawah tiket parti dan kemudiannya mengkhianati parti tersebut serta keyakinan orang awam dengan lompat parti. Sikap mereka ini seakan-akan penipu (con-men). Tindakan sebegini memberi nama buruk kepada politik dan mengukuhkan lagi persepsi awam bahawa “politik itu kotor”, akan tetapi apa yang kotor adalah orang yang kotor yang menceburi politik dan menjadikannya kotor pula.

“Pengkhianatan oleh Ahli-ahli Parlimen atau ADUN yang telah memenangi dibawah tiket parti merupakan sesuatu yang sememangnya tidak boleh diterima dan tidak beretika, bukan sahaja disebabkan oleh kualiti peribadi mereka tetapi kerana wakil rakyat yang telah dipilih itu boleh dijual-beli.

“Sekiranya seorang Ahli Parlimen yang dilantik itu meletak jawatan atau dipecat daripada partinya dibawah tiket parti yang telah dimenangi itu, wakil rakyat itu mestilah meletak jawatan dan mengadakan satu pilihanraya kecil. Jika perletakan jawatan dan pemecatannya itu berdasarkan prinsip politik yang menerima sokongan rakyat, maka, pemilihan semula sebagai Ahli Parlimen atau ADUN tidak akan menjadi satu masalah.

“Rang undang-undang yang saya memperkenalkan akan memartabatkan integriti politik Ahli Parlimen dan akan menjadi batu penghalang kepada kemerosotan politik. Sesiapa yang mahu melihat arena politik yang lebih bersih harus menyokong perkara ini.”

Perdana Menteri pada tahun 1990, Datuk Seri Mahathir Mohamad, yang telah dicekam oleh ketakutan akan perletakan jawatan oleh Ahli Parlimen diatas sebab prinsip peribadi yang akan memaksa pilihanraya kecil diadakan, telah menyalahgunakan kuasa dua pertiga majoriti di Parlimen untuk menggubal Perlembagaan dengan memperkenalkan Artikel 48(6) baru yang ditetapkan sebagai:

“48(6) - Seseorang yang melepaskan keahliannya di dalam Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat.

Artikel 48(6) Perlembagaan Persekutuan mesti ditarik balik sekiranya mana-mana undang-undang anti-lompat parti dilaksanakan – dengan memberi kebenaran kepada mana-mana Ahli Parlimen atau ADUN yang meletak jawatan diatas prinsip politiknya untuk memperoleh mandat baru daripada pengundinya dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan.

Saya yakin kedua-dua Wilfred Bumburing dan Lajim Ukiin akan sedia untuk meletak jawatan daripada memegang kerusi parlimen mereka untuk memberi laluan kepada pilihanraya kecil diadakan untuk mendapat sokongan dan mandat baru diatas keputusan politik yang telah diambil untuk meninggalkan Barisan Nasional dan menyokong Pakatan Rakyat – sekiranya mereka tidak dihalang daripada bertanding dalam pilihanraya kecil berdasarkan Artikel 48(6) Mahathir dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur