Ucapan dasar Ketua Pemuda Sosialis DAP Loke Siew Fook di Kongres Kebangsaan DAPSY

“Buka Lembaran Baru”

Tuan Speaker Kongres DAPSY 2012 Sdr Ean Yong Hian Wah, Penasihat Seumur Hidup Parti Sdr Dr.Chen Man Hin, Setiausaha Agung DAP Sdr Lim Guan Eng, Ketua Wanita DAP Sdri Chong Eng, Ahli-ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY dan Wanita, para perwakilan dan pemerhati, wakil-wakil dari Dewan Pemuda PAS dan Angkatan Muda Keadilan, wakil-wakil media massa, tuan-tuan dan puan-puan, saudara dan saudari yang saya hormati sekalian, selamat pagi dan salam Ubah! Selamat datang ke Kongres Kebangsaan DAPSY 2012.

Negaraku, tanggungjawab bersama, Masa depan milik kita semua, Jalan berliku tentu mencabar, Bersama kita harungi. Orang muda pikul harapan bangsa, Mara depan negara tentu cerah, Kuat semangat kita berjuang, Bersama menuju cita-cita rakyat. Ubah, selamatkanlah Malaysia, Bersama pahatkan sejarah, Buka lembaran baru, Sama-sama kita menuju, Perubahan di tanganmu! Petikan-petikan ini adalah lirik lagu tema PRU13 untuk DAP. Lirik lagu ini bukan sahaja sedap didengar namun setiap ayat perlu dihayati pengertiannya supaya seluruh anggota DAPSY faham halatuju kita bersama dalam PRU13. Saya akan cuba melakarkan pengertian ini dalam ucapan dasar saya pada pagi yang mulia ini.

Negaraku, tanggungjawab bersama

Negaraku, tanah tumpah darahku. Ayat ini terpendam dalam minda dan naluri setiap anak Malaysia sejak di bangku sekolah lagi. Malaysia adalah negara kita yang dibentuk dan dibangunkan bersama oleh rakyat berbilang kaum baik Melayu, India, Kadazan, Iban dan Cina dari segenap lapisan masyarakat baik dari bandar atau luar bandar, pekan atau desa, kampung baru atau estet, sama ada petani mahupun nelayan, doktor mahupun peguam, peniaga mahupun penjaja, polis mahupun tentera, wartawan mahupun ahli politik. Pokoknya, kepelbagaian kaum, agama, bahasa, wilayah dan kemahiran inilah yang merupakan benteng kekuatan dan resipi yang mengacu kewujudan negara Malaysia. Falsafah dan dasar yang mengambil kira dan menghormati kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia mesti dipertahankan dan dimartabatkan sepanjang masa untuk meneruskan kesinambungan negara yang tercinta ini.

Kehidupan bermasyarakat bermaksud kepentingan masyarakat menjangkaui kepentingan peribadi. Ideologi sosial demokrasi mendukung prinsip bahawa setiap anggota dalam masyarakat mempunyai tanggungjawab dan perlu memainkan peranan untuk memastikan masyarakat tersebut dapat hidup dalam keadaan aman dan saksama. Yang kuat membantu yang lemah, yang kaya membantu yang miskin, yang sihat membantu yang sakit, yang memimpin membantu yang dipimpin. Ini namanya “SOLIDARITI” bukanlah “you help me, I help you”! Setiap rakyat perlu memikul tanggungjawab bersama untuk memastikan masa depan Malaysia yang lebih cerah.

Masa depan milik kita semua

Selepas 55 tahun mencapai kemerdekaan dan negara bangsa yang bernama Malaysia dibentuk pada tahun 1963, kini rakyat Malaysia telah sampai ke satu persimpangan jalan politik. Dalam 2 hingga 3 bulan yang akan datang, rakyat Malaysia perlu membuat satu pilihan kritikal untuk menentukan masa depan yang lebih cerah yang dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat. Terdapat dua pilihan di depan kita. Satunya ialah meneruskan jalan lama dimana kita membiarkan satu rejim yang korup dan rakus kuasa yang didominasi oleh satu parti perkauman yang langsung tidak menghormati lunas demokrasi dan sentiasa bersedia melaung-laungkan ugutan Mei 13 untuk menakut-nakutkan rakyat supaya terus mengekalkan kuasa pemerintahan mereka.

Namun, buat kali pertamanya dalam sejarah pilihanraya di Malaysia, PRU13 menawarkan satu pilihan alternatif yang jelas kepada rakyat Malaysia iaitu Pakatan Rakyat yang bersedia mengambil alih tampuk pentadbiran negara dengan bertunjangkan falsafah keadilan kepada semua, merakyatkan kekayaan negara dan kerajaan yang memartabatkan konsep “ketuanan rakyat”. Ke arah manakah Malaysia akan menuju mestilah ditentukan melalui undi keramat 13 juta rakyatnya dalam PRU13 dan bukan lagi beberapa kerat politikus di Putra World Trade Center seperti saban tahun selama ini. Masa depan Malaysia milik kita semua dan sudah tiba masanya kita semua menuntut semula kuasa penentu nasib dan halatuju negara yang tercinta ini.

Jalan berliku tentu mencabar

Persaingan dalam PRU13 bakal menjadi pertarungan politik yang paling sengit dalam sejarah pilihanraya negara. Tanda-tanda kepanikan Barisan Nasional jelas kelihatan dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Mereka sedar bahawa Pakatan Rakyat merupakan satu pencabar yang serius terhadap Barisan Nasional dan keupayaan Pakatan Rakyat untuk meraih sokongan rakyat semakin terserlah. Itu sebabnya mereka terus menyerang PAS, PKR dan DAP secara bertubi-tubi kerana taktik-taktik lapuk mereka untuk melaga-lagakan PAS dan DAP sejak tahun 2008 yang bertujuan untuk memecahkan Pakatan Rakyat tidak berhasil sama sekali. Oleh kerana cabaran yang kuat ini terhadap tampuk kuasa mereka, maka kita perlu bersiap-sedia dengan cara yang paling kotor yang mereka akan mainkan dari sekarang hingga PRU 13 untuk mengekalkan kedudukan di Putrajaya.

Jalan di depan kita terutamanya menjelang kempen PRU 13 adalah berliku-liku dan penuh dengan cabaran. UMNO akan meneruskan fitnah mereka terhadap DAP bahawa DAP adalah parti anti-Melayu dan satu undi kepada DAP bermaksud satu undi kepada penindasan terhadap kaum Melayu. Tujuan mereka ialah untuk menyemai kebencian masyarakat Melayu terhadap DAP dan menolak calon-calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya nanti. Kita nak menegaskan bahawa DAP tidak pernah anti kepada kaum Melayu ataupun kaum-kaum yang lain. DAP hanya anti-rasuah, anti-penyalahgunaan kuasa dan anti-dasar perkauman. Satu undi kepada DAP ialah satu undi untuk kerajaan yang cekap, akauntabaliti dan telus.

Tatkala UMNO memfitnah DAP sebagai penindas kaum Melayu, MCA pula terus menipu masyarakat bukan Melayu khususnya masyarakat Tionghua bahawa DAP penjual prinsip dan hak kaum bukan Melayu dan tunduk kepada agenda PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia. Ini merupakan satu penipuan politik yang paling keji sekali. Pendirian DAP dalam isu hukum hudud cukup jelas selama ini iaitu perlaksanaan hukum hudud adalah tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia. Namun, kita tidak akan sesekali memburuk-burukkan hukum Islam mahupun hukum agama-agama lain dan tidak pernah menakut-nakutkan orang bukan Islam terhadap Islam seperti yang dilakukan oleh MCA. Satu undi untuk DAP dan Pakatan Rakyat bukannya satu undi untuk hukum hudud tetapi satu undi untuk menegakkan negara hukum yang mendaulatkan konsep “rule of law”, pemisahan kuasa di antara cabang ekskutif, legislatif dan kehakiman dalam erti kata yang sebenarnya dan perlaksanaan undang-undang yang menghormati hak asasi manusia.

Bersama kita harungi

Walau apapun serangan fitnah dari UMNO dan MCA, DAP tetap komited terhadap Pakatan Rakyat. DAPSY menyokong penuh hala tuju kepimpinan parti untuk terus memperkukuhkan asas dan benteng Pakatan Rakyat sebagai alternatif dan pengganti kepada Barisan Nasional. Bak kata pepatah Melayu, “Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh”. DAP mesti terus bersatu dengan PKR dan PAS kerana kesatuan kita dalam Pakatan Rakyat adalah mimpi ngeri untuk UMNO dan BN. Sekiranya ketiga-tiga parti ini bercerai, maka ia adalah mimpi yang paling manis buat mereka dan kita seolah-olah menghadiahkan “walkover” politik kepada BN dalam PRU 13.

Seluruh anggota DAP, PKR dan PAS perlu menghadapi cabaran dalam PRU13 secara bersama. UMNO dan BN akan terus menggunakan taktik “pecah dan perintah” dengan menyampaikan propaganda yang berlainan kepada kumpulan sasar mereka. Seluruh kepimpinan DAPSY dari peringkat pusat sehingga peringkat bahagian mesti memainkan peranan pro-aktif dalam kempen perang saraf dengan menyakinkan para pengundi khasnya pengundi muda untuk menyokong calon Pakatan Rakyat baik calon tersebut mewakili DAP, PKR ataupun PAS. Objektif kita bersama ialah menumbangkan rejim BN. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kami berharap usaha seumpama ini juga akan dilaksanakan secara bersepadu oleh rakan-rakan kami dalam Pemuda PAS dan AMK.

Orang muda pikul harapan bangsa

PRU13 bakal menyaksikan “pengundi pertama kali” atau “first-time voter” yang paling ramai dalam sejarah pilihanraya negara. Mengikut angka dari SPR, 2.9 juta pengundi baru telah mendaftarkan diri sejak Mac 2008 yang sudah tentunya kebanyakan dari jumlah ini adalah golongan muda. Jumlah ini mewakili lebih 20% daripada 13.1 juta pengundi dalam Daftar Pemilih Induk yang bakal digunapakai dalam PRU13. Fenomena yang cukup memberangsangkan ini sudah tentunya lahir dari kesedaran politik yang tinggi di kalangan anak muda pasca 8 Mac 2008 yang memberikan satu nafas dan pengertian baru dalam sistem demokrasi kita. Namun, hakikat ini juga dibantu dengan kempen pendaftaran pemilih yang begitu agresif yang dilancarkan oleh DAPSY dan penolong-penolong pendaftar parti di seluruh negara. Mengikut rekod yang diperolehi, dari bulan Januari 2010 hingga Ogos 2012, jumlah pengundi baru yang didaftarkan oleh penolong pendaftar DAP mencecah 219,973 orang dan merupakan yang tertinggi di kalangan parti-parti pembangkang! Tahniah kepada saudara-saudari dari Pulau Pinang yang mendahului negeri-negeri lain dengan pendaftaran 54,829 pengundi dalam tempoh tersebut.

DAPSY akan terus memainkan peranan sebagai landasan untuk melatih pelapis kepimpinan parti. Hakikatnya, ramai pemimpin utama parti pada hari ini mencungkil bakat kepimpinan mereka melalui DAPSY. Mantan Ketua DAPSY Sdr Lim Guan Eng merupakan Setiausaha Agung Parti dan Ketua Menteri Pulau Pinang pada hari ini. Seorang lagi mantan Ketua DAPSY iaitu Sdr Teng Chang Khim pula menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor sejak tahun 2008. Mantan Ketua DAPSY sebelum saya iaitu Sdr Nga Kor Ming pula pernah memegang jawatan Ahli EXCO Negeri Perak. Pokoknya, golongan belia mesti diberikan peluang dan diasah bakat mereka untuk memikul tanggungjawab parti pada usia yang muda supaya mereka mendapat pendedahan dan pengalaman yang secukupnya untuk memimpin parti pada masa hadapan.

Kita mahu mengekalkan DAPSY sebagai satu sayap belia yang benar-benar muda yang memahami citarasa dan aspirasi golongan muda di Malaysia. Ketua Pemuda dan seluruh pimpinan DAPSY bukan sahaja perlu “muda dalam hati” tetapi mesti juga “muda dari segi fizikalnya”. Di atas kesedaran inilah, saya secara sukarela melepaskan jawatan Ketua DAPSY pada usia 35! Justeru, dengan sukacitanya saya ingin mencadangkan supaya usia ahli-ahli DAPSY diturunkan dari umur 40 ke 35. Cadangan ini telah pun mendapat kelulusan dari Majlis Ekskutif Kebangsaan DAPSY dan saya amat berharap ia dapat diluluskan oleh para perwakilan dalam usul pindaan Perlembagaan DAPSY pada sebelah petang nanti. Sekiranya cadangan ini diluluskan, syarat ini akan berkuatkuasa mulai tahun 2014 dan menjelang Kongres Kebangsaan DAPSY yang akan datang, semua calon untuk kepimpinan DAPSY terdiri daripada mereka yang kurang daripada 35 tahun.

Mara depan negara tentu cerah

DAPSY mesti berani memimpin golongan muda untuk terus mara ke depan tanpa dibebani dengan isu-isu perkauman lampau yang sering digunakan sebagai senjata politik oleh BN. Sudah cukup rakyat Malaysia dipecah-belahkan oleh dasar-dasar Barisan Nasional selama 55 tahun yang langsung gagal menjana perpaduan nasional di kalangan rakyat berbilang kaum. 1Malaysia hanya satu slogan kosong yang tidak didefinasikan dengan pengertian yang bermakna. Justeru itu, DAPSY perlu sentiasa menjuarai isu-isu yang menjangkaui batasan kaum dan mempertahankan kepentingan rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit, latarbelakang agama mahupun wilayah.

Golongan muda pada hari ini amat prihatin terhadap isu urus tadbir yang baik, ketelusan dan kesaksamaan dasar kerajaan, hak asasi manusia dan paling utama sekali, isu alam sekitar yang menjejaskan kelestarian bumi untuk generasi masa hadapan. Himpunan Bersih 2.0 dan 3.0, Himpunan Hijau serta Green Walk Anti-Lynas yang disertai dan didokong oleh anak-anak muda merupakan manifestasi terhadap perkembangan fenomena baru ini di Malaysia. Kita kena sentiasa peka dengan kehendak dan permintaan golongan muda. Golongan ini mempunyai akses maklumat yang begitu tinggi dan mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang masing-masing. Lantaran itu, retorik politik semata-mata tidak cukup untuk memenangi sokongan dan hati mereka. Kita perlu berhujah dengan penuh fakta dan pengetahuan serta menggunakan pendekatan yang holistik untuk mencari penyelesaian yang menyeluruh dalam sesuatu isu. Kepimpinan DAPSY di semua peringkat perlu mempersiapkan diri dan sentiasa meningkatkan keupayaan diri sendiri untuk menghadapi cabaran ini. Hanya parti politik dan kerajaan yang sentiasa memimpin rakyatnya mara ke depan yang dapat menjamin masa depan negara yang lebih cerah.

Kuat semangat kita berjuang

Seluruh kepimpinan dan keahlian DAPSY mesti memperkuatkan semangat perjuangan untuk menghadapi PRU13. Kita mesti berani berjuang dan menyakinkan pengundi khususnya golongan muda untuk menyokong perubahan. Kita mesti berani lawan Barisan Nasional hujah dengan hujah, poster dengan poster, risalah dengan risalah, Facebook dengan Facebook, Twitter dengan Twitter dan Youtube dengan Youtube dalam semua medan perang kempen sama ada di lapangan mahupun di alam siber. Pendirian dan perjuangan kita adalah jelas iaitu membawa perubahan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

Tidak ada yang perlu digusari tentang Pemuda BN. Suara Pemuda UMNO yang berpengaruh pada satu ketika dulu sudah semakin pudar dan kehilangan taringnya sehinggalah desakan mereka untuk menangguhkan pelaksanaan AES pun tidak diendahkan oleh kerajaan pimpinan parti mereka sendiri. Ketuanya pula langsung tidak diberi kepercayaan oleh Presiden partinya sehingga tidak lantik dalam Kabinet. Pemuda MCA pula semakin hari semakin tidak relevan di kalangan golongan muda apatah lagi ketuanya yang hanya pandai menangis di khayalak ramai untuk menaruh simpati politik. Pemuda MIC dan Gerakan pula, tidak perlulah kita buang masa. Yang penting ialah rakyat, bukan mereka.

Bersama menuju cita-cita rakyat

Misi kita dalam PRU13 ialah memimpin dan membawa rakyat menuju ke arah cita-cita yang kita idami bersama. Rakyat Malaysia khasnya golongan muda mengimpikan sebuah kerajaan yang mengutamakan kecekapan, akauntabiliti, ketelusan dan bebas dari rasuah. Kita juga mahu menikmati alam sekitar yang segar dan lestari, perumahan yang selesa, sistem pengangkutan awam yang cekap, keadaan persekitaran yang selamat, perkembangan kesenian dan kebudayaan selain hak-hak asasi manusia sejagat yang sentiasa terjamin.

Anak muda yang baru memasuki alam pekerjaan mengharapkan pendapatan boleh guna yang lebih tinggi dan menikmati dasar kerajaan yang membolehkan mereka memiliki kereta berkualiti dengan harga yang lebih rendah tanpa dibebani dengan hutang-piutang yang bakal membankrapkan mereka. Pokok pangkalnya, rakyat Malaysia sepatutnya menikmati kualiti kehidupan yang lebih tinggi dan bukan lagi terperangkap dalam “middle-income trap”. Cita-cita ini bakal menjadi kenyataan dengan kesungguhan kerajaan baru di bawah Pakatan Rakyat meletakkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sebagai agenda utama dalam masa 5 tahun yang akan datang. Ubah, selamatkanlah Malaysia.

Selain mengejar harapan dan impian kita bersama, misi kita untuk merealisasikan perubahan dalam PRU13 ialah untuk menyelamatkan Malaysia dari kerakusan kuasa dan rasuah yang parah di bawah rejim BN. Malaysia adalah sebuah negara yang bertuah dan dikurniakan dengan kekayaan sumber asli, namun disebabkan pemimpin yang tamak haloba dan pengurusan khazanah negara yang tidak berhemah maka hutang negara telah mencecah RM502 billion yang merupakan rekod tertinggi dalam sejarah kewangan negara. Peningkatan hutang yang begitu mendadak ini disebabkan oleh defisit belanjawan negara yang berpanjangan sejak krisis kewangan pada tahun 1998. Walaupun Malaysia bukan berada dalam keadaan krisis ekonomi pada ketika ini, hakikatnya belanjawan defisit sudah menjadi satu kebiasaan dalam pentadbiran BN.

Skandal demi skandal yang melibatkan pemimpin atasan BN termasuk Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri dan keluarga mereka jelas membuktikan gejala rasuah yang berleluasa dalam pentadbiran sedia ada. Laporan Ketua Audit Negara semakin tebal tahun demi tahun yang membongkarkan kepincangan dan pemborosan sumber yang keterlaluan di pelbagai peringkat jabatan kerajaan. Namun, apa yang paling mendukacitakan rakyat Malaysia ialah kegagalan dan ketidakinginan pucuk pimpinan kerajaan di bawah BN untuk melancarkan perang terhadap rasuah. Rasuah adalah kanser yang paling membahayakan kesihatan ekonomi Malaysia. Kita sering mendengar kritikan dari pihak BN kononnya dasar-dasar pro-rakyat yang diketengahkan oleh Pakatan Rakyat akan membankrapkan negara dalam masa terdekat. Yang pasti, kerajaan yang membantu meringankan beban kehidupan rakyat tidak akan membankrapkan negara, hanya kerajaan yang korup dan memperkosa khazanah dan kekayaan negara yang akan membawa negara ke arah kehancuran.

Bersama pahatkan sejarah

Bukan setiap generasi mempunyai peluang untuk memahatkan sejarah dalam proses kenegaraan. Generasi kita pada hari ini sebenarnya merupakan golongan yang sangat bertuah kerana kita hidup dalam satu era yang sedang menyaksikan proses pendewasaan masyarakat dan pendemokrasian negara kita. Kita berada di ambang perubahan dan bakal menjadi penentu halatuju negara selepas PRU13. Marilah kita sama-sama pahatkan sejarah sebagai generasi pengundi yang membawa Malaysia ke era demokrasi yang tulen dengan merealisasikan sistem dua parti dengan memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat sebagai Kerajaan Persekutuan yang baru pasca PRU13. Kita juga ingin pahatkan sejarah sebagai generasi pengundi yang menamatkan riwayat pentadbiran Barisan Nasional dan menjadikan mereka sebagai parti pembangkang yang baru di Malaysia.

Buka lembaran baru, sama-sama kita menuju, Perubahan di tanganmu!

Kita menyeru rakyat Malaysia supaya menggunakan peluang keemasan ini yang telah dinanti-nantikan sekian lama dengan sebaik mungkin. DAP yang ditubuhkan pada tahun 1966 telah melalui pelbagai cabaran dan rintangan dalam politik Malaysia selama hampir lima dekad. Tidak pernah dalam sejarah parti kita mempunyai harapan dan peluang yang begitu baik untuk menumbangkan rejim BN. Kerjasama DAP bersama PAS dan PKR telah mewujudkan satu kekuatan baru dalam politik Malaysia yang membolehkan rakyat Malaysia mempunyai pilihan dalam kertas undi untuk menentukan sebuah kerajaan yang baru. Marilah kita menggunakan kuasa undi keramat ini untuk membuka satu lembaran baru untuk sebuah Malaysia yang adil, demokratik, bersih dan progresif dimana rakyatnya hidup bersatu padu dalam keadaan aman dan damai. Kini, semboyan telah dibunyikan, panji-panji telah dikibarkan, manifesto telah disiapkan, hanya menunggu pembubaran Parlimen dan perubahan bakal di tanganmu!

Penutup

Ahli-ahli DAPSY perlu memainkan peranan yang penting dalam misi yang bersejarah ini untuk membawa perubahan kepada Malaysia. Marilah kita rapatkan angkatan dan memberikan sokongan yang padu kepada kepimpinan parti untuk mencipta kejayaan yang terulung dalam PRU13. Saya berasa bangga menyatakan bahawa budaya politik dalam DAPSY semakin matang. Walaupun Kongres pada hari ini menyaksikan persaingan dalam hampir semua jawatan tertinggi, namun proses kempen telah dijalankan dengan penuh berhemah dalam semangat persaudaraan yang cukup tinggi. Tidak kiralah yang datang dari Ipoh ataupun Bahau, Georgetown ataupun Johor Bahru, Kuching ataupun Kota Kinabalu, destinasi kita adalah sama iaitu sama-sama menuju ke Putrajaya. Saya menyeru kepimpinan DAPSY baru yang bakal dibentuk pada petang ini untuk meneruskan agenda pengukuhan organisasi dan membawa DAPSY ke persada yang lebih tinggi. Selamat berjuang! Terima kasih.

Hidup DAPSY!
Hidup DAP!
Hidup Pakatan Rakyat!
Hidup Malaysia!

Loke Siew Fook Ketua Pemuda Sosialis DAP & Ahli Parlimen Kawasan Rasah