Hubungan Indonesia-Malaysia akan makin regang jika PM tidak segera minta maaf

Malaysia semakin menjadi bahan lawak antarabangsa apabila sebuah rencana yang dikarang mantan Menteri Penerangan Malaysia Tan Sri Zainudin Maidin telah ditegur oleh Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono sebagai “tidak wajar dan tidak beretika”.

Malah, mengikut laporan Bernama, Presiden Susilo menambah bahawa artikel yang disiarkan dalam akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia, boleh menjejaskan hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia.

Ekoran lawatan mantan Presiden Indonesia Dr BJ Habibie ke Malaysia atas jemputan Penang Institute dan Unisel, Tan Sri Zainudin telah menulis sebuah artikel yang antara lainnya melabelkan Pak Habibie sebagai “gunting dalam lipatan” terhadap Suharto serta seorang pemimpin yang telah “mengkhianati bangsa dan negaranya”.

Kata Tan Sri Zainudin: “Beliau disingkirkan setelah menjadi Presiden Indonesia hanya selama 1 tahun lima bulan kerana bersetuju dengan desakan Barat supaya mengadakan pungutan suara ke atas penduduk Timor Timur dalam Wilayah Indonesia menyebabkan Timor Timur terkeluar daripada Negara Kesatuan Republik Indonesia pada 30 Ogos 1999.”

Dalam erti kata lain, Tan Sri Zainuddin sebagai bekas anggota Kabinet Malaysia menyifatkan Pak Habibie sebagai pengkhianat semata-mata kerana kerana telah memberi hak kepada rakyat Timor-Leste untuk memilih kerajaan sendiri setelah dijajah selama berdekad-dekad oleh kerajaan pusat Indonesia.

Tan Sri Zainudin juga menyatakan bahawa dasar pendemokrasian Pak Habibie telah mengakibatkan porak-peranda politik dan perpecahan rakyat Indonesia kepada 48 parti politik yang berlainan. Adakah Tan Sri Zainudin bermaksud bahawa rakyat Indonesia tidak sepatutnya mempunyai kebebasan untuk berpersatuan?

Akhir sekali, Tan Sri Zainudin juga menyamakan Pak Habibie dengan “anjing imperialisme”.

Penghinaan Tan Sri Zainudin terhadap Pak Habibie harus dikecam dengan kuat. Sampai sekarang, tiada permintaan maaf daripada mantan menteri mahupun Utusan Malaysia. Ini menunjukkan sikap UMNO yang sanggup memperlekehkan seorang pemimpin negara jiran demi motif politik, seolah-olah bangsa Indonesia itu rendah kedudukan mereka di mata para pemimpin UMNO.

Dakwaan Tan Sri Zainudin ini jelas menyerlahkan sikap bodoh sombong yang langsung tidak mengendahkan hakikat bahawa Pak Habibie merupakan watak penting dalam proses peralihan Indonesia.

Walaupun tidak lama di tampuk kuasa, reformasi-reformasi yang telah dilaksanakannya telah sedikit sebanyak menzahirkan demokrasi dan desentralisasi setelah berpuluhan tahun di bawah kerangka autokratik Suharto. Oleh itu, Pak Habibie merupakan seorang negarawan yang disanjungi ramai rakyat Indonesia.

Kejumudan minda Tan Sri Zainuddin dan keengganan beliau serta Utusan Malaysia untuk meminta maaf kepada Indonesia, sehingga menerima teguran yang memalukan daripada Presiden Indonesia, akan pasti meregangkan hubungan dua hala antara negara kita dan Indonesia.

Untuk mengelak tercetusnya krisis diplomatik, Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak harus segera meminta maaf atas kesilapan mantan menteri Malaysia yang menghina seorang pemimpin negara jiran dengan bahasa yang sangat kasar dan tidak sopan.

Zairil Khir Johari Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan