TPM mungkir janji Sekolah Tamil
Tan Sri Muhiddin Yassin telah menjanjikan RM2.5juta untuk pembinaan banguanan baru untuk SJKT Gunung Rapat. Janji ini dibuat pada bulan November 2011 sewaktu beliau berucap di Progaram Pesta Deepavali di Little India, Jalan Lahat, Ipoh. Ucapan itu dibuat dihadapan ribuan orang-orang India yang datang ke pesta itu. Tetapi, sehingga hari ini wang yang dijanjikan itu masih belum sampai lagi. Adakah beliau membuat janji kosong semata-mata untuk meraih sokongan dan undi masyarakat India?
Saya telah membawa isu ini dalam persidagan belanjawan Dewan Negeri Perak baru-baru ini. Saya memberitahu dewan yang mulia bahawa tapak baru diluluskan oleh kerajaan negeri di Ampang pada bulan Mei 2012. Dato Hamidah Osman, ADUN Sungai Rapat dan Dato Veerasingam, Penasihat kepada Menteri Besar Perak telah menyerahkan dokumen geran tanah itu kepada pihak sekolah dan PIBG. Dalam majlis penyerahan kelulusan tanah itu, Dato Hamidah menjanjikan bahawa kerja-kerja pembinaan akan bermula dalam tempoh 3 bulan dan banguanan baru itu akan siap bina selepas 1 tahun.
Tetapi, sekarang sudah 7 bulan tetapi tidak ada apa-apa perkembangan tentang bangunan baru untuk sekolah tersebut. Dato Hamidah juga membuat janji kosong ini menjangkakan pilihanraya akan diadakan dalam tempoh terdekat ketika membuat janji tersebut. Barisan Nasional telah menipu masyarakat India selama lebih 50 tahun dan masih meneruskan usaha-usaha itu dengan mempermainkan perasaan hati mereka.
Saya terpaksa bertikam lidah dengan Dato Hamidah Osman dalam persidangan Dewan negeri kali ini. Beliau mendakwa bahawa beliaulah yang telah berusaha untuk mendapatkan tanah untuk SJKT Gunung Rapat. Saya menegaskan dalam dewan yang mulia bahawa SJKT Gunung Rapat mendapat tanah di Ampang atas usaha dan perjuangan Pakatan Rakyat. Barisan Nasional telah melakukan pelbagai muslihat untuk menafikan hak sekolah itu. Apabila Barisan Nasional tidak dapat mengawal keadaan, mereka telah meluluskan tanah di Ampang dalam keadaan yang terdesak. Sekarang mereka cuba mendapat nama baik dengan mengatakan Barisan Nasional telah memberi tanah itu. Walau bagaimanapun rakyat Perak dan kaum India khususnya tahu siapakah yang telah berjuang mati-matian untuk sekolah Tamil tersebut.
Dalam menjawap perbahasan saya, Dato Hamidah mengatakan bahawa projek ini masih belum boleh dimulakan kerana pihak PIBG mahu peruntukan tambahan untuk membina banguanan yang lebih besar daripada cadangan asal. Beliau mendakwa pihak PIBG sekolah itu telah memohon peruntukan tambahan kerana wang peruntukan RM2.5juta yang dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri adalah tidak memadai.
Saya ingin tahu adakah Dato Hamidah bercakap benar? Pihak PIBG SJKT Gunung Rapat harus menjelaskan perkara ini untuk pengetahuan umum. Berapakan peruntukan tambahan yang dimohon oleh PIBG? Adakah pelan bangunan baru untuk sekolah itu sudah disiapkan? Pihak sekolah, PIBG dan kerajaan negeri tidak seharusnya mengelirukan rakyat dalam isu yang sensitif ini.
Saya juga ingin menanyakan kepada Dato Hamidah, jika benar permohonan peruntukan tambahan telah dibuat oleh pihak PIBG, kenapa peruntukan itu masih belum diluluskan lagi?