Ucapan pembukaan oleh Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang

Menyampaikan Janji Kejayaan Pulau Pinang Kepada Mereka Yang Jujur, Berusaha Kuat, Melabur Dalam Masa Depan Dan Mematuhi Undang-Undang Dalam Pulau Pinang Yang Lebih Bersih, Hijau, Selamat Dan Sihat.

Mari kita bermula dengan menyampaikan ribuan terima kasih kepada rakyat Pulau Pinang atas sokongan mereka selama lima tahun ini, dalam perjuangan bersejarah DAP untuk menubuhkan kerajaan yang bersih dan berjiwa rakyat di Pulau Pinang. Tidak juga kita lupa anda, pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli, yang telah berdiri teguh bersama DAP selama 46 tahun dan merempuhi segala onak dan duri untuk memastikan kelestarian parti untuk berhidmat demi rakyat.

DAP boleh berdiri teguh kerana telah membuktikan bahawa bukan sahaja kita boleh menjadi pembangkang yang baik, kita juga boleh menjadi kerajaan yang lebih baik. Apabila mengambil alih kuasa pada tahun 2008, ramai yang meragui keupayaan kita untuk mentadbir dek kerana kekurangan pengalaman serta kecekapan sebagai ahli-ahli politik yang kebanyakannya bekas banduan.

Setelah lima tahun berkuasa, bukan sahaja keraguan itu sudah dibendung, malah terdapat kebimbangan bahawa kita tidak akan terus berkuasa di Pulau Pinang. Apakah yang berlaku dalam tempoh lima tahun ini yang telah mengakibatkan transformasi daripada pembangkang efektif kepada kerajaan yang lebih efektif?

Saya berani kata bahawa ciri-ciri DAP yang bersih dan jujur, kesetiaan kepada prinsip dan rakyat serta semangat berpasukan yang erat di kalangan pemimpin DAP merupakan asas kepada kejayaan kita, seperti yang ditunjukkan dalam slogan urustadbir CAT iaitu cekap, akauntabiliti dan telus. Terdapat enam cabaran awal yang telah menetapkan nada pentadbiran CAT ini.

Pertama, krisis pengangkutan awam dalam bulan pertama apabila Rapid Penang memboikot laluan-laluan di Komtar kerana membantah gangguan daripada bas-bas haram. Kita telah bertemu dan bersetuju untuk menyokong penuh Rapid Penang dan menghentikan bas-bas haram, lantas menyelesaikan masalah yang telah berlarutan selama 20 tahun.

Kedua, bayang-bayang kebangkrapan di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang telah kerugian RM230 juta dalam 7 tahun. Kita telah melaksanakan reformasi yang penting dan memaksa keluar pegawai-pegawai yang membeli kereta Meredes Benz dan yang disyaki mempunyai harta yang luarbiasa. Kita telah berjaya mencatat lebihan kewangan dalam tahun pertama untuk MPSP setelah 10 tahun mengalami defisit. Kini, MPSP sudah diselamatkan oleh kerajaan negeri PR daripada kemuflisan gara-gara BN.

Ketiga, penyelewengan tanah oleh kerajaan negeri BN selama 50 tahun bukan sahaja telah mengakibatkan kerugian tetapi mengurangkan kuasa ke atas sumber-sumber negeri. Kerajaan negeri BN yang terdahulu telah menjual 4,000 ekar tanah pada harga murah, percuma atau dengan syarat-syarat pembayaran yang menguntungkan pembeli. Contohnya projek menebusguna tanah Lebuhraya Jelutong yang diberi terma pembayaran 10 tahun dan surat hak milik Pulau Jerejak yang diberi kepada UDA walaupun premium tanah tidak dibayar. Lebih teruk lagi skandal tanah Tan Hak Ju, di mana kerajaan negeri masih lagi terjerat dalam makamah. Sekali lagi, kita telah memindah keluar pegawai-pegawai yang terbabit dalam skandal-skandal kerajaan negeri BN. YB Chow Kon Yeow kini sedang menyediakan Kertas Putih tentang skandal-skandal tanah 4,000 ekar oleh kerajaan negeri BN.

Keempat, percubaan oleh BN untuk menyalahkan kerajaan negeri PR dalam skandal Kampung Buah Pala yang berusia 150 tahun apabila kerajaan BN sendiri yang menjual tanah negeri secara senyap dan telah memberi semua kelulusan pembangunan. PR telah menyelesaikan kemelut ini dengan memaksa pihak pemaju untuk memberi rumah dua tingkat, iaitu pakej pampasan yang terbaik dalam sejarah Malaysia. Kampung Buah Pala tidak diruntuhkan tetapi terus hidup dengan selesa dan bermartabat. Malangnya, BN telah mensabotaj usaha kerajaan negeri dan mengakibatkan 9 keluarga tidak mendapat pakej tersebut.

Kelima, demonstrasi rasis dan melampau oleh UMNO dan Perkasa terhadap usaha-usaha reformasi dengan pelaksanaan tender terbuka, peruntukan tahunan kepada sekolah serta tanda-tanda jalan dwi-bahasa di George Town. Kita terpaksa menghadapi demonstrasi-demonstrasi mingguan ini dengan membuktikan bahawa kita berlaku adil kepada semua tanpa mengira bangsa atau agama. Peruntukan untuk hal-ehwal agama Islam telah ditingkatkan berkali-kali ganda berbanding kerajaan lama dan kerajaan negeri PR telah mengambil langkah berani untuk memperolehi tanah milik Cina untuk tujuan kubur Islam di Jelutong.

Keenam, cabaran paling besar kerajaan negeri Pulau Pinang adalah untuk melantik pegawai yang terbaik dalam perkidmatan awam tanpa mengira bangsa, agama atau gender. Pulau Pinang tidak boleh berjaya dalam matlamat menjadi bandaraya antarabangsa dan pintar tanpa perkhidmatan awam yang pintar dan dapat mencapai tanda aras antarabangsa. Kita telah berkeras dan memastikan bahawa hanya mereka yang bersih dan tidak mempunyai agenda politik akan layak dilantik. Nasib baik, PR Pulau Pinang mempunyai majoriti 2/3, dan kerana itu adalah mustahak kita mengekalkan majoriti 2/3 ini supaya rakyat Pulau Pinang dapat memilih takdir sendiri dan tidak hanya diarah oleh Putrajaya. Ingat, hanya dengan melantik yang terbaik boleh kita menjadi yang terbaik.

Pemimpin-pemimpin DAP bersama dengan rakan-rakan PR telah menghadapi cabaran-cabaran ini dengan kepimpinan yang tegas. Kita berjaya kerana kita bersih dan setia kepada prinsip dan rakyat. Lihat sahaja kejayaan-kejayaan urustadbir CAT di Pulau Pinang.

  1. Pulau Pinang telah menjadi no.1 dalam pelaburan di Malaysia buat kali pertama dalam sejarah pada tahun 2010. Kita telah mengulanginya lagi pada tahun 2011, lantas membuktikan bahawa kejayaan itu bukanlah hanya nasib tetapi hakikat. Pulau Pinang telah menyumbang 28% daripada jumlah pelaburan asing langsung Malaysia dalam dua tahun tersebut. 10 hari lalu Agilent Technologies telah mengumumkan pelaburan USD200 juta manakala B.Braun akan melabur RM1.75 bilion di Pulau Pinang.

  2. Pulau Pinang kekal no. 1 dalam pelancongan perubatan dengan 60% jumlah kebangsaan. Pulau Pinang telah dipilih sebagai 8 pulau utama di dunia yang harus dilawat oleh Yahoo Travel. Festival Warisan George Town serta usaha untuk memelihara dan memulihara warisan telah menyuntik semangat baru kepada George Town. Lukisan-lukisan mural atas dinding rumah-rumah kedai lama kian mendapat pengiktirafan antarabangsa. Sektor pelancongan telah berkembang dengan kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dijangka mencecah 5 juta penumpang setahun menjelang tahun depan. Projek pembesaran dan naik taraf yang baru harus dimulakan sebaik selesai sahaja projek penguahsuaian sekarang.

  3. Lebihan bajet tahunan dan pengurangan hutang negeri sebanyak 95% telah diiktiraf dan dipuji oleh Laporan Ketua Audit Negara.

  4. Pengamalan 6 langkah integriti dalam perang rasuah yang juga dipuji oleh Transparency Internatnal, iaitu pengisytiharan harta secara terbuka, pelaksanaan tender terbuka, melarang ahli-ahli keluarga daripada berurus niaga dengan kerajaan, melindungi peniup wisel yang tulen, menggugurkan pemimpin-pemimpin yang hidup mewah dan bersikap telus dalam sumbangan politik.

  5. Peruntukan RM500 juta untuk Tabung Perumahan Mampu Milik Pulau Pinang untuk pembinaan 18,000 unit di serata negeri termasuk di bahagian pulau, iaitu jumlah paling besar oleh mana-mana kerajaan negeri. Untuk memastikan perumahan mampu milik yang berkualiti, HDB Singapura telah dilantik untuk memastikan perumahan setaraf Singapura akan disediakan di Pulau Pinang. 12,000 unit rumah mampu milik telah dibina dalam tempoh masa 5 tahun yang lepas, 4,000 unit oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan 8,000 unit oleh sektor swasta.

  6. Membelanjakan wang RM100 juta untuk rakyat melalui program-program "emas" seperti warga emas, OKU, ibu tunggal, pelajar-pelajar IPTA, ibu bapa baru, kanak-kanak sekolah rendah dan menengah serta peruntukan tahunan kepada Sekolah Agama Rakyat, Cina dan Tamil.

  7. Menjadi negeri pertama di Malaysia untuk membasmi miskin tegar pada tahun 2009 dan akan menjadi pertama di Malaysia untuk menghapuskan kemiskinan sama sekali pada tahun 2013 melalui Agenda Ekonomi Saksama (AES). Oleh kerana garis kemiskinan adalah RM763 sebulan untuk setiap isi rumah, maka Pulau Pinang hanya boleh bebas miskin sekiranya setiap keluarga mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM770 sebulan. Untuk memastikan setiap keluarga mempunyai pendapatan minima RM770 sebulan, kerajaan negeri akan menambah nilai setiap bulan. Dengan kata lain, jika sesebuah keluarga mempunyai pendapatan RM600 sebulan, kerajaan negeri akan tambah nilai RM170 setiap bulan - bukan setiap 5 tahun atau setiap 50 tahun.

  8. Melaksanakan reformasi demokratik seperti penubuhan Sudut Pidato pertama di Malaysia, meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat serta Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan Pulau Pinang untuk memberi ruang untuk kebebasan bersuara, kebebasan maklumat serta undi ketiga untuk mengukuhkan demokrasi akar umbi.

  9. Menghormati Islam sebagai agama Pulau Pinang dan juga kebebasan beragama dengan meningkatkan peruntukan, tanah dan juga menubuhkan Majlis Syura serta portfolio hal-ehwal agama bukan Islam. Tidak ada satu pun tokong, kuil atau surau yang dirobohkan melainkan satu kuil Hindu yang dirobohkan oleh Penang Port Sdn Bhd yang dimiliki kerajaan Persekutuan. Sebaliknya, Tokong Kek Lok Si dan Kuil Air Terjun Murugan akhirnya telah dibuka di bawah pentadbiran kerajaan negeri PR.

  10. Membelanjakan 55% lebih untuk pembangunan infrastruktur berbanding kerajaan lama dengan pembinaan jalan raya, gelanggang futsal, dewan orang ramai, mahkamah Syariah dan perparitan. Mencadangkan projek-projek infrastruktur besar seperti sambungan ketiga antara Gurney Drive dengan Butterworth serta pemulihan Komtar dan pusat pameran dan konvensyen baru di sPICE, PISA. Satu lagi pusat pameran dan konvensyen akan diumumkan minggu depan.

  11. Pertama untuk mengamalkan inisiatif hijau seperti kempen tiada beg plastik percuma, pengharaman bekas polistirena, zon-zon bebas asap, menyediakan lebih taman awam dan laluan basikal, Hari Ahad Tanpa Kenderaan dan mencatat kadar kitar semula 26% pada tahun ini, di mana sasaran kebangsaan adalah 20% menjelang 2020.

  12. Menjadikan George Town sebagai bandar paling sesuai didiami (mengikut ECA International) untuk kali pertama pada tahun 2011 dan sekali lagi pada tahun 2012.

Terdapat banyak lagi kejayaan yang dicapai. Tiada sesiapa boleh menafikan bahawa kita telah mencapai jauh lebih banyak dalam masa 5 tahun berbanding BN dalam 18 tahun sebelumnya. Kita telah menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada BN walaupun tidak berpengalaman.

Semua pencapaian ini kini diancam. UMNO telah mengumumkan keyakinan mereka untuk memenangi bukan sahaja majoriti 2/3 di parlimen tetapi juga di Pulau Pinang. Jangan memandang rendah BN dan UMNO. Jangan memandang rendah keberkesanan fitnah, ugutan dan politik ang serta sentimen perkauman dan ekstrimis. UMNO adalah raja taktik kotor.

Saya tahu pemimpin-pemimpin DAP dan ahli-ahli tidak takut untuk kalah. Tetapi rakyat Pulau Pinang tidak boleh kehilangan masa depan kepada UMNO dan BN. PRU yang akan datang akan menentukan bukan sahaja nasib DAP tetapi nasib rakyat. UMNO pasti akan menghapuskan semua "program emas" dan peruntukan tahunan kepada sekolah-sekolah. UMNO akan memastikan reformasi demokratik dan langkah-langkah integriti akan diganti dengan rejim korup serta menindas. UMNO akan menggantikan kerajaan berjiwa rakyat dengan kerajaan berjiwa kroni.

Lihat sahaja bagaimana projek RM43 juta Tanjung City Marina sudah terbengkalai serta kekhilafan projek RM250 juta pengubahsuaian dan naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Projek-projek ini menjadi peringatan bagaimana BN akan mentabir Pulau Pinang.

Pilihan Raya Umum yang akan datang sangat penting kerana ia berkisar pada rakyat dan bukan ahli politik, ia berkisar pada masa depan dan bukan jawatan, ia berkisar pada dasar yang memanfaatkan rakyat dan bukan dasar potong telinga dan terjun ke dalam sungai! Marilah kita bersatu kerana DAP mampu membawa perubahan, kesejahteraan, keadilan, kebebasan, demokrasi dan kebajikan awam kepada rakyat.

DAP berjanji untuk menyampaikan janji kejayaan Pulau Pinang kepada mereka yang jujur, berusaha kuat, melabur dalam masa depan dan mematuhi undang-undang dalam Pulau Pinang yang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat. DAP percaya pada sifat hakiki rakyat Pulau Pinang iaitu kejujuran membawa kejayaan, kerja keras akan membawa kesejahteraan, dan kita sebagai ibu bapa dan kerajaan harus melabur dalam masa depan untuk memastikan kejayaan anak-anak kita. Akhirnya, kejayaan Pulau Pinang bergantung kepada undang-undang - keluhuran undang-undang dan bukan keluhuran pemimpin.

Inilah sifat hakiki kejayaan Pulau Pinang yang lampau. Tanpa sumber asli, rakyat menjadi faktor kejayaan. Oleh itu, kerajaan negeri PR dan DAP berasa optimis dan yakin dengan masa depan Pulau Pinang kerana kita percaya pada rakyat. Walau apa pun rintangan dan cabaran, kita percaya bahawa rakyat akan mencari penyelesaian selagi kerajaan merupakan kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

Kita percaya pada Pulau Pinang kerana kita percaya bahawa kebaikan dan usaha rakyat Pulau Pinang - Melayu, Cina, India - akan mengatasi segalanya. Kerajaan negeri akan cuba sedaya upaya untuk mencerminkan sifat hakiki rakyat Pulau Pinang kerana kita percaya pada mu!

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ketua Menteri Pulau Pinang