Ketidakikhlasan Teng Chang Yeow dan BN Pulau Pinang untuk membina PPR adalah punca pembatalan pembelian tanah 1.1 ekar di Taman Manggis

Dalam mesyuarat semalam, EXCO Pulau Pinang telah memutuskan untuk membatalkan tawaran kepada Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow untuk penjualan tanah 1.1 ekar di Taman Manggis untuk RM22,407,300 atas kegagalan untuk mematuhi 4 faktor utama:

  • Ketidakikhlasan Teng dan BN Pulau Pinang untuk membina PPR atau rumah kos rendah untuk sewa ekoran kenyataan yang bercanggah daripada Khoo Boo San bahawa bukan PPR tetapi rumah mampu milik berharga RM400,000 yang akan dibina.

  • Kegagalan untuk menukar pengarah dan pemegang saham syarikat pemaju BN, iaitu Taman Manggis Phase II Development Sdn Bhd untuk memasukkan Teng dan pemimpin-pemimpin BN Pulau Pinang kerana Teng sendiri telah bersetuju dengan kerajaan negeri bahawa BN Pulau Pinang yang akan membeli tanah tersebut.

  • Kegagalan untuk menyemak semula modal berbayar untuk syarikat pemaju perumahan kepada nilai yang ditentukan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, iaitu 3% Nilai Pembangunan Kasar (GDV).

  • Kegagalan untuk membayar baki 99% atau RM22,183,227 pada 5 Disember 2012, walaupun lanjutan sebulan sudah diberi kepada Teng dan BN.

Keengganan BN untuk membayar dengan penuh harga tanah 1.1 ekar di Taman Manggis iaitu RM22,407,300 walaupun mereka mendakwa sudah menyediakan wang tersebut, menimbulkan persoalan tentang kejujuran dan komitmen Teng dan BN Pulau Pinang dalam membeli tanah untuk pembinaan rumah kos rendah untuk sewa (PPR). Komitmen Teng diragui apabila Khoo Boo Soon, pengarah Taman Manggis Phase II Development Sdn Bhd, mengumumkan pada 29 November bahawa tanah Taman Manggis akan digunakan untuk perumahan mampu milik yang berharga RM400,000 dan bukan pembinaan PPR.

Apakah jaminan Teng bahawa pengumuman asal Khoo untuk membina perumahan berharga RM400,000 tidak akan dilaksanakan? Dahulu, Teng pernah marah dan enggan bekerjasama dengan UMNO Pulau Pinang kerana mengoyakkan gambar Presiden Gerakan Tan Sri Kon Tsu Koon tetapi kini beliau bekerjasama dengan UMNO Pulau Pinang walaupun UMNO tidak meminta maaf.

Kerajaan negeri tidak boleh menjual tanah kepada BN Pulau Pinang apabila tiada jaminan kuat dan komitmen jelas bahawa pengarah-pengarah Taman Manggis tidak akan memungkiri janji untuk membina PPR. Pendirian Teng yang tidak jelas ditambah teruk lagi dengan keengganan kepimpinan BN untuk menjadi pengarah dalam syarikat Taman Manggis Phase II Development Sdn Bhd.

Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow telah menulis pada 3.10.2012 bahawa BN Pulau Pinang telah menerima tawaran kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menjual tanah pada harga RM450 sekaki persegi untuk pembinaan PPR. Teng telah membayar 1% sebagai wang cengkeram atau RM224,074 yang bertarikh 3.10.2012 bagi pihak BN Pulau Pinang. Pada 4 Oktober, saya telah menjawab bahawa baki 99% atau RM22,183,227 harus dibayar dalam jangka masa 30 hari oleh BN Pulau Pinang, yang kemudiannya telah dilanjutkan kepada 5 Disember 2012.

Kerajaan negeri telah membuat keputusan bahawa tanah tersebut adalah terlalu kecil untuk perumahan awam apabila Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menetapkan 2 ekar sebagai keluasan tanah minima untuk tujuan tersebut. Sebaliknya, tanah 11 ekar di Jalan SP Chelliah telah dipilih untuk pembinaan perumahan awam - sesuatu yang tidak pernah dilakukan dahulu. Tanah Taman Manggis telah dipilih untuk hospital swasta dan dijual melalui tender terbuka pada harga RM232 sekaki persegi, lebih tinggi daripada unjuran penilaian kerajaan Persekutuan iaitu RM212 sekaki persegi.

Walaupun BN mendakwa bahawa tanah tersebut telah disimpan oleh kerajaan negeri BN pada tahun 2003 untuk pembinaan PPR, tiada sebarang pengumuman awam yang dibuat dalam surat khabar dari tahun 2003 hingga 2008. Kenapa BN tidak dapat mencari wang untuk membina PPR dari 2003 hingga 2007 semasa mereka berkuasa, tetapi BN boleh mencari RM22,407,300 apabila mereka menjadi pembangkang?

Alasan Teng dan BN Pulau Pinang bahawa mereka tidak membayar penuh kerana tanah tersebut sudah dijual kepada KLIDC serta ketiadaan perjanjian jual-beli adalah alasan yang tidak masuk akal kerana geran hak milik belum dikeluarkan. Bagaimanakah boleh kita memberi perjanjian jual-beli tanpa geran hak milik tanah? Dan selagi geran hak milik tanah tidak dikeluarkan, kerajaan negeri mempunyai hak untuk menjual tanah tersebut kepada sesiapa sahaja. Penjualan tanah kepada BN ini tidak melalui tender terbuka tetapi secara pemindahan hak milik tanah.

Situasinya sama apabila Penang Port Commission telah membayar premium RM15 juta untuk tanah Swettenham Pier. Dalam kes tersebut, tiada perjanjian jual-beli. Sebaliknya ia telah dipindah milik seperti tanah Taman Manggis. Dan kerana geran hak milik tanah tidak dikeluarkan, kerajaan negeri boleh membayar balik premium tersebut kepada Penang Port Sdn Bhd dan terus memegang hak milik tanah. KLIDC menerima status ini dan juga penjualan tanah Taman Manggis kepada BN Pulau Pinang, tertakluk kepada pembayaran balik premium serta kos mereka.

Akhir sekali, ketidakikhlasan Teng Chang Yeow dan BN Pulau Pinang untuk pembinaan PPR adalah sebab utama pembatalan oleh kerajaan negeri atas pembelian tanah 1.1 ekar di Taman Manggis pada harga RM22,407,300.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang