Perutusan Hari Anti-Rasuah oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng

Jika kerajaan Persekutuan BN tidak mengikut jejak langkah Pulau Pinang dengan melaksanakan 6 langkah integriti, Malaysia bukan sahaja akan gagal mencapai kemakmuran tetapi pembongkaran skandal-skandal kewangan yang terbaru akan memastikan kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) TI bagi tahun depan akan merudum. 6 langkah integriti untuk memerangi rasuah adalah:

  1. Menginstitusikan pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri dan barisan EXCO.

  2. Melaksanakan tender terbuka.

  3. Tidak membenarkan ahli keluarga untuk melibatkan diri dalam kontrak kerajaan.

  4. Melindungi pemberi maklumat yang tulen.

  5. Menggugurkan pemimpin yang hidup mewah.

  6. Berterus terang dalam sumbangan politik.

Hari Anti-Rasuah Antarabangsa tidak akan disambut dengan meriah oleh Rakyat Malaysia meskipun terdapat sedikit peningkatan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International daripada tangga ke-60 daripada 183 negara pada tahun 2011 kepada tangga ke-54 daripada 176 pada tahun 2012, kerana negara kita masih lagi dihantui skandal-skandal kewangan dan dakwaan rasuah besar yang melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi.

Walaupun ada sedikit peningkatan dalam markah keseluruhan, harus diingati bahawa kajian ini telah dijalankan pada awal tahun, iaitu sebelum pembongkaran beberapa skandal besar seperti sumbangan politik RM40 juta kepada UMNO Sabah dan pendedahan terbaru peniaga Deepak Jaikishan mengenai urusan-urusan tanah yang mencurigakan. Lagi teruk lagi adalah kekayaan luarbiasa Ketua Menteri Sarawak dan keluarganya yang didedahkan dalam Mahkamah Syariah sebagai bernilai berbilion-bilion ringgit.

Baru sekarang rakyat mendapat tahu tentang penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam kerajaan-kerajaan Selangor dan Pulau Pinang terdahulu. Sebagai contoh, tanah di Selangor yang kini bernilai RM300 juta telah dijual kepada parti-parti komponen BN dengan harga RM1 sekaki persegi (skp) sementara tanah primer di Tanjung Tokong bersebelahan dengan Gurney Drive telah dijual pada harga RM1 skp.

Sekiranya semua skandal ini diambil kira oleh TI, kedudukan Malaysia dalam CPI TI mestilah lagi teruk. Yang paling membimbangkan, markah CPI tidak mendedahkan hakikat bahawa 50% responden dalam Kajian Pemberi Rasuah mempercayai bahawa mereka telah kehilangan peluang perniagaan akibat rasuah. Dalam persoalan ini, Malaysia berada di kedudukan paling teruk daripada kesemua 31 negara yang dikaji, lebih teruk daripada Indonesia (47%), Pakistan (42%) dan Rusia (39%).

Di Pulau Pinang, bukan sahaja harta pemimpin-pemimpin kita diisytihar dan diiktiraf oleh firma akauntan antarabangsa, kita juga akan mengemaskini pengisytiharan harta tersebut setiap tahun. Oleh itu, kemaskinian akan dilakukan pada bulan Januari nanti. Jika Pulau Pinang boleh buat pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri dan barisan EXCO, yang akan dikemaskini pada bulan Januari tahun depan, kenapakah kerajaan Persekutuan BN tidak boleh mengisytiharkan harta Perdana Menteri dan Jemaah Menteri untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam CPI Transprency International.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan