Ucapan Pembukaan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng Semasa Kongres DAPSY dan Wanita Kebangsaan

DAP menuntut agar BN menghentikan operasi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) sekarang atau 4 Menteri harus letak jawatan untuk mengambil tanggungjawab kerana gagal menepati janji bahawa sisa nadir bumi tidak akan kekal tetapi akan dieksport keluar daripada Malaysia. Ketidakikhlasan BN dan kekurangan komitmen untuk mengutamakan kesihatan awam dan keselamatan adalah ekoran daripada pengakuan baru-baru ini oleh Pengarah Urusan Lynas Mashal Ahmad bahawa tidak ada sisa LAMP yang akan dieksport keluar daripada Malaysia.

Pengakuan Mashal bercanggah dengan kenyataan 7 perenggan pada 22 Februari 2012 oleh 4 menteri yang berkaitan dengan permohonan Lynas untuk menubuhkan dan mengoperasi loji, iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamad; Menteri Sains dan Teknologi Maximum Johnity Ongkili; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Douglas Uggah Embas; dan Menteri Kesihatan Liow Tiong Lai seperti berikut:

"Sebelum pengeluaran Lesen Operasi Sementara (TOL), Lynas akan mengemukakan surat akujanji bahawa ia akan menerima pengembalian apa-apa sisa daripada kilang di Gebeng kepada sumber asal."

Pengakuan Lynas bahawa sisa nadir bumi tidak akan dieksport keluar tetapi kekal di Malaysia membuka peluang keemasan untuk membatalkan Loji Nadir Bumi Kuantan kerana melanggar syarat tanpa membayar pampasan. Mashal Ahmad telah mengesahkan bahawa Lynas tidak bercadang untuk mengeksport sisa nadir bumi kerana LAMP harus mematuhi konvensyen antarabangsa yang melarang pengeksportan sisa toksik ke negara-negara lain. Sebelum ini, kerajaan Australia telah berkali-kali menegaskan bahawa mereka tidak akan menerima balik sisa radioaktif.

Jelas kenyataan Pengarah Urusan Lynas membuktikan bahawa kes ini merupakan lagi satu janji kosong BN dan contoh "Janji Tak Ditepati". Kredibiliti serta jawatan keempat-empat Menteri ini hanya boleh diselamatkan dengan membatalkan TOL atau mengeluarkan arahan henti kerja sehingga Kemudahan Penghapusan Sisa (PDF) yang dicadangkan Lynas disahkan akan berada di luar negara.

Satu syarat yang dikenakan oleh AELB ke atas Lynas adalah penyerahan maklumat pelan dan lokasi Kemudahan Penghapusan Sisa (PDF) yang akan mengurus sisa kilang, jika ada. Penyerahan ini harus dilakukan dalam tempoh masa 10 bulan daripada tarikh pengeluaran TOL. Sehingga hari ini, tiada sesiapa tahu tempat manakah dalam Malaysia yang akan dipilih Lynas untuk membina PDF mereka.

Walaupun Lynas yakin bahawa sisa Lamp akan dikitar semula dan digunakan untuk aplikasi komersial, dan tidak memerlukan tempat penyimpanan jangka masa panjang, seorang ahli kimia terkenal daripada China Chun-Hua Yan telah memberi komen bahawa ia merupakan kaedah lama yang sudah tidak diguna di China. Adakah orang akan dimangsakan seperti penduduk Bukit Merah, Perak?

Jelas Lynas telah membuktikan bahawa jaminan-jaminan Liow Tiong Lai serta 3 Menteri BN tidak boleh dipakai kerana sisa toksik Lynas tidak boleh dieksport dan akan kekal di Malaysia. Kerana masih tiada pelan pengurusan sisa radioaktif atau toksik, BN harus membatalkan TOL Lynas atau mengeluarkan arahan henti kerja sehingga Kemudahan Penghapusan Sisa (PDF) yang dicadangkan itu disahkan akan berada di luar negara.

Jika BN enggan melindungi kepentingan kesihatan rakyat dan persekitaran dengan membatalkan loji Lynas kerana melanggar syarat, dan lebih mementingkan keuntungan kroni, maka PR akan melakukannya apabila kita mengambil alih Putrajaya kerana loji tersebut boleh dibatalkan kerana melanggar syarat tanpa membayar satu sen sebagai pampasan.

MENCEGAH KRISIS PENURUNAN TARAF PENDIDIKAN

Umum mengetahui bahawa taraf pendidikan di Malaysia sudah pun menjunam. Dalam kajian Programme for International Student Assessment (PISA) bagi tahun 2009 yang membandingkan tahap pelajar-pelajar 15 tahun dalam keupayaan untuk membaca, Matematik dan Sains, 44% pelajar Malaysia gagal mencapai tahap minima untuk membaca, 60% gagal mencapai tahap minima Matematik dan 43% gagal mencapai tahap minima bagi Sains. Secara keseluruhan, tahap pelajar-pelajar yang berusia 15 tahun di Malaysia didapati ketinggalan 3 tahun berbanding purata antarabangsa.

Kita sebagai negara harus bersama-sama merapatkan jurang dan menangani defisit pendidikan, supaya bukan sahaja kita dapat mengelak jerat penghijrahan modal insan, tetapi supaya kita boleh memanjat tangga kejayaan dan mencapai taraf ekonomi perpendapatan tinggi.

Di Amerika Syarikat, rakyat Amerika bimbang tentang cenuram kewangan (fiscal cliff) yang boleh mengakibatkan kemelesetan ekonomi yang mampu menjejaskan pertumbuhan ekonomi sedunia serta usaha kita untuk menjadi negara maju yang berpendapatan tinggi dan berasaskan pengetahuan. Jika kita tidak membangunkan modal insan, melatihkan mereka semula, berjaya mengekalkan mereka serta menarik modal insan baru, kita bukan sahaja akan ketinggalan berbanding ekonomi-ekonomi maju seperti Singapura dan Korea Selatan tetapi juga ditinggalkan jiran-jiran seperti Indonesia dan Thailand.

Pulau Pinang telah mengamalkan 3 inisiatif untuk menangani cerunam modal insan ini dan juga untuk menarik modal insan baru. Selain penubuhan Majlis Sains Pulau Pinang yang menganjurkan acara-acara bertemakan sains seperti Pesta Sains Antarabangsa Pulau Pinang di PISA dan pembinaan Tech-Dome Pulau Pinang yang bernilai RM25 juta - yang pertama di Malaysia, kerajaan negeri Pulau Pinang juga telah:

  • memperuntukkan geran tahunan sebanyak RM12 juta untuk sekolah-sekolah rendah dan menengah untuk menanam bibit-bibit modal insan;

  • menarik universiti bertaraf antarabangsa yang dikendalikan Smith College, iaitu universiti wanita terutama di USA.

  • menubuhkan Penang Learning Centre untuk memberi pendidikan tambahan bagi pelajar-pelajar yang lemah serta membantu pelajar-pelajar yang susah dengan kaedah-kaedah pembelajaran yang baru.

Kita harap untuk membentuk bukan sahaja modal insan yang terbaik dan terpandai, tetapi juga untuk menjana modal insan sokongan yang bermutu tinggi. Marilah kita memastikan bahawa sekolah-sekolah dan universiti-universiti kita menghasilkan yang terbaik dan terpandai supaya anak-anak kita tidak 3 tahun ketinggalan berbanding purata antarabangsa tetapi boleh mencapai taraf yang sama. Hanya apabila kita mempunyai budaya meritokrasi bolehlah kita menjamin masa depan anak-anak kita.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan