Kerajaan BN seharusnya mengaku bahawa PR adalah betul dalam memansuhkan AES

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail seharusnya tidak hanya menarik balik dakwaan terhadap individu yang telah dihukum melalui Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tetapi juga memulangkan semua wang yang telah dibayar oleh mereka yang sudah menyelesaikan saman tersebut. Hampir 300,000 saman telah dikeluarkan sejak kamera AES 1Malaysia dipasang di 14 lokasi pada 23 September 2012.

Lebih banyak saman akan dikeluarkan apabila baki 817 lokasi dipasang tahun depan, menjadikan jumlah keseluruhannya 831 kamera di seluruh negara. Penggantungan dakwaan ke atas pemandu yang dikenakan dengan 300,000 saman trafik di bawah AES membuktikan keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang menghalang pemasangan AES adalah wajar dan benar.

Walaupun Abdul Gani cuba untuk mengurangkan tamparan hebat kepada BN dan kredibilti Kerajaan Persekutuan dengan mendakwa bahawa langkah itu berpunca daripada kebimbangan orang ramai ke atas “undang-undang dan ciri-ciri teknikal lain” yang berkaitan dengan sistem, ia jelas menunjukkan bahawa AES telah hilang kredibilti awam. Seharusnya skim kotor ini, yang membenarkan 2 syarikat kroni BN untuk mengaut keuntungan berdasarkan komisen daripada setiap saman trafik, dan yang kononnya adalah untuk mengurangkan kemalangan, dihentikan tanpa melengahkan masa.

Kenyataan Abdul Gani di sisi undang-undang adalah betul bahawa saman AES yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan masih sah. Oleh itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha harus menggunakan kuasanya untuk membatalkan saman JPJ bagi menebus kembali sokongan beliau terhadap AES. Sekiranya Kong tidak berbuat demikian, beliau harus meletakkan jawatan kerana menjadi penyokong AES, dengan cuba merosakkan nama baik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang kononnya menggalakkan kemalangan berlaku.

Kerajaan BN seharusnya tidak hanya menarik balik tuntutan saman di bawah Sistem Penguatkuasa Automatik (AES) tetapi mengaku bahawa PR adalah betul dalam memansuhkan AES dan membayar balik semua saman yang telah dibayar atas kemarahan rakyat terhadap projek kroni ini.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang