PR mestilah mengelak daripada mengulangi kesilapan parti Republikan yang dua kali tewas pilihan raya Presiden AS

Pada penghujung Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak memberi amaran kepada ahli UMNO supaya tidak mengulangi kesilapan calon Presiden, Mitt Romeny yang terlalu bergantung kepada undi golongan kulit putih dan orang tua untuk memenangi pilihan raya. Sama juga, UMNO tidak sepatutnya terlalu bergantung kepada orang Melayu di kawasan luar bandar untuk memenangi pilihan raya umum akan datang dengan mengabaikan kelas pertengahan berbilang kaum di bandar yang semakin berkembang.

Najib betul apabila menunjukkan kesilapan Romney. Romney memenangi majoriti undi orang kulit putih berbanding Obama - 59% kepada 39% - tetapi beliau gagal untuk menembusi walaupun 30% mana-mana kumpulan minoriti. Seperti yang dijangka, beliau gagal meraih undian golongan Afrika Amerika – 6% kepada 93% - tetapi beliau juga gagal meraih undian golongan Latino - 27% to 71% - dan undian golongan Asia Amerika - 26% to 73% - dengan margin yang besar.

Romney berjaya meraih majoriti undi mereka yang berusia 65 tahun ke atas - 56% kepada 44% - tetapi gagal pada kumpulan umur 30-44 tahun - 45% kepada 52% - juga kumpulan umur 18-29 tahun - 37% kepada 60%. Di kalangan mereka yang berideologi sederhana, Obama menewaskan Romney dengan 56% kepada 41%. Romney hanya mengulangi perkara yang sama. Keputusan yang lebih kurang sama turut pernah dicapai McCain dalam pilihan raya presiden pada tahun 2008. McCain memenangi undi majoriti golongan kulit putih berbanding Obama - 55% kepada 43% tetapi kehilangan undi golongan Afrika Amerika – 4% kepada 95% - undi golongan Latino - 31% kepada 67% dan undi golongan Asia Amerika – 35% kepada 63%. Beliau berjaya meraih 53% undi kumpulan yang berusia 65 tahun (berbanding 45% Obama) tetapi tewas pada kumpulan umur 30-44 tahun - 52% kepada 46% - dan gagal meraih undi kumpulan umur 18 hingga 29 dengan kemenangan besar - 32% kepada 66%. Di kalangan mereka yang berideologi sederhana, Obama menewaskan McCain 60% kepada 39%.

Kedua-dua calon Republikan terpaksa merayu kepada penyokong konservertifnya, kebanyakannya terdiri daripada pengundi kulit putih dan orang tua bagi memenangi pilihan raya mereka. Akibatnya, kedua-dua tidak dapat meluaskan rayuan mereka untuk menggapai bilangan pengundi sederhana yang mencukupi termasuklah golongan minoriti untuk memenangi jawatan Presiden Amerika.

Sedihnya, nasihat Najib berkemungkinan ibarat mencurah air di daun keladi di dalam partinya.

Pertama, beliau sendiri kelihatan tidak mengamalkan nasihatnya sendiri untuk mendekati pengundi pertengahan sekalipun pernah mengusahakan Gerakan Kesederhanaan Global.

Beliau dengan takutnya tidak mahu meminta Peguam Negara supaya tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang telah mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh Catholic Herald adalah tidak sah.

Beliau terpaksa membuat pusingan-U untuk ‘mengulang semula’ DEB ke dalam Model Ekonomi Baru selepas Perkasa merungut bahawa Bahagian Pertama MEB menekankan perubahan kepada tindakan afirmatif mesra pasaran yang tidak disebut di dalam DEB.

Beliau sama ada secara langsung atau tidak langsung mengarahkan Utusan Malaysia untuk mencipta suasana ketakutan di kalangan orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan hak-hak mereka sekiranya Pakatan Rakyat yang memerintah dan membuat pembohongan yang bersifat menghasut tentang bagaimana DAP mahu menukar negara ini menjadi negara Kristian.

Ini bukan tanda-tanda Perdana Menteri yang ikhlas cuba memujuk Pegundi Pertengahan.

Kedua, timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin belum lagi memberikan Najib sebarang sokongan terhadap slogan 1Malaysia beliau sepertimana yang dapat dilihat melalui kenyataannya di parlimen bahawa dirinya Melayu dahulu dan kemudian barulah rakyat Malaysia.

Bukanlah lagi rahsia bahawa Muhyiddin menyimpan niat untuk menggantikan Najib sebagai Presiden UMNO dengan cuba menjadi lebih ‘Melayu’ daripada Najib. Sememangnya, ramai di dalam UMNO menanti untuk melihat Najib menjadi lebih teruk daripada Pak Lah dalam pilihan raya umum akan datang supaya mereka boleh menendangnya keluar dan menggantikannya dengan Perdana Menteri UMNO yang ‘Melayu dahulu'.

Ketiga, tindakan yang keras dan ganas diambil oleh pentadbiran Najib terhadap demonstran aman yang menghadiri perhimpunan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 di Kuala Lumpur menunjukkan betapa beliau tidak peduli terhadap Pengundi Pertengahan yang mahu melihat pilihan raya yang lebih bersih dan adil, tanpa mengira parti mana yang berkuasa.

Keempat, tiada Pengundi Pertengahan yang Najib dan partinya boleh dekati apabila datang kepada persoalan rasuah dan salahguna kuasa.

Itu adalah perkara yang telah diistitusikan di dalam UMNO. Dr. Mahathir tidak menghentikannya malah menggalakkannya dengan melemahkan dengan sistematik institusi yang dapat memainkan peranan efektif mengekang kesan buruk rasuah termasuklah badan kehakiman dan agensi pencegahan rasuah. Pak Lah, meskipun berslogankan ‘berkerja bersama saya, bukan untuk saya’, menutup sebelah mata dan membiarkan rasuah berleluasa di bawah pemerintahannya.

Meskipun Najib berpura-pura mengambil berat tentang memerangi rasuah di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), masih beluam menjawab atau menerangkan tentang peranannya di dalam skandal RM7.3 juta Scorpene dan pembunuhan model Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu.

Beliau dan pemimpin senior UMNO terus berdiam diri ketika meletusnya dakwaan yang dibuat oleh pengedar permaidani, Deepak Jaikishan, yang secara langsung membabitkan beliau dan keluarga beliau.

Di waktu kebanyakkan rakyat Malaysia dapat melihat kepura-puraan Najib ketika menyatakan tentang mendekati Pengundi Pertengahan tetapi tidak pun melakukan apa yang dikata, Pakatan Rakyat tidak boleh mengabaikan pengundi-pengundi ini.

Mana-mana parti atau pemimpin di dalam Pakatan Rakyat boleh meminggirkan Pengundi Pertengahan sekiranya mereka memilih untuk memuaskan hati mana-mana kumpulan kecil tetapi lantang yang hanya mewakili segmen kecil masyarakat.

Usaha untuk menyatukan penyokong kuat tidak akan memenangi banyak undi tetapi berkemungkinan besar akan memencilkan dan mengalihkan seramai 3 juta pengundi baru di dalam daftar pemilih, 60% adalah di bawah umur 30 tahun.

Sebaiknya, Pakatan perlu bergerak seiring untuk mendekati Pengundi Pertengahan untuk memenangi 70% daripada 3 juta pengundi baru dan 3% daripada 1 juta pengudi bertukar arah PRU2008 supaya dapat menawan Putrajaya dengan majoriti selesa sekurang-kurangnya 7 kerusi.

Pakatan perlu meyakinkan Pengundi Pertengahan bahawa Pakatan dapat memberikan penyelesaian yang lebih baik dan berwibawa kepada masalah yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia dan bukannya sebilangan kumpulan kecil.

Pakatan perlu menunjukkan bahawa ia boleh memperbaiki kemerosotan serius tahap pendidikan kita, seperti mana yang ditonjolkan oleh Trends in International Math and Science Study (TIMSS) 2011 yang mana kedudukan dan mata purata Malaysia jatuh sebanyak 6 tempat dan 34 mata untuk Matematik (dari tempat ke-20 pada 2007 kepada tempat ke-26 pada 2011, dari 474 mata pada tahun 2007 kepada 440 pada 2011) dan kemerosotan 11 tempat dan 45 mata untuk Sains (dari tempat ke-21 pada 2007 kepada 32 pada 2011, dari 471 mata pada 2007 kepada 426 mata pada 2011).

Pakatan perlu menunjukkan bahawa ia boleh mengubah secara mendasar ekonomi untuk memberikan perkerjaan yang lebih baik dan lumayan, terutamanya kepada generasi muda, dan meningkatkan bahagian KDNKK negara yang diperuntukkan kepada pendapatan (berbanding perbadanan dan negara).

Pakatan perlu menunjukkan bahawa ia boleh mengembalikan keyakinan rakyat terhadap polis dan datang dengan penyelesaian penguatkuasaan yang lebih baik untuk mengurangkan jenayah terutamanya di kawasan bandar.

Pakatan perlu menunjukkan bahawa ia boleh memberikan penyelesaian yang lebih menyeluruh untuk pengankutan awam berbanding pelan pengangkutan yang menumpukan terhadap MRT semata oleh BN.

Pakatan perlu menunjukkan bahawa ia boleh mengembalikan intergriti institusi awam termasuklah badan kehakiman, perkhidmatan awam dan media, yang semuanya telah direndahkan martabatnya oleh BN.

Pakatan perlu menunjukkan bahawa ia boleh membawa pembangunan yang lebih mapan dan pembahagian sama rata ke kawasan yang telah diabaikan terutamanya Sabah dan Sarawak.

Hanya dengan mendekati golongan Pengundi Pertengahan dengan penyelesaian kukuh dan berwibawa barulah Pakatan boleh mencapai matlamatnya menawan Putrajaya.

Sekiranya Pakatan mengulangi kesilapan BN dan Republikan dengan hanya mendekati penyokong kuat kita dari segi pengundi, maka kita hanya akan memberikan undi itu secara percuma kepada BN (bukannya BN yang memenangi undi itu daripada kita).

Walaupun sekiranya Pakatan kehilangan 3 juta pengundi baru dengan majoriti kecil (48% kepada 52%) dan hanya tewas 1% pengundi bertukar arah PRU2008 yang berjumlah satu juta, kita akan memberi semula BN dua pertiga parlimen (BN akan memenangi 149 kerusi parlimen di bawah senario ini). Oleh itu, kita tidak boleh mengabaikan Pengundi Pertengahan.

Menjelang Kongres Kebangsaan Parti Tindakan Demokatik (DAP) ke-16, saya menyeru pemimpin-pemimpin, perwakilan dan ahli kita untuk menumpukan perhatian memenangi hati Pengundi Pertengahan.

Saya yakin bahawa sekiranya DAP, bersama dengan teman dan rakan seperjuangan di dalam PAS dan PKR, sebagai perikatan Pakatan Rakyat yang bersatu, kekal menumpukan untuk memenangi Pengundi Pertengahan, gelombang sokongan mereka akan membawa kita ke Putrajaya dan membawa era baru untuk Malaysia dan rakyat Malaysia.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur