Kongres DAP ke-16: Bunyikan semboyan siapsiaga untuk PR menjadi kerajaan di Putrajaya dengan 125 kerusi di Parlimen

Kongres ke 16 DAP dalam masa dua hari lagi akan menjadi tumpuan negara untuk lebih dari sekadar satu sebab, iaitu:

  • Ia merupakan persidangan kebangsaan terakhir dalam tahun ini bagi mana-mana parti politik di Malaysia.

  • Bahkan, ia adalah persidangan kebangsaan terakhir untuk mana-mana parti politik sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke 13 yang bakal berlangsung dalam masa 100 hari lagi.

  • DAP adalah satu-satunya parti politik yang berani untuk mengadakan pemilihan parti di ambang pilihan raya, sedangkan parti-parti politik lain telah menangguhkan pemilihan parti sehingga selepas pilihan raya;

  • Adakah DAP akan muncul lebih kuat atau lemah setelah kongres kebangsaan ke-16?

  • Adakah Pakatan Rakyat dan perjuangan ‘UBAH’ akan berjaya membuat perubahan politik di Malaysia sehingga ke Putrajaya, ataukah ia akan melemah?

Dalam satu bulan yang lalu, Pakatan Rakyat telah mengalami halangan besar apabila 4 juta pengundi atas pagar yang bakal menentukan sama ada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional yang akan melantik Perdana Menteri dan membentuk kerajaan di Putrajaya sesudah PRU-13 berasa sangsi sama ada parti komponen Pakatan Rakyat; PKR, PAS dan DAP betul-betul komited dengan Common Policy Framework dan asas-asas yang termaktub dalam Buku Jingga.

Ini adalah pengajaran yang amat berguna untuk semua parti komponen Pakatan Rakyat yang sedang berada dalam iklim politik yang panas dan bakal bertambah hangat dengan kedatangan PRU-13 yang telah lama dinantikan; bahawa mereka mesti sentiasa berjaga-jaga dengan setiap kenyataan dan tindakan yang diambil, bukan sahaja untuk pimpinan kebangsaan tetapi juga semua peringkat; kerana ia boleh memberi kesan yang berkali ganda hebatnya jika dieksploitasi dan diputarbelit oleh para ahli propaganda politik dengan saluran media arus perdananya yang berat sebelah.

Peraturan pemisahan gender di Kelantan yang turut memberi kesan kepada orang bukan Islam adalah kes penting, di mana untuk isu yang serupa DAP dituduh tunduk kepada PAS manakala PAS pula dituduh berkompromi demi menyenangkan hati DAP.

Adalah bohong jika dikatakan pemimpin DAP takut kepada pemimpin PAS, seperti juga jika dikatakan pemimpin PAS takut kepada pemimpin DAP. Adalah juga bohong jika dikatakan orang Melayu atau orang Cina akan tertindas di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat, kerana parti komponen Pakatan Rakyat; PKR, PAS dan DAP amat komited untuk berkhidmat demi kebaikan semua rakyat Malaysia, tanpa peduli latar belakang kaum, agama ataupun kawasan.

Hubungan antara kami dalam Pakatan Rakyat, bersama dengan PKR, adalah sama setaraf di mana kami menghormati perbezaan pendapat satu sama lain. Inilah sebabnya pemimpin DAP telah menyatakan dengan jelas pendirian kami tentang kontroversi salun rambut di Kelantan kepada pimpinan PAS sejak dari mula, walaupun kami tidak mengumumkannya melalui media.

Tetapi ini tidak cukup untuk mendapatkan sokongan daripada 4 juta pengundi atas pagar, seandainya kita mahu berjaya melakukan perubahan kerajaan di Putrajaya, kerana kita mesti meyakinkan mereka bahawa ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat benar-benar komited untuk mengangkat prinsip-prinsip dan dasar-dasar yang menyatukan kita bersama seperti yang termaktub dalam Common Policy Framework dan Buku Jingga sambil meletak ke tepi sejarah perbezaan ideologi.

DAP menyokong sebuah negara yang sekular, manakala PAS pula berada pada pendirian yang sama sekali berbeza tentang hudud - namun kami bersetuju untuk berbeza pendapat demi kemaslahatan demokrasi; mengembalikan kebebasan kepada institusi utama dalam negara sama ada kehakiman, perkhidmatan awam, polis, Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mahupun Jabatan Peguam Negara; bagi memastikan keadilan dan kemakmuran kepada keseluruhan rakyat Malaysia; mengajak kepada kesatuan nasional dan keharmonian antara agama; serta mewujudkan pentadbiran yang baik dengan memerangi rasuah habis-habisan.

Asas DAP untuk bekerjasama dengan PAS bukanlah untuk negara Islam atau hudu, tetapi demi prinsip pendemokrasian, kemajmukan, kepelbagaian budaya, hak asasi manusia, hak wanita dan pembangunan negara.

Malaysia berada di persimpangan bersejarah, di ambang PRU-13 - Sama ada untuk mengekalkan hegemoni UMNO dan negara dengan satu gabungan politik atau untuk mengubah lanskap politik negara dengan mencetuskan sistem dua koalisi demi meletakkan batu tanda kepada demokrasi berparlimen yang lebih matang dan sihat di Malaysia.

Kongres Kebangsaan DAP ke-16 juga akan mencatat sejarah - bukan sahaja yang paling bersejarah dalam perjalanan 46 tahun parti, tetapi juga dalam dalam sejarah 55 tahun Malaysia.

Mungkin kelihatan mudah bagi UMNO/BN untuk mendapat kembali majoriti dua pertiga dalam PRU-13 berbanding untuk Pakatan Rakyat sampai ke Putrajaya, kerana UMNO/BN hanya perlu memenangi lapan kerusi sahaja lagi daripada 140 kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Pakatan Rakyat mempunyai jalan yang masih jauh dalam menuju objektifnya, memandangkan ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat mesti memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi lagi berbanding dengan yang telah dimenangi pada tahun 2008 untuk mendapat majoriti 112 kerusi di Parlimen dalam PRU-13.

Namun untuk menjadi kerajaan persekutuan yang baik, Pakatan Rakyat tidak boleh setakat memiliki majoriti mudah dengan lebihan satu kerusi di Parlimen, bahkan mesti mencuba untuk memenangi lebih banyak kerusi majoriti dalam PRU-13.

Ini adalah tugas yang payah, malah amat berat, tetapi bukanlah mustahil.

Biarlah Kongres Kebangsaan DAP ke-16 membunyikan semboyan siapsiaga untuk Pakatan Rayat menjadi kerajaan di Putrajaya dengan 125 kerusi di Parlimen melalui pembahagian kerusi bernisbah 45:40:40 antara PKR, PAS dan DAP.

Rahsia kepada kejayaan kempen ‘Seratus Hari Menuju Putrajaya’ oleh Pakatan Rakyat bergantung kepada kemampuan kita untuk memenangi undi empat juta pengundi atas pagar dengan menumpukan kepada isu-isu penting nasional, dan juga kemampuan Pakatan Rakyat:

  • untuk menguruskan dan mengurangkan rasuah di dalam negara;

  • untuk menunjukkan jalan ke arah perpaduan nasional yang sebenar dan keharmonian antara kaum;

  • untuk mentadbir dengan lebih saksama dengan keadilan sosial dan kecekapan ekonomi;

  • untuk mengurangkan kadar kemiskinan populasi orang asal di Sabah dan Sarawak dan membawa pembangunan yang lebih mampan kepada kedua-dua negeri ini; dan

  • untuk membawa era baru dalam pentadbiran di mana demokrasi terus berkembang dan didalami.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur