Memohon kemaafan kepada Najib dan pemimpin UMNO/BN kerana dipilih menyertai JTP DAP pada Kongres DAP ke-16 dengan undi tertinggi

Saya berhasrat memohon maaf kepada Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak serta pemimpin UMNO/BN yang lain kerana telah dipilih meyertai Jawatankuasa Tertinggi Pusat (JTP) DAP pada Kongres DAP ke-16 – dan dengan undi tertinggi.

Pemimpin UMNO, termasuklah Najib, telah mengelilingi negara mengecam DAP kononnya sebagai tidak demokratik, menuduh bahawa saya berada di dalam kepimpinan kebangsaan DAP walaupun tidak dilantik sebagai ketua DAP.

Pada Perhimpunan Agung UMNO ke-66 hujung bulan lalu, Najib kembali kepada tema yang sama di dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO apabila beliau mengecam parti-parti Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.

Ini adalah apa yang beliau katakan pada saya: “Walaupun hanya memegang jawatan pemimpin Parlimen DAP yang tidak dipilih oleh ahli parti, ternyata Lim Kit Siang ialah individu yang begitu berkuasa dalam DAP.”

Adalah sangat menghiburkan apabila Najib membuat semua serangan itu ke atas saya di dalam jelajah politiknya ke seantero negara, tertanya sama ada beliau benar-benar telah diperdaya oleh penasihat-penasihat politiknya atau sama ada beliau dengan sengaja berbohong walaupun beliau tahu hakikat sebenar.

Saya telah mengambil bahagian di dalam setiap pemilihan JTP sejak penubuhan parti pada 1966. Pada Kongres DAP ke-15, saya juga telah bertanding di dalam pemilihan JTP dan bertuah kerana berjaya dipilih.

Saya dengan sengaja telah menahan diri daripada mematahkan hujah serangan tidak berasas Najib bahawa saya bukanlah pemimpin DAP yang dipilih kerana mahu melihat di tahap mana hormatnya Perdana Menteri terhadap fakta dan kebenaran atau kualiti kebijaksanaan kumpulan penasihat dan setiausaha Perdana Menteri.

Sekiranya Malaysia mempunyai seorang Perdana Menteri yang tidak menghormati fakta atau kebenaran, berterusan untuk menyampaikan kepalsuan seperti tuduhannya bahawa saya adalah pemimpin yang tidak dipilih DAP, atau penasihatnya begitu teruk kebijaksanaan politik mereka kerana tidak tahu saya telah bertanding di dalam setiap pemilihan JTP DAP dan saya telah mendapat undi tertinggi di dalam Kongres DAP 2008, maka rakyat Malaysia tidak boleh terlalu mempercayai dan meyakini ucapan, kenyataan dan jaminan Perdana Menteri.

Sekarang, apakah kebenarannya? Apakah Najib telah menerima nasihat yang salah daripada penasihatnya atau beliau sengaja mengulang-ulang pembohongan ke atas saya?

Apakah Najib akan memohon maaf kerana berbohong bahawa saya adalah pemimpin yang tidak dipilih DAP sepanjang empat tahun lalu? Saya tidak meminta sebarang permohonan maaf daripada Najib memandangkan saya tidak merasakan berbaloi untuk memintanya. Sekiranya beliau mahu memohon maaf, beliau perlulah melakukannya atas kerelaan sendiri.

Sekarang Najib telah menukar rentaknya selepas laporan akhbar bahawa saya telah menerima undi tertinggi pada Kongres DAP Sabtu lalu.

Semalam di Sandakan, Najib mengatakan DAP merupakan parti yang tidak demokratik kerana “Lim Kit Siang mendapat undi tertinggi manakala anaknya Lim Guan Eng di tempat kedua”.

Sebelum ini, Najib mengatakan DAP tidak demokratik kerana saya bukan pemimpin yang dipilih oleh DAP. Sekarang beliau menuduh DAP sebagai tidak demokratik kerana saya telah mendapatkan undi tertinggi.

Betapa lekehnya Perdana Menteri kita –“ditelan mati emak diluah mati bapa”!

Sekali lagi, saya meminta maaf kepada Najib dan pemimpin UMNO/BN kerana berjaya dipilih sekali lagi menyertai JTP, dan seperti kongres sebelum ini, dengan undi terbanyak.

Pada 47 tahun iltizam saya di dalam DAP untuk membantu mewujudkan Malaysia yang lebih bersatu, adil, demokratik dan makmur, saya akan terus mencurahkan sepenuh tenaga dalam PRU13 untuk merealisasikan impian mustahil Malaysia sehingga hari ini untuk melihat perubahan Kerajaan Persekutuan pada PRU13.

Saya menyeru Najib untuk menunjukkan contoh dengan menamatkan politik kebencian kaum, agama, pembohongan dan menakut-nakutkan yang mana pemimpin UMNO/BN telah sebarkan untuk mengekalkan kuasa UMNO/BN dan memastikan PRU13 merupakan pilihan raya yang lancar, bersih, bebas dan adil.

Tambahan lagi, Najib sepatutnya secara terbuka menjauhkan dirinya dan mengecam sesiapa sahaja yang membangkitkan tentang 13 Mei atau “huru-hara” selepas PRU13 sekiranya UMNO/BN tewas.

Beliau sepatutnya menunjukkan bahawa beliau serius dan ikhlas apabila beliau berulang kali mengatakan sejak menjadi Perdana Menteri pada April 2009 bahawa “era kerajaan tahu segalanya telah berakhir” dan memberikan jaminan bahawa UMNO/BN akan memastikan peralihan kuasa secara aman di Putrajaya kepada Pakatan Rakyat sekiranya ini keputusan pilihan raya – suatu pendirian yang sepatutnya diformalkan dalam bentuk resolusi oleh Majlis Tertinggi UMNO dan BN.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur