Mengutuk keganasan Israel di Gaza

Saya berdiri memberikan sokongan penuh bagi pihak DAP dan Pakatan Rakyat terhadap usul di hadapan Dewan yang mulia ini dan mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas Wilayah Palestin di Gaza serta menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membuat ketetapan supaya Israel menghentikan dengan serta-merta serangan ketenteraannya ke atas Wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata dan memutuskan untuk menempatkan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menguatkuasakan gencatan senjata tersebut.

Satu kemungkaran yang amat kejam dan tidak berperikemanusiaan sedang berlaku di Gaza, Palestin. Sejak hari Rabu yang lepas, rejim Israel telah melancarkan serangan udara secara bertubi-tubi ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Yang lebih jahatnya, serangan-serangan terbaru bertumpu kepada kawasan-kawasan padat penduduk. Antara mangsa-mangsa yang terkorban termasuk kanak-kanak dan orang awam yang tidak bersalah.

Angka kematian kian meningkat, dengan kematian 109 nyawa termasuk pemimpin Hamas Ahmed Al-Jabari, sementara 840 orang lain mengalami kecederaan (termasuk 225 kanak-kanak). Separuh daripada jumlah yang terkorban merupakan orang awam.

Keadaan ini sungguh mendukacitakan. Rakyat Palestin selama ini ditindas oleh rejim Israel di tanah sendiri dan lagi teruknya dianaktirikan oleh kuasa-kuasa besar yang sampai hari ini masih tidak menghormati kedaulatan wilayah tersebut. Kini, mereka sekali lagi menjadi mangsa dasar luar negeri Israel serta tindakan zalim Pasukan Pertahanan Israel (Israeli Defense Force) atau IDF yang tidak teragak-agak untuk menyasarkan serangan ke atas orang awam.

Sikap rakus kepimpinan rejim Israel yang suka menggunakan taktik kekerasan dan keganasan ke atas rakyat Palestin harus dikutuk dengan sekeras-kerasnya. Lagi-lagilah apabila Israel mempunyai kelebihan ketenteraan yang jauh lebih dasyat. Oleh itu, sebarang tindakan keganasan oleh Israel secara lazimnya akan mengakibatkan kematian dan kerosakan yang keterlaluan, seperti yang jelas kelihatan dalam serangan-serangan yang sedang berlaku.

Adakah dunia sanggup melihat lagi pengorbanan insan yang tidak bersalah dan pencetusan perang secara besar-besaran di Timur Tengah? Sekiranya keganasan rejim Israel tidak dibendung, perang akan menjadi satu kepastian. Malah, mengikut laporan-laporan berita, tentera Israel sudah pun bersedia dan telah dihantar kepada sempadan Gaza.

DAP dan Pakatan Rakyat menyuarakan sokongan kami dalam semangat kesetiakawanan bersama rakyat Palestin. Kami juga menyokong jalan penyelesaian multilateral malalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Sungguhpun begitu, kami amat kecewa dengan tindakan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang lekas membela rejim Israel dengan mengatakan bahawa Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri daripada serangan roket daripada militan Palestin. Bagaimana pula dengan hak rakyat Palestin untuk mempertahankan diri daripada penindasan sistematik dan keganasan tajaan rejim Israel yang membawa kematian dan kerosakan skala besar?

Pada masa yang sama, Presiden Obama berkata bahawa "violence is not the answer", ataupun "keganasan itu bukan penyelesaian". Apakah serangan udara oleh rejim Israel itu bukan keganasan? Pendirian lidah bercabang dua ini tidak akan membantu dalam menyelesaikan masalah rakyat Palestin.

Justeru, kami menggesa Wisma Putra agar membuat bantahan diplomatik dan menyampaikan pesanan yang tegas kepada pihak-pihak berkuasa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu hendaklah mengeluarkan ketetapan melalui Majlis Keselamatan untuk mengutuk keganasan yang sedang berlaku serta segera menghentikan keganasan oleh rejim Israel. Pada masa yang sama, Amerika Syarikat harus lebih bertanggungjawab dan memberi tekanan yang kuat kepada rejim Israel dan bukan hanya beromong kosong.

Sekiranya komuniti antarabangsa hanya membiarkan sahaja keganasan dan pencabulan hak asasi yang sedang berlaku ke atas rakyat Palestin, maka kita semua akan berkongsi dosa. Kekejaman rejim Israel adalah amat terkutuk dan wajib dihentikan dengan serta merta.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur