Mengalu-alukan penjelasan UNODC bahawa ia tidak menghakimi rasuah di Malaysia

Saya mengalu-alukan penjelasan daripada Ketua Cawangan Rasuah dan Jenayah Ekonomi, Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Dadah dan Jenayah (UNODC), Dmitra Vlassis bagi melenyapkan persepsi-persepsi bahawa beliau menghakimi dan memuji usaha kerajaan Malaysia memerangi rasuah ketika Persidangan Persatuan Pihak Berkuasa Anti-rasuah Antarabangsa (IAACA).

Saya telah mengeluarkan satu kenyataan minggu lepas mempersoalkan laporan berita berkenaan pujiannya terhadap "usaha serius" Kerajaan Malaysia dalam memerangi rasuah.

Saya telah menekankan pada waktu itu bahawa mereka yang menjalankan kempen anti-rasuah gerun mendengar pujian sedemikian dan merasakan ia "satu tamparan hebat daripada agensi anti-rasuah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggugat usaha mereka untuk memastikan pentadbiran Najib supaya mempunyai kesungguhan politik untuk benar-benar buat seperti apa dikata untuk membanteras rasuah. Terutamanya "Rasuah Besar" melibatkan VVIP-VVIP terutamanya personaliti politik dan awam."

Saya juga telah mengatakan:

"Tambahan lagi, mereka kebingungan bagaimana usaha membanteras rasuah kerajaan Malaysia layak dipuji apabila dalam tempoh 17 tahun menunjukkan kedudukan dan mata Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi 2011 mencatat rekod paling rendah - yakni kedudukan nombor 60 dan mata 4.3 sedangkan pada 1995 Malaysia berada pada kedudukan nombor 23 dan mata 5.23 pada 1996."

"Dalam erti kata lain, CPI TI 2011 menekan hakikat menakutkan yang rasuah di Malaysia semakin buruk dan tak terkawal di bawah Perdana Menteri Najib Razak berbanding mana-mana pemimpin sebelumnya. Baik lima tahun di bawah Tun Abdullah atau 22 tahun di bawah Tun Mahathir."

Dalam penjelasannya tentang apa yang beliau katakan pada sidang akhbar ketika perhimpunan IAACA,Vlassis mengatakan:

"Malang sekali, sebahagian komentar dan respon saya ketika sidang akhbar telah disalahfahami dan dipetik luar daripada konteks. Akibatnya, mereka salah tafsir dan mungkin mencipta tanggapan yang salah."

Vlassis mengatakan beliau telah ditanya tentang rasuah di Malaysia. Beliau berkata:

"Saya membalas bahawa saya bukan berada di kedudukan yang sepatutnya untuk menghakimi hal itu kerana di luar bidang kuasa saya dan dengan itu tidak wajar menilai pencapaian sesebuah negara."

Saya mengalu-alukan penjelasan bahawa beliau tidak menghakimi rasuah di Malaysia.

Saya mahu menjelaskan bahawa saya tidak mengatakan yang Vlassis atau mana-mana badan UN atau badan anti-rasuah antarabangsa tidak patut menilai atau menghakimi usaha membanteras rasuah Malaysia, akan tetapi penghakiman atau penilaian itu mestilah berdepan dengan penelitian dan pemeriksaan umum.

Walaupun tanpa merujuk kepada kedudukan dan skor terburuk Malaysia dalam tempoh 17 tahun sejarah Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI), adalah amat tidak masuk akal mana-mana manusia yang rasional atau berfikiran waras dapat memuji rekod anti-rasuah Malaysia tidak kira kriteria apa yang digunakan untuk penilaian.

Hakikatnya, kewibawaan SPRM telah merosot ke tahap terendah selepas tamparan hebat pra-IAACA dan pasca-IAACA.

Orang-orang penting dalam perang anti-rasuah sedunia yang hadir pada Persidangan IAACA keenam adalah terdiri daripada pendakwaraya, penyiasat, mantan hakim dan pakar-pakar dengan pengalaman dalam penyelidikan dan praktik anti-rasuah mustahil tidak tahu bahawa mereka berjumpa dalam keadaan paling memalukan bagi negara dan organisasi tuan rumah.

Ini kerana Persidangan IAACA keenam diadakan dua hari selepas sebuah kes syariah yang mendapat publisiti meluas. Shahnaz Abdul Majid yang merupakan bekas menantu Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, menggambarkan bekas bapa mertuanya sebagai manusia terkaya di Malaysia dan berkemungkinan Asia Tenggara. Manakala bekas suaminya Abu Bekir Taib memiliki harta sebanyak RM1 bilion, mempunyai 111 buah akaun seluruh dunia dengan deposit dianggarkan bernilai RM700 juta.

Tiga minggu sebelum Persidangan IAACA keenam, sebuah NGO berpengkalan di Switzerland, Bruno Manser Fund (BMF) menggemparkan dunia apabila mengeluarkan di Brussels sebuah laporan yang menganggarkan aset keluarga Taib bernilai US$21 bilion (RM64 bilion) dan kekayaan Taib sendiri bernilai US$15 bilion (RM46 bilion).

Tidak diragui lagi topik utama dalam perbualan-perbualan perserta-perserta persidangan IAACA keenam di luar persidangan bukanlah perkara rasmi di dalam agenda IAACA, tetapi betapa tidak berdayanya tuan rumah - SPRM - terhadap pendedahan kekayaan Taib selepas tiga dekad sebagai Ketua Menteri Sarawak dan isyarat daripada Perdana Menteri kepada SPRM supaya tidak melayan penyiasatan dan pertanyaan-pertanyaan tentang laporan BMF.

Seolah-olah kekebalan Ketua Menteri Sarawak daripada akauntabiliti terhadap kekayaannya tidak cukup untuk memusnahkan kewibawaan SPRM dan mendedahkan betapa tidak berdayanya mereka dalam memerangi "Rasuah Besar", SPRM terkena satu lagi tamparan hebat pasca-IAACA apabila Parlimen diberitahu bahawa wang RM40 juta dalam matawang Singapura yang dtemui bersama seorang ahli perniagaan Sabah, ketika ditangkap cuba menyeludupnya keluar dari Hong Kong pada Ogos 2008 adalah sumbangan politik kepada Umno Sabah dan bukannya Ketua Menteri Musa Aman serta sebarang "elemen rasuah tidak dapat dibuktikan".

Disebabkan inilah ketika perbahasan Belanjawan 2013 saya mengatakan bahawa SPRM dan pentadbiran Najib tidak mampu melepasi "ujian trio" dalam perang ke atas "Rasuah Besar" - merujuk kepada pertuduhan rasuah yang serius terhadap Ketua Menteri Sabah dan Sarawak serta Peguam Negara Tan Sri Gani Patail.

Penjelasan oleh Vlassis, Ketua Cawangan Rasuah dan Jenayah Ekonomi UNODC bahawa beliau tidak menghakimi usaha memerangi rasuah Malaysia adalah tepat pada masanya dan bijak kerana jika tidak badan antarabangsa akan diheret sama dan hilang kewibawaan di mata rakyat Malaysia dan mereka yang berkempen memerangi rasuah baik di Malaysia mahupun serata dunia.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur