Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 menjanjikan New Deal untuk Sabah dan Sarawak

Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 memperakui dan menumpukan kepada tiga “C” rasuah (corruption), jenayah (crime) dan daya saing (competitiveness) – tiga masalah yang menjadi punca masalah ekonomi Malaysia dan jika tidak diselesaikan akan menjerumuskan negara ke arah yang tidak berapa baik dan negara gagal.

Belanjawan PR 2013 juga menjanjikan New Deal untuk Sabah dan Sarawak, yang terdiri daripada lima unsur:

  1. Menegaskan kembali Deklarasi Kuching Pakatan Rakyat pada 16hb September untuk memenuhi harapan dan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak dari segi pembangunan infrastruktur dan perlindungan terhadap hak-hak asasi mereka ketika membentuk Malaysia pada 1963, 49 tahun lalu;

  2. Pakatan Rakyat juga berjanji untuk menaikkan royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak (juga untuk Terengganu, Kelantan dan negeri-negeri pengeluar minyak lain) daripada 5 kepada 20%;

  3. Penubuhan syarikat minyak dan gas milik negeri untuk Sabah dan Sarawak (juga untuk Terengganu, Kelantan dan negeri-negeri pengeluar minyak lain) supaya mendapat faedah daripada pelaburan kewangan ke atas telaga marginal melalui kontrak perkongsian risiko (RSCs). Syarikat minyak dan gas milik negeri akan dipupuk supaya mampu bersaing di peringkat antarabangsa pada masa depan sebagai persediaan penyusutan rizab di Malaysia;

  4. Sebuah Lebuhraya Pan-Borneo yang lengkap dan dipertingkat menghubungkan Kuching hingga Kota Kinabalu dan pantai timur Sabah bagi membawa pembangunan ke Sabah dan Sarawak agar setanding Semenanjung Malaysia; dan

  5. Penaksiran ke atas impak kewangan dan daya maju peningkatan dan pembesaran jaringan landasan di Sabah dan Sarawak.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur