'Father Augustus Chen' adalah imaginasi “war room” Umno/BN dalam perang saraf menentang DAP
Kenyataan yang dikeluarkan kelmarin oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Ahli Parlimen Umno Hasan Malek menyebut nama rekaan “Father Augustus Chen” sebagai sumber berwibawa yang menjadi asas bagi keputusan Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).
Kenyataan beliau itu menunjukkan bahawa konspirasi Umno/BN untuk menjadikan pemilihan CEC DAP yang diadakan Disember lepas sebagai tidak sah telah memasuki dunia yang sungguh aneh.
“Father Augustus Chen” yang dikatakan menulis sebuah risalah yang menjelaskan tentang percanggahan dalam pemilihan parti DAP tahun lepas adalah semata-mata imaginasi “war room” Umno/BN dalam kempen menentang DAP sebelum dan selepas Pilihanraya Umum ke-13.
Tuduhan tentang percanggahan dalam pemilihan DAP oleh “Father Augustus Chen” ini tidak lain adalah salah satu serpihan daripada sekian banyak pembohongan dan tuduhan tidak berasas yang telah diterbitkan menerusi sekitar 400 laporan dan tulisan tentang DAP dalam media di bawah kawalan Umno/BN sejak Januari, khususnya dalam Utusan Malaysia dan New Straits Times.
Risalah yang ditulis oleh watak rekaan ini diberikan kedudukan yang begitu tinggi dalam media yang dikawal Umno/BN sehingga berita tentangnya diterbitkan dalam empat bahasa, iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina, dan Tamil, serta diedarkan dengan meluas secara percuma. Semua ini menunjukkan bahawa ia ada kaitan dengan kempen “war room” Umno/BN untuk memburuk-burukkan dan memusnahkan DAP (DDD).
Saya pada mulanya merasa pelik mengapa risalah pembohongan yang dikarang oleh watak rekaan “Father Augustus Chen” muncul bulan lepas memandangkan Pilihanraya Umum ke-13 telah berlalu. Kini saya faham mengapa ia muncul, iaitu untuk memberi semacam justifikasi kepada tindakan Umno/BN dan RoS ke atas DAP.
Menurut Abdul Rahman, Akta Pertubuhan tidak memestikan RoS menjelaskan keputusannya kepada orang ramai.
Saya tidak rasa RoS ingin mengatakan bahawa ia mempunyai kuasa menurut undang-undang untuk bertindak secara tidak wajar, maka cara terbaik untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa ia tidak menyalahgunakan kuasanya ialah dengan menjelaskan alasan bagi keputusannya.