“Father Augustus Chen” perlu tampil dalam masa tujuh hari untuk membuktikan ia bukan hantu
Saya telah katakan sebelum ini bahawa “Father Augustus Chen” yang risalahnya “The Equity Report (CEC Election Fraud) digunakan sebagai sumber oleh pimpinan Umno/BN dan Pendaftar Pertubuhan untuk mengisytiharkan pemilihan CEC Disember lalu sebagai tidak sah adalah semata-mata imaginasi “war room” Umno/BN dalam kempen menentang DAP sebelum dan selepas Pilihanraya Umum ke-13.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Ahli Parlimen Umno dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek telah mengesahkan bahawa beliau akan menandingi kerusi Majlis Pimpinan Tertinggi Umno dalam pemilihan parti itu Ogos ini. Berita ini mengesahkan betapa pembohongan dan kepalsuan tentang percanggahan pemilihan CEC DAP tahun lepas sedang dijadikan bahan demi pemilihan parti Umno.
Hasan Malek hujung minggu yang lepas telah menyebut nama “Father Augustus Chen” sebagai sumber yang digunakan sebagai alasan untuk Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC.
Dua rekod baru dicatatkan di sini–pertama, buat kali pertama dalam sejarah 56 tahun undang-undang awam di Malaysia, Menteri Kabinet dan pegawai awam bergantung pada watak rekaan untuk menghalalkan keputusan mereka dan, kedua, penggunaan buku picisan sebagai bukti, sedangkan buku ini tidak berbeza daripada “surat layang” dan malah ia diterbitkan dengan cara yang menyalahi undang-undang, iaitu tanpa menyebutkan nama pencetak dan penerbit.
Meski pun begitu, risalah “surat layang” yang diterbitkan oleh watak rekaan ini telah diberikan perhatian penting dalam media di bawah kawalan Umno/BN, setelah begitu banyak dana dan sumber dilaburkan untuk menerbitkannya dalam empat bahasa, iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina, dan Tamil, serta diedarkan dalam jumlah yang besar secara percuma.
Apakah menteri kabinet seperti Hasan Malek dan Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan sanggup memberi jaminan bahawa “Father Augustus Chen” benar-benar wujud dan bukannya seekor hantu yang dicipta oleh “war room” Umno-BN dalam kempen menentang DAP?
Kita berikan masa tujuh hari untuk “Father Augustus Chen” menampilkan diri dan membuktikan bahawa ia benar-benar wujud – jika tidak, apakah Pendaftar Pertubuhan sanggup mempertimbangkan semula keputusannya agar DAP mengadakan semula pemilihan CEC?
Saya sendiri tidak kisah jika pemilihan semula CEC diadakan kerana ia akan mendedahkan pembohongan dan kepalsuan tentang percanggahan dalam pemilihan CEC Disember lalu. Tetapi perkara ini melibatkan prinsip penting dalam perundangan awam, iaitu bahawa Pendaftar Pertubuhan harus mempunyai alasan yang kuat sebelum ia boleh mengarahkan sesebuah parti politik mengadakan pemilihan semula pimpinan parti.
Umno, MCA, Gerakan, dan MIC akan mengadakan pemilihan parti dalam masa beberapa bulan saja lagi.
Apakah RoS ingin menyatakan bahawa ia mempunyai kuasa untuk mengarahkan Umno, MCA, Gerakan, dan MIC mengadakan semula pemilihan pasti berasaskan aduan-aduan yang dikemukakan kepada RoS sedangkan aduan-aduan berkenaan tidak pernah dikemukakan kepada parti yang terbabit itu sendiri, dan mengarahkan parti-parti itu mengadakan pemilihan semula tanpa memberi alasan yang munasabah?