Mari kita renungkan pertanyaan: “Apa Lagi Malaysia Mau?”

Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada saya untuk semua Muslim di Malaysia.

Aidilfitri adalah kesempatan yang baik untuk bukan-Muslim di Malaysia menyertai rakan-rakan mereka dari kalangan Muslim dalam perayaan yang disambut di seluruh negara ini bagi mengukuhkan perpaduan kebangsaan, keharmonian dan rasa kebersamaan yang telah dibina selama 56 tahun usia Malaysia.

Beberapa peristiwa mutakhir ini telah membangkitkan kebimbangan tentang masa depan Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, bahasa, agama, budaya dan daerah.

Sejurus selepas pilihanraya umum ke-13, Utusan Malaysia terus menerbitkan tajuk muka depan: “Apa Lagi Cina Mau?”

Soalan ini tidak sepatutnya ditanya, demikian juga soalan-soalan lain seperti “Apa lagi Melayu mau?” “Apa lagi India mau?” “Apa lagi Kadazan mau?” atau “Apa lagi Dayak mau?”

Kita boleh faham kalau soalan-soalan sedemikian ditanya di dekad pertama penubuhan negara ini. Ada sesuatu yang tak kena kalau ia masih diajukan di dekad keenam usia negara ini.

Soalan yang lebih tepat untuk ditanya adalah: “Apa lagi Malaysia mau?”

Maka jawapannya adalah, Malaysia mahukan tadbir-urus yang baik, kejayaan dalam usaha membasmi korupsi, keamanan dalam negara dan kadar jenayah yang rendah; keadilan ekonomi, kemajuan dan kemakmuran untuk semua warga serta sistem pendidikan bertaraf dunia dari peringkat rendah sampai ke universiti.

Ada sesuatu yang amat tidak kena jika dalam proses pembinaan negara ini kita berulangkali mendengar ungkapan “Balik Cina,” “Balik India,” atau malah “Balik Indonesia.”

Inilah kesempatan untuk semua rakyat Malaysia yang cintakan negara ini dan tidak mempunyai hasrat untuk berhijrah ke negara lain merenung bagaimana hendak menjadikan Malaysia lebih bersatu, lebih harmoni, lebih kukuh, lebih membangun dan lebih makmur untuk semua rakyatnya tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

Marilah semua kita rakyat Malaysia memikirkan pertanyaan “Apa lagi Malaysia mau?”

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah