Hak politik mahasiswa harus dihormati dan bukan dianiaya dengan keganasan politik samseng
Saya berasa amat kesal membaca laporan berita tentang insiden serangan ganas ke atas sekumpulan mahasiswa daripada Gerakan Mahasiswa PRU-13 di Pekan, Pahang.
Dalam petikan media, wakil kumpulan mahasiswa tersebut, Ekhsan Bukhari, telah berkata bahawa kejadian itu berlaku semasa mereka sedang mengedar risalah, di mana “tiba-tiba kumpulan 100 samseng di kalangan ahli-ahli Umno Bahagian Pekan mengepung kami. Ada yang kena sepak, tampar, terajang. Mahasiswi pula kena tarik tudung.”
Budaya politik samseng ini amat keji dan memperlihatkan didikan dan kapasiti minda yang dangkal, apatah lagi apabila ia berlaku di Pekan, iaitu kawasan Parlimen Perdana Menteri sendiri. Tidakkah ini memalukan Perdana Menteri, apabila siswa-siswi yang tidak bersalah telah disepak terajang malah ada siswi yang dilaporkan ditarik tudungnya?
Sebagai Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Tun Razak sepatutnya bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak buahnya untuk berhujah dengan akal. Sebaliknya, mereka hanya mampu menganiaya sekumpulan anak muda dengan kekerasan.
DAP menghormati hak mahasiswa yang ingin menyertai proses demokrasi secara langsung, serta hak mereka untuk menyuarakan sebarang bantahan dan tuntutan melalui apa cara sekalipun selagi ia tidak melanggar undang-undang. Lagipun, pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti di Parlimen tahun lalu tambah mengabsahkan hak mahasiswa untuk berpolitik.
Saya memandang budaya politik UMNO ini sebagai ketinggalan zaman dan mewajarkan lagi kejatuhan mereka daripada persada politik tanah air. Budaya politik samseng ini mesti ditolak, dan UMNO wajar mendidik penyokong-penyokongnya untuk menghormati demokrasi dan berlawan politik secara beradab. Cabaran politik harus disahut dengan hati dan dada yang lapang dan bukan dengan keganasan.
Saya menyeru kepada Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Tun Razak, supaya memperbetulkan kesilapan anak-anak buahnya dan meminta maaf kepada para mahasiswa yang telah dianiaya dengan keganasan yang melampau.