Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein Onn patut meminta maaf secara terbuka ke atas pembohongan beliau kerana penyata tahunan DAP terbukti telah dihantar ke ROS pada 8 Februari 2013

Saya amat terkilan dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn semalam yang mendakwa bahawa DAP tidak menyerahkan penyata tahunan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dalam tempoh 60 hari selepas Kongres Kebangsaan DAP pada 15 dan 16 Disember 2012.

Kenyataan Hishammuddin ini adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali dan seolah-olah satu pembohongan untuk mencemarkan kewibawaan dan imej DAP.

Hakikatnya, DAP telah menghantar laporan penyata tahunan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di Putrajaya pada 8 Februari 2013 iaitu 7 hari sebelum tempoh 60 hari untuk menyerahkan penyata tersebut tamat. Surat penghantaran penyata itu telah pun dicop dan disahkan terima oleh pegawai ROS melalui kaunter penerimaan di Tingkat 3, Bangunan Utama Chancery Place, Jalan Diplomatik 2, Presint 15, Putrajaya.

Bagaimana surat dan penyata yang telah pun disahkan penerimaannya oleh Ibu Pejabat ROS sendiri boleh dikatakan oleh Menteri Dalam Negeri sebagai tidak pernah diterima? Apakah tahap professionalisme ROS dan Kementerian Dalam Negeri dalam perkara ini?

Sekiranya penyata yang telah dihantar pun boleh “hilang” dalam Ibu Pejabat ROS, bagaimana kami boleh menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap ROS untuk menjalankan siasatan yang adil terhadap DAP?

Apakah terdapat satu komplot atau konspirasi di kalangan pimpinan tertinggi Kerajaan Barisan Nasional untuk membatalkan pendaftaran (deregistration) parti DAP?

Menteri Dalam Negeri Hishammuddin patut meminta maaf secara terbuka ke atas pembohongan beliau kerana penyata tahunan terbukti telah dihantar ke ROS pada 8 Februari 2013.

Picture of annual return document to ROS
Loke Siew Fook Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP