“Tentera Kacang Merah” – Kegilaan melampau UMNO/BN yang akan menelan belanja sebanyak RM350 juta!

Sekali lagi Tentera Kacang Merah dijadikan bahan perbincangan dalam Parlimen.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Parlimen pada waktu soal-jawab kelmarin bahawa “Tentera Kacang Merah dan yang sejenis dengannya” akan dikenakan tindakan jenayah dan sivil kerana menyebarkan pembohongan menerusi internet.

Banyak pertanyaan muncul dalam benak.

Pertama, apakah Menteri Dalam Negeri yang dianggap bijak dan mempunyai latar belakang yang baik itu benar-benar mempercayai kewujudan “Tentera Kacang Merah” yang dibiayai DAP dan dianggotai oleh 3,000 cybertrooper dan kepercayaan ini pula disokong oleh polis? Apakah Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar akan memberi penjelasan tentang perkara ini?

Kedua, mengapa kerajaan belum mengambil sebarang tindakan ke atas Tentera Kacang Merah ini, padahal tentu tidak sukar untuk polis-polis siber membongkar kegiatan pasukan ini jika ia benar-benar wujud, apatahlagi ada pihak yang telah memberi ‘maklumat’ bahawa Hotel Concorde, iaitu sebuah hotel yang kerap dikunjungi para pemimpin atasan UMNO/BN, digunakan sebagai pusat operasi utama bagi tentera siber serba mistik ini.

Kerana itulah minggu lalu saya mengepalai sekumpulan Ahli Parlimen DAP membuat lawatan ke Hotel Concorde. Namun, yang kami lihat tempat itu dipenuhi para pemimpin dan penggerak UMNO. Bukan saja tiada tanda-tanda kewujudan Tentera Kacang Merah, malah kacang merah sekali pun tidak ditemui dalam ais kacang yang begitu mahal di hotel itu!

Ketiga, apakah Menteri Dalam Negeri mempunyai kepakaran yang lebih tinggi dalam bidang teknologi maklumat daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia, memandangkan Timbalan Menteri kementerian itu sendiri telah mengaku di Parlimen Khamis lalu bahawa beliau tidak tahu apa Tentera Kacang Merah atau sama ada Tentera Kacang Merah wujud, walaupun cakap-cakap tentang tentera khayalan ini banyak di dengar di ruang siber dan dalam media yang dikawal oleh Barisan Nasional.

Keempat dan yang paling menarik, mengapa UMNO/BN menunjukkan kegilaan melampau terhadap dongeng Tentera Kacang Merah ini?

Setelah disedari minggu lalu bahawa tiada tanda-tanda kewujudan Tentera Kacang Merah di Hotel Concorde, sebuah hotel yang kerap dikunjungi para pemimpin dan penggerak UMNO dan malah tiada kacang merah sekali pun dalam ais kacang yang begitu mahal di hotel itu, dongeng Tentera Kacang Merah yang kononnya dibiayai oleh DAP dan dianggotai oleh 3,000 cybertrooper ini menjadi sasaran sindiran, ejekan dan jenaka.

Tindakan Zahid kelmarin tidak lain adalah percubaan untuk menyelamatkan dongeng Tentera Kacang Merah daripada menjadi bahan ketawa.

Jelas sekali, kegilaan melampau UMNO/BN untuk meneruskan dongeng “Tentera Kacang Merah” ini ada kaitan dengan agenda sulit sebahagian pemimpin atasan UMNO/BN untuk menghalalkan peruntukan RM350 juta bagi memerangi Tentera Kacang Merah yang mereka khayalkan sepanjang lima tahun mendatang.

Atas sebab itulah dongeng “Tentera Kacang Merah yang dibiayai DAP dan dianggotai 3,000 cybertrooper dengan peruntukan sebanyak RM100 juta hingga RM1 bilion sejak enam tahun lalu” perlu diselamatkan dan dihidupkan semula, kerana tanpa dongeng ini tiadalah alasan untuk memberikan peruntukan sebanyak RM350 juta kepada para cybertrooper UMNO/BN untuk mereka meneruskan operasi untuk lima tahun ke depan.

Maka fahamlah kita sebab-musabab UMNO/BN menunjukkan kegilaan melampau terhadap dongeng Tentera Kacang Merah.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah