Tuntutan reformasi pilihanraya DAP yang menghormati prinsip 'satu orang, satu undi, satu nilai' tidak akan dilemahkan dengan taktik kotor BN

Tuntutan reformasi pilihanraya DAP yang menghormati prinsip 'satu orang, satu undi, satu nilai' tidak akan dilemahkan dengan taktik kotor BN untuk cuba memecahbelahkan Pakatan Rakyat dengan menjemput DAP menyertai BN kerana perjuangan DAP adalah demi prinsip bukan jawatan, demi polisi mesra rakyat dan bukan kepentingan peribadi. Jelas sekali taktik terkini BN itu dirangka untuk memecahkan perpaduan Pakatan Rakyat.

DAP tidak berminat langsung untuk menyertai BN demi jawatan, kerana jika kami mahu, kami telah buat begitu 40 tahun lalu. Namun DAP tetap enggan menyertai BN dan berpegang teguh kepada idealisme, prinsip dan polisi ke arah Malaysia yang lebih adil, bebas dan demokratik. Pemimpin DAP bukan sahaja telah mengorbankan keistimewaan dan kemewahan jawatan tinggi, malah telah mengorbankan kebebasan sendiri sehingga dikurung dan dipenjara.

Sekiranya pemimpin DAP boleh berpegang teguh dan bersatu hati di saat ia kalah dalam pilihanraya, tidak sangsi lagi bahawa DAP akan tetap bersatu hati sekarang ketika ia berjaya memenangi jumlah kerusi tertinggi dalam sejarah parti, iaitu sebanyak 38 kerusi Parlimen dan 107 kerusi DUN. Cadangan untuk DAP menyertai BN ini dibuat oleh seorang Ahli Parlimen MCA dan seorang bekas menteri UMNO yang rasis; jelas bertujuan melemahkan kempen Pakatan Rakyat untuk menuntut reformasi pilihanraya dan memecahkan perpaduan Pakatan Rakyat.

Keperluan reformasi pilihanraya ini adalah sorotan daripada ketidakadilan dalam keadaan Pakatan Rakyat menang undi popular di PRU ke 13 tetapi tidak berjaya mendapat kuasa pentadbiran daripada BN. Bagaimana mungkin BN menang kuasa di Perak padahal Pakatan Rakyat menang 55% undi popular? Sama juga bagaimana BN terus berkuasa di Kerajaan Persekutuan padahal Pakatan Rakyat mendapat 51% undi popular, peningkatan 3% undi tersebut yang mebolehkan Pakatan Rakyat menambah 7 kerusi Parlimen daripada 82 ke 89.

Ketidakadilan dan taktik kotor sebegini jelas kelihatan di Perak apabila Pakatan Rakyat menang 52% undi popular pada tahun 2008 dan berjaya memenangi kuasa dengan 31 kerusi DUN berbanding 28 kerusi milik BN. Pada PRU kali ini, Pakatan Rakyat menang lebih banyak undi popular di Perak, kali ini dengan 55% namun hanya mendapat 28 kerusi berbanding 31 kerusi BN. Di kedua-dua kerajaan Persekutuan dan Perak, kita mempunyai kerajaan minoriti BN atau Perdana Menteri minoriti dan Menteri Besar Perak minoriti mengepalai kerajaan.

Sebarang rundingan kerjasama mestilah dijalankan melalui Pakatan Rakyat secara bersama dan bukan melalui individu atau parti secara individu.Pakatan Rakyat sedia bekerjasama dengan BN untuk melaksanakan reformasi pilihanraya bagi memperlihatkan kemarahan majoriti rakyat Malaysia yang telah mengundi untuk perubahan namun mendapati bahawa meskipun menang undi popular, mereka masih tidak boleh menjatuhkan BN.

Sebelum ada jemputan untuk DAP menyertai BN ini, telah pun ada jemputan serupa supaya PAS menyertai BN bersama UMNO untuk membentuk kerajaan perpaduan. Semua ini dilakukan ketika UMNO terus mencela DAP dan masyarakat Cina kerana berani melawan dan mengundi selain BN. Rakyat Malaysia sudah tidak bodoh lagi dan tidak akan membiarkan BN memainkan isu perkauman di peringkat nasional.

Sepatutnya setiap perkara mesti dibincangkan dan diputuskan berasaskan merit dan bukan dasar perkauman tetapi keperluan. Inilah dia anjakan paradigma baru dalam PRU kali ini - yang rakyat telah muak dan menyampah dengan politik perkauman sempit dan ekstrim, serta telah memilih dengan jelas polisi-polisi yang mesra rakyat dan mampu mengubah kehidupan rakyat Malaysia.

Marilah kita buktikan bahawa kuasa rakyat lebih berkuasa daripada mereka yang memegang kuasa!

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan