Cadangan menggubal undang-undang anti-katak bukan perihal Kebebasan Berpersatuan tetapi perihal Pengkhianatan Amanah Awam

Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Nazri Abdul Aziz salah kerana menyatakan bahawa cadangan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menggubal undang-undang “anti-katak”, dengan menggunakan alasan bahawa ia bertentangan dengan kebebasan untuk menyertai mana-mana parti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Cadangan pindaan perlembagaan negeri untuk meluluskan undang-undang anti-katak ini bukan perihal kebebasan berpersatuan tetapi perihal pengkhianatan amanah awam serta pengkhianatan prinsip-prinsip asas demokrasi perwakilan dan kebertanggungjawaban.

BN sendiri tidak memberi kebebasan berpersatuan yang penuh apabila ia menghalang pendaftaran organisasi-organisasi atau kesatuan-kesatuan sekerja tertentu. Kebebasan berpersatuan menjamin hak rakyat untuk meninggalkan atau menyertai mana-mana parti politik yang diingini.

Namun demikian, untuk seseorang wakil rakyat yang dipilih atas tiket parti untuk melompat adalah tindakan yang tidak bermoral, tidak beretika dan tidak berprinsip yang tidak menghormati pilihan demokratik rakyat. Jika mereka dipilih atas tiket sesebuah parti dan ingin meninggalkan parti tersebut, mereka harus letak jawatan dan membenarkan rakyat memilih semula. Demokrasi, kebertanggungawaban dan etika bererti bahawa rakyat harus diberi peluang untuk mengadili sama ada keputusan wakil rakyat untuk melompat parti itu boleh diterima atau tidak.

Presiden MCA Chua Soi Lek salah kerana mendakwa bahawa DAP tidak konsisten kerana menerima kemasukan 2 bekas ahli UMNO, iaitu bekas Adun Pulau Manis Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz serta blogger Aspan Alias awal tahun ini. Kedua-dua mereka ini telah menunaikan hak untuk berpersatuan dengan menyertai DAP. Oleh kerana mereka berdua bukanlah wakil rakyat, isu pengkhianatan amanah awam atau prinsip demokratik tidak timbul.

Walaubagaimanapun, kenyataan Nazri adalah betul bahawa Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa kelulusan undang-undang anti-katak bercanggah dengan Perlembagaan sepertimana dalam kes Dewan Undangan Negeri v Nordin Salleh pada tahun 1992. Kerajaan negeri Pulau Pinang percaya bahawa keputusan mahkamah itu adalah salah dan harus ditimbang semula. Terdapat duluan di mana Mahkamah Persekutuan telah mengakaskan keputusan terdahulu yang didapati salah.

Dalam kes Adorna Properties v Boonsom Boonyanit (2000), Mahkamah Persekutuan (diketuai Ketua Hakim Eusoffe Chin) telah membenarkan pelucutan tanah Puan Boonyanit akibat angkara penipu yang telah menjual tanahnya kepada pihak ketiga. Selama 10 tahun, keputusan ini telah menyebabkan kesukaran kepada pemilik-pemilik tanah yang tidak mempunyai jalan keluar sekiranya hartanah mereka dijual oleh penipu kepada pihak ketiga tanpa persetujuan mereka. Akhirnya pada tahun 2010, Mahkamah Persekutuan dalam kes Tan Ying Hong telah mengakaskan keputusan terdahulu kes Boonsom Boonyanit, atas asas bahawa kesilapan dalam keputusan tersebut adalah “amat jelas dan terang”.

Sepertimana Mahkamah Persekutuan telah mengkaji semula dan mengakaskan keputusan dalam kes Boonsom Boonyanit yang telah membenarkan pemilik tanah untuk ditipu, mereka juga harus mengkaji semula dan mengakaskan keputusan dalam kes Nordin Salleh yang telah mengakibatkan penipuan rakyat Malaysia sebanyak dua kali dalam pemilihan kerajaan negeri. Masa sudah tiba untuk memulangkan hak untuk memilih kerajaan kepada rakyat Malaysia.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP, Ketua Menteri Pulau Pinang & Ahli Parlimen Kawasan Bagan