AES PR akan memastikan semua isi rumah mempunyai pendapatan bulanan minima RM770 serta memanfaatkan semua termasuk golongan miskin di kalangan masyarakat India

Saya mengucapkan Selamat Hari Deepavali dan selamat menyambut Pesta Cahaya kepada semua warga Hindu di Pulau Pinang dan Malaysia. Untuk memperingati sambutan ini, kerajaan negeri Pulau Pinang telah membuat keputusan untuk menyemarakkan cahaya ke atas golongan miskin dengan menjadi negeri pertama di Malaysia untuk menghapuskan kemiskinan pada tahun 2013.

Agenda Ekonomi Saksama (AES) Pakatan Rakyat yang bakal meghapuskan kemiskinan di Pulau Pinang pada tahun 2013 akan memastikan semua isi rumah mempunyai pendapatan bulanan minima RM770 serta memanfaatkan semua termasuk golongan miskin di kalangan masyarakat India. Pulau Pinang telah menjadi negeri pertama di Malaysia untuk membasmi miskin tegar (isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM400 sebulan) pada tahun 2009 dan telah menyasarkan untuk menghapuskan kemiskinan sama sekali menjelang tahun 2015.

Kemiskinan ditakrifkan oleh kerajaan Pusat sebagai pendapatan isi rumah kurang daripada RM720 sebulan. Tetapi, garis kemiskinan RM720 ini adalah terlalu rendah dan ketinggalan zaman. Oleh itu, kerajaan negeri Pulau Pinang telah memilih untuk menggunakan hasil kajian sebuah universiti tempatan yang menetapkan garis kemiskinan pada kadar RM763 sebulan di Semenanjung Malaysia.

Untuk menghapuskan kemiskinan, semua keluarga harus mempunyai pendapatan bulanan lebih daripada RM763. Dalam pada itu, kerajaan negeri Pulau Pinang telah menetapkan kadar RM770 sebagai pendapatan bulanan minima bagi semua keluarga di Pulau Pinang. Sasaran miskin sifar menjelang 2015 sudah pun dibawa ke depan 2 tahun kepada 2013 akibat prestasi kewangan yang baik oleh pentadbiran negeri pada tahun 2011.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 telah mengesahkan bahawa Pulau Pinang telah mengurangkan hutang sebanyak 95% dan mencatatkan lebihan bajet paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang dengan RM138 juta, iaitu peningkatan 312% daripada lebihan bajet 2010 iaitu RM33 juta. Kejayaan Pulau Pinang untuk mencatatkan lebihan bajet setiap tahun sejak 2008 walaupun mengunjurkan defisit bajet setiap tahun adalah hasil daripada urustadbir CAT (cekap, akauntabiliti, telus).

Urustadbir CAT menumpu kepada pengurangan kos dan pemaksimuman hasil tanpa mengorbankan kualiti melalui tender terbuka, mematuhi undang-undang, memilih pihak yang cekap dan patut utuk kerja serta mengamalkan mekanisme audit dan kawalan dalaman yang ketat. Hasil daripada urustadbir CAT, kerajaan negeri Pulau Pinang telah berjaya mencapai sasaran untuk menghapuskan kemiskinan dengan memastikan pendapatan minima isi rumah RM770 sebulan.

Dalam erti kata lain, mana-mana isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM770 sebulan selepas semua bantuan diambil kira, akan ditambah nilai oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mencukupi RM770 sebulan. Misalnya, jika sesebuah keluarga mempunyai pendapatan hanya RM500 selepas semua bantuan kewangan, maka keluarga ini akan menerima RM270 sebulan untuk mencukupi RM770 sebulan. Program ini akan bermula pada 1.1.2013 dan akan menghapuskan kemiskinan di Pulau Pinang menjelang akhir 2013. Sekurang-kurangnya RM20 juta telah diperuntukkan untuk inisiatif penghapusan kemiskinan yang bersejarah ini.

BN juga mempunyai AES �C Sistem Penguatkuasaan Automatik. Perbezaan antara AES BN yang menghukum rakyat untuk menguntungkan syarikat-syarikat swasta berbanding Agenda Ekonomi Saksama (AES) PR Pulau Pinang yang bertekad untuk menghapuskan kemiskinan menonjolkan pendekatan dasar yang berbeza dalam pembangunan ekonomi.

BN memasang kamera 1Malaysia tanpa tender terbuka yang memanfaatkan syarikat-syarikat kroni tertentu melalui komisyen untuk setiap saman yang dikeluarkan, manakala AES PR Pulau Pinang akan menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Malaysia untuk mencapai taraf bebas kemiskinan dalam rekod menjelang tahun 2013, lantas memanfaatkan 2,000 keluarga miskin, termasuk daripada masyarakat India.

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang