DAP mengecam serangan Israel ke atas Gaza

Sekurang-kurang 30 rakyat Palestin dan 3 rakyat Israel telah terkorban sejak Israel memulakan serangan bertubi-tubi terhadap militan Palestin di Gaza pada hari Rabu. Ekoran serangan udara Israel ke atas Gaza yang telah membunuh ketua tentera Hamas Ahmed Al-Jabari, militan Palestin telah mengambil tindakan menyerang balas dengan melancarkan beberapa buah peluru roket ke atas Tel Aviv dan beberapa kawasan yang lain.

Ramai lagi insan yang tidak bersalah akan terkorban jika keganasan ini berterusan. Malah ada yang mengatakan bahawa tindakan Israel untuk menyerang Gaza dengan sewenang-wenangnya melalui serangan udara akan mencetuskan perang baru antara Palestin dan Israel.

DAP mengecam penggunaan taktik keganasan, khususnya oleh negara Israel yang mempunyai kelebihan ketenteraan yang jauh lebih dasyat. Sebarang tindakan keganasan oleh Israel secara lazimnya akan mengakibatkan kematian dan kerosakan yang berlebihan. Ini pula akan mengundang serangan balas daripada militan Palestin.

Justeru, DAP menggesa agar Kementerian Luar Negeri atau Wisma Putra membuat bantahan diplomatik dan menyampaikan pesanan yang tegas kepada pihak-pihak berkuasa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat supaya segera membendung keganasan Israel-Palestin yang sedang berlaku ini.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan