Peguam Negara dan Menteri di JPM diminta mengambil pandangan pelbagai pihak dalam pindaan undang-undang berkenaan rogol statutori

Saya merasa kesal tentang kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari Padang Renggas yang disiarkan di Sin Chew Jit Poh pada 22 Oktober 2012 yang menyatakan bahawa Pejabat Peguam Negara akan meminda undang-undang berkenaan dengan Seksyen 376 Kanun Keseksaan supaya kesemua orang yang mengadakan hubungan seks dengan gadis bawah umur 16 tahun akan dikenakan hukuman penjara minima 5 tahun.

Di sini, saya ingin mempertahankan fasal berkenaan dengan rogol dan rogol statutori di dalam Kanun Keseksaan, kerana pindaan yang dibuat dalam Kanun Keseksaan berkenaan dengan Seksyen 376 Kanun Keseksaan selepas rundingan dengan banyak pihak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Yang Mengkaji Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah sebelum ia diluluskan pada tahun 2007 di Parlimen. Asas pindaan ini dibuat kerana Jawatankuasa Pilihan Khas ingin memberi ruang kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman mengikut kebijaksanaan dan mengikut keadaan kes tertentu.

Di sini, saya tidak bersetuju dengan hubungan seks diadakan sebelum perkahwinan dan dengan gadis bawah umur 16 tahun, tetapi apabila kita menggubal undang-undang, kita harus melihat kes-kes rogol statutori daripada sudut yang lebih menyeluruh.

Saya mengalu-alukan pengumuman YB Dato’ Seri Nazri, Menteri di JPM yang bercadang ingin meminda undang-undang supaya Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah dilarang daripada digunapakai dalam kes yang berkaitan dengan kes rogol statutori. Sehubungan dengan itu, saya juga bersetuju dengan pandangan YB Menteri untuk mengadakan majlis penyelarasan hukuman (sentencing council) sebagaimana dicadangkan oleh YB Nurul lzzah dan Majlis Peguam Negara.

Walau bagaimanapun, cadangan YB Menteri untuk mengembalikan hukuman penjara minima 5 tahun ke atas kes rogol statutori tanpa mengadakan rundingan dengan pelbagai pihak adalah terlalu tergesa-gesa dan tidak munasabah, kerana ia hanya menunjukkan Peguam Negara dan kerajaan menggubal atau meminda undang-undang tanpa penelitian yang terperinci.

Saya menyeru YB Dato’ Seri Nazri boleh merujuk kepada pandangan yang diluahkan oleh Majlis Peguam Malaysia dan bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Azmi yang menyeru pihak kerajaan supaya memberi kuasa lebih luas kepada hakim untuk memutuskan kes yang melibatkan rogol statutori, kerana setiap kes rogol statutori adalah berbeza keadaannya.

Mengikut laporan The Malaysian Insider pada 16 Oktober 2012, Tan Sri Zaki berkata, “In a case of an old man raping an underage girl, he deserves to be given a heavy sentence, which is imprisonment and whipping. There is no question about that. But in a case involving young couples, is the girl not at fault at all? I say that both of them are guilty, and is it fair if only the man is penalized?”

Sehubungan dengan itu, saya juga ingin meminta pihak Peguam Negara merujuk kepada laporan Perbincangan Meja Bulat Berkenaan Dengan Hak Kanak-kanak (mukasurat 4, Roundtable Discussion: Convention on the Rights of the Child pada 19-20 Januari 2004). Ia mencadangkan memasukkan peruntukan yang sama dengan Seksyen 16(1) Akta Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak ke dalam Akta Kanak-kanak dalam kes berkaitan dengan rogol statutori (to include in the Child Act 2001, a provision similar to section 16(1) of the Women and Girls Protection Act 1973 in relation to child prostitution).

Dalam mukasurat 92 dalam laporan ini, ia berbunyi: dalam kes rogol statutori, adalah dicadangkan memasukkan semula seksyen 16(1) dalam Akta Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak 1973 (for cases of statutory rape, it is recommended that section 16(1) of the Women and Girls Protection Act 1973 be re-inserted into the Child Act).

Seksyen 16 (1) dalam Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 yang dimansuhkan menyatakan sesiapa yang mengadakan hubungan seks dengan gadis di bawah umur 16 tahun, ia haruslah dipenjarakan tidak melebihi 5 tahun ataupun dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 ataupun kedua-dua sekali.

Akta yang dimansuhkan tersebut juga mempunyai fasal yang berbunyi “it shall be a sufficient defence to any charge under subsection (1) (l) that the person charged had reasonable cause to believe that the female person was of or above the age of sixteen years.”

Dengan kata lain, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 yang dimansuhkan itu membezakan darjat kesalahan seksual yang merupakan “suka sama suka” ataupun “consensual sex” dengan rogol yang menggunakan paksaan dan menggunakan keganasan. Akta ini memberi lebih ruang kepada hakim untuk membuat keputusan yang munasabah.

Saya berharap pihak kerajaan dan Jabatan Peguam Negara boleh mempertimbangkan cadangan yang dibentangkan dalam Laporan Suhakam tersebut dan juga pendirian Majlis Peguam Negara dan bekas Ketua Hakim Negara semasa membuat pindaan terhadap seksyen berkenaan dengan rogol dalam Kanun Keseksaan.

Sehubungan dengan itu, saya juga ingin minta pihak Kementerian Pelajaran untuk mengadakan pendidikan seks dalam kurikulum sekolah, supaya anak-anak muda kita diberi pendidikan tentang pengetahuan seks dan pengajaran moral selepas mereka masuk ke sekolah menengah, sebagai langkah untuk mengatasi masalah hubungan sulit di antara belia di sekolah yang semakin meningkat.

Teresa Kok Suh Sim Selangor State Senior EXCO for Investment, Industry & Trade & MP for Seputeh