BN harus digantikan jika mereka terus tidak menghiraukan Laporan Ketua Audit Negara

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi harus menjelaskan kenapa beliau hanya membuat laporan dengan Construction Industry Development Board (CIDB) selepas pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2011 tentang kerja yang tidak memuaskan dalam projek pembinaan rumah-rumah kediaman tentera. Jelas sistem kawalan pemantauan, analisis dan audit dalaman Kementerian Pertahanan sudah gagal.

Tidakkah patut Kementerian mengambil tindakan daripada mewakilkan tugas tersebut kepada CIDB yang tidak mempunyai kuasa seperti Kementerian Pertahanan untuk mengambil tindakan ke atas kontraktor tersebut? Zahid harus menyenaraikan langkah-langkah Kementerian Pertahanan untuk memastikan masalah-masalah ini boleh dikenal pasti, dibetulkan dengan segera dan tindakan diambil ke atas kontraktor-kontraktor serta pegawai-pegawai yang gagal memantau dengan betul.

Zahid kata bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan pencatutan kontraktor-kontraktor yang tidak membina mengikut spesifikasi. Jika begitu beliau harus menjelaskan kenapa kerajaan Persekutuan mengetepikan penalti RM87.12 juta kerana kegagalan untuk memenuhi obligasi kontrak walaupun kerja jelas tidak memuaskan dan cacat. Jelas anggota-anggota tentera telah ditipu kerana projek ini merupakan lagi satu kontrak kroni BN yang merugikan rakyat.

Saya tidak terkejut bahawa tiada satu pun pemimpin MCA yang menyuarakan penyalahgunaan kuasa, salah urus dan ketirisan yang terdapat dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 semasa Perhimpunan Agung MCA. Malah, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sendiri telah menunjukkan sikap tindak endah dengan mengatakan bahawa laporan-laporan negatif dalam Laporan Ketua Audit Negara tidak akan membawa impak kepada BN dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Untuk memastikan bahawa rakyat tidak ditipu dan kerajaan BN serius dalam menangani masalah-masalah dalam Laporan Ketua Audit Negara, 3 isu harus ditangani. Pertama adalah pendedahan Laporan Ketua Audit Negara tentang kontrak-kontrak kerajaan dan projek yang dirunding terus dan tidak dibuat dengan tender terbuka, lantas menjejaskan amanah awam.

Contoh projek rundingan terus yang paling jelas adalah projek landasan berkembar Ipoh-Padang Besar yang bernilai RM12.49 bilion yang telah mengalami kelewatan dua kali dan terpaksa menanggung kos lebihan RM3.6 bilion. Kebanyakan projek kediaman tentera juga dirunding terus. Rumah-rumah kediaman tentera yang dibina oleh Kementerian Pertahanan menampakkan penggandaan kos kepada RM3.2 bilion dengan kecacatan seperti siling yang runtuh dan paip pembetungan yang bocor.

Contoh-contoh lain seperti 1,000 buah rak risalah yang bernilai RM1.95 juta untuk Tahun Melawat Malaysia 2007 yang dibeli melalui rundingan terus oleh Malaysian Tourism Promotion Board tanpa kelulusan Kementerian Kewangan, dan 5 papan iklan yang bernilai RM3.64 juta yang diletakkan di Indonesia melalui rundingan terus dan sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Pendedahan terkini oleh Laporan Ketua Audit Negara adalah di Sarawak di mana syarikat-milik-kerajaan Sarawak Coal Resources Sdn Bhd telah menganugerahkan kontrak untuk pengekstrakan dan pengangkutan bijih arang batu di Mukah untuk RM923.03 juta kepada 4 firma melalui rundingan terus. Tidak hairanlah Sarawak Coal Resources Sdn Bhd mencatat kerugian.

Isu kedua adalah pelupusan besar RM1,626 juta pinjaman kerajaan kepada Perwaja Terengganu Sdn Bhd yang tidak dibayar selama 14-17 tahun. Laporan Ketua Audit Negara 2011 telah menunjukkan bahawa sebanyak 42 pinjaman yang diberi oleh kerajaan Persekutuan kepada syarikat-syarikat telah mengumpulkan tunggakan sehingga RM3,328 juta selama 1-17 tahun ini, iaitu peningkatan 18.7% berbanding RM2,805 juta pada tahun 2010.

Tidak ada tindakan yang diambil oleh kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan balik tunggakan tersebut selain daripada pelupusan pinjaman 16 tahun Perwaja yang berjumlah RM1,626 juta. Apakah logiknya untuk melupuskan pinjaman yang begitu besar apabila Perwaja kini disenaraikan dalam Bursa Malaysia dan sedang mencatatkan keuntungan?

Pelupusan pinjaman yang begitu besar untuk sebuah syarikat seperti Perwaja memberi gambaran yang negatif bahawa kroni mendapat layanan istimewa sementara 28 juta rakyat yang rugi. Mengapakah pinjaman kroni boleh dilupuskan tetapi tidak pinjaman rakyat biasa yang harus membayar sehingga sen terakhir dan sekiranya gagal akan disaman oleh bank?

Isu ketiga adalah pengecualian yuran lesen pelanggaran yang diberi kepada Indah Water Konsortium sdn bhd yang berjumlah RM1,371 juta. IWK telah memohon 3,290 lesen pelanggaran dari 2008-2011 untuk melanggari standard alam sekitar dalam pembuangan sisa toksik.

Apabila diluluskan, yuran lesen yang harus dibayar oleh IWK berjumlah RM1,554 juta pada akhir 2011. Alangkah tetapi, Kabinet telah memberi pengecualian sebanyak RM1,371 juta pada 21.5.2010 yang bermaksud IWK hanya perlu membayar baki RM183 juta. Kenapa Kabinet memberi pengecualian yang begitu besar ini yang merugikan bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi memudaratkan alam sekitar juga?

BN harus digantikan jika mereka terus tidak menghiraukan Laporan Ketua Audit Negara dengan keengganan untuk menjelaskan salah urus, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa yang membawa kerugian sebanyak berpuluh-puluh bilion ringgit setiap tahun.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ketua Menteri Pulau Pinang