Adakah Belanjawan 2013 Najib batu loncatan untuk memenangi PRU ke-13?

Selepas pembentangan Belanjawan 2013 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Jumaat lepas, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memuji bahawa belanjawan 2013 adalah merupakan yang terbaik setakat ini. Dan pujian melambung-lambung itu telah disambut oleh pemimpin Barisan Nasional yang lain.

Muhyiddin juga menafikan yang Belanjawan 2013 adalah "belanjawan pilihanraya". Tiada Ahli Parlimen baik dari Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat akan bersetuju dengan beliau. Malah, saya tidak rasa Muhyiddin Yassin sendiri yakin dengan penafian beliau sendiri.

Sama ada Belanjawan 2013 akan dikenang oleh pemimpin Umno/BN sebagai belanjawan terbaik dalam tempoh 55 tahun ini sangat bergantung kepada hakikat adakah ia akan menjadi batu loncatan bagi Najib memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 dengan majoriti dua pertiga Parlimen. Atau sama ada ia menyebabkan Najib menjadi Perdana Menteri UMNO yang terakhir. Atau satu permulaan baginya untuk ditumbangkan dari jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri seperti mana yang terjadi kepada Tun Abdullah pada 2009 - menjadi "trofi" terbaru Tun Mahathir dengan tiga kepala Timbalan Perdana Menteri dan dua Perdana Menteri di dalam karungnya!

Adalah disebabkan Najib tidak yakin yang Belanjawan 2013, walaupun memberikan gula-gula untuk setiap pengundi, dapat menjadi batu loncatan baginya maka beliau kerap menunda pembubaran Parlimen . Serta mencatat rekod sebagai Perdana Menteri tanpa mandat pilihan rayanya sendiri untuk tempoh masa terpanjang jika dibandingkan dengan keempat-empat Perdana Menteri selepas Tunku Abdul Rahman, termasuklah bapa beliau Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir dan Tun Abdullah.

Disebabkan kurang keyakinanlah beliau mencipta sejarah memalukan apabila dengan muka tebal menukar pembentangan Belanjawan 2013 menjadi ceramah pilihan raya.

Najib mengejutkan Ahli-Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia yang mendengar pembentangan itu apabila enam perenggan pertama ucapan Belanjawan 2013 merayu rakyat Malaysia untuk terus menyokong kerajaan Umno/BN sambil melemparkan tuduhan-tuduhan dan sindiran-sindiran terhadap Pakatan Rakyat.

Tetapi beliau telah berlebih-lebih apabila 14 perenggan akhir daripada 174 perenggan ucapan belanjawannya digunakan tanpa segan silu menagung-agungkan pemerintahan Umno/BN dan mengutuk Pakatan Rakyat. Sehinggakan ramai daripada kedua-dua belah pihak menggelengkan kepala disertai rungutan yang sama bahawa pembentangan Belanjawan 2013 menunjukkan "kelas" dan "piawaian" yang buruk, baik kandungan belanjawan mahupun pembentangnya.

Terbukti di sebalik Belanjawan 2013 tersembunyi Najib yang tidak berkeyakinan serta sedang dihantui dan diburu kebimbangan bahawa ucapan belanjawannya yang keempat ini mungkin belanjawan Umno/BN terakhir di Parlimen dalam sejarah negara.

Sebab itulah, meskipun Najib bercakap besar dengan penuh yakin rakyat Malaysia akan terus menyaksikan enam lagi belanjawan akan dibentangkan kerajaan Umno/BN untuk transformasi Malaysia daripada negara berpendapatan pertengahan kepada negara berpendapatan tinggi, Najib sebenarnya terus memainkan watak Hamlet dari karya Shakespear dengan terus bertanya, "To Be or Not To Be" Terseksa untuk membuat keputusan sama ada "Membubarkan Parlimen atau tidak membubarkan Parlimen" sejak tahun lalu.

Dalam kesimpulan pembentangan Belanjawan 2013 beliau, Najib berkata:

"Kita tahu ada pihak yang menyeru supaya mereka diberi peluang untuk membentuk kerajaan. Secara berlapang dada, dalam sebuah negara yang demokratik, kita faham tidak salah menawarkan diri, kerana mereka juga ada hak namun pada akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan siapa akan mendapat mandat melalui peti undi."

Walaupun Perdana Menteri mengakui hak parti-parti politik di dalam sistem demokrasi untuk diberikan peluang membentuk Kerajaan seterusnya dan rakyatlah penentu mutlak siapa akan diberikan mandat melalui peti undi, tetapi sesuatu yang tercicir adalah kegagalan beliau untuk mengisytiharkan dan menjanjikan secara jelas yang beliau akan memudahkan dan memastikan peralihan kuasa yang aman untuk pertama kali dalam sejarah sekiranya itulah keputusan dari peti undi - untuk memberitahu dunia yang Malaysia telah menjadi negara demokrasi yang normal kerana itulah salah satu syarat untuk menjadi "demokrasi terbaik dunia" seperti yang pernah Najib ucapkan!

Saya sebenarnya telah pun banyak kali mengajukan soalan ini kepada Perdana Menteri sepanjang tiga tahun ini, tetapi beliau menolak untuk bersuara meskipun ucapan beliau yang masyhur menyeru UMNO mempertahankan Putrajaya dengan apa cara sekalipun "walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa", menimbulkan tanda tanya adakah beliau dan UMNO benar-benar mahu Malaysia menjadi "demokrasi terbaik dunia".

Di dalam sistem demokrasi yang normal, baik di United Kingdom, negara-negara Kesatuan Eropah, Australia, New Zealand, Canada, Amerika Syarikat malahan juga Jepun, tiada rakyat akan meragui yang peralihan kuasa di antara parti politik dapat berlaku dengan aman. Baik di peringkat negara atau negeri sekiranta itulah keputusan pengundi di dalam pilihan raya.

Tetapi kesnya berbeza di Malaysia. Sebenarnya, perjalanan untuk menjadi negara demokrasi yang normal itu sendiri masih jauh apabila Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, UMNO dan semua parti komponen Barisan Nasional masih kelihatan tidak bersedia untuk memberikan komiten bagi peralihan kuasa yang aman sekiranya itulah keputusan dari peti undi!

Najib tidak boleh menagguh lagi dalam menyatakan secara umum komitmennya untuk menerima dan memastikan peralihan kuasa persekutuan dengan aman sekiranya itulah keputusan pengundi atau beliau lebih rela membuktikan kebenaran dakwaan bahawa beliau adalah "demokrat palsu" yang "mengadakan pilihan raya tetapi tiada niat melepaskan kuasa".

Najib sebagai "Bapa Transformasi"?

Perdana Menteri Najib menggalar dengan bangga dirinya sebagai "Bapa Transformasi" disebabkan oleh pelbagai inisiatif transformasi yang telah beliau lancarkan semenjak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2009. Beliau benar-benar telah mentransformasikan perbendaharaan kata di Malaysia dengan memperkenalkan akronim-akronim seperti ETP, GTP, NKRA, NKEA, SRI, NEM, BR1M dan KR1M dan lain-lain. Perunding mahal yang memikirkan istilah-istilah ini tentu sekali menerima keuntungan daripada inisiatif-inisiatif transformasi itu. Tetapi kesannya ke atas rakyat biasa tidak begitu ketara.

Di saat Perdana Menteri masih bernada positif dengan inisiatif-inisiatif transformasi beliau, belanjawan beliau menyatakan sebaliknya. Peruntukan belanjawan untuk inisiatif-inisiatif berkaitan ETP dan GTP telah berkurangan semenjak dua tahun lalu, daripada setinggi RM15 bilion pada 2011 kepada RM8.3 bilion pada 2013, pengurangan sebanyak 46.5%. Peruntukan untuk 6 NKRA di bawah GTP telah menurun sebanyak 47% daripada RM9.5 bilion pada 2011 kepada RM5.0 bilion pada 2013. Peruntukan untuk 12 NKEA di bawah ETP telah berkurangan sebanyak 45% daripada RM6 bilion pada 2011 kepada RM3.3 bilion pada 2013.

Pengurangan dalam peruntukan untuk GTP menimbulkan tiga soalan penting. Pertama, adakah KPI yang diinginkan dalam NKRA telah tercapai? Kedua, walaupun dengan penurunan dalam peruntukan belanjawan, adakah dana itu telah diperuntukkan dengan betul?

Ketiga, adakah pengurangan dalam pendanaan GTP tanda Najib secara perlahan-lahan tetapi jelas akan meninggalkan GTP bagi memberi ruang kepada gula-gula berbentuk tunai untuk membeli undi menjelang pilihan raya umum?

Jawapan bagi soalan pertama jelas sekali TIDAK. Menurut Laporan Tahunan GTP 2012, sasaran 2012 adalah lebih agresif berbanding 2011. Contohnya, jarak jalanraya yang akan dibina meningkat daripada 905km pada 2011 kepada 1350km pada 2012, peningkatn sebanyak 49%. Jumlah rumah-rumah yang akan disambungkan dengan bekalan air bersih dan bekalan elektrik meningkat daripada 58,087 dan 26,822 pada 2011 kepada 201,192 dan 39,442 pada 2012, peningkatan sebanyak 246% dan 47%. Semua ini sepatutnya dicapai dengan peruntukan yang lebih rendah. Kemungkinan besar sasaran bagi tahun 2013 akan turut menjadi lebih tinggi. Akan tetapi ia terpaksa dicapai dengan peruntukan yang lebih rendah.

Dana di bawah perbelanjaan pembangunan untuk Infrastruktur Asas Luar Bandar (RBI) NKRA turun daripada RM6.4 bilion pada 2011 kepada RM5.1 bilion pada 2012 dan akan terus turun di dalam Belanjawan 2013 kepada RM3.2 bilion. Dalam erti kata lain, pendanaan untuk RBI telah dipotong separuh sejak 2011 walaupun KPI untuk NKRA ini telah meningkat dengan ketara sejak 2011.

Kita Cuma berharap PEMANDU tidak akan diarahkan untuk "menyolek" data KPI bagi RBI pada tahun-tahun mendatang seperti mana KPI bagi penurunan jenayah kelihatan telah "disolek".

Soalan kedua melibatkan peruntukan sumber-sumber di antara dan di dalam pembagai NKRA-NKRA. Cuba lihat pada peruntukan bagi NKRA Jenayah, salah satu profil tertinggi NKRA di bawah GTP. Menurut anggaran belanjawan daripada 2011 sehingga 2013, peruntukan bagi inisiatif khusus NKRA Jenayah telah dikurangkan daripada RM351 juta pada 2011 kepada RM239.8 juta pada 2012 dan kemudian meningkat kepada RM322.3 juta pada 2013.

Apa yang menarik tentang peningkatan dalam peruntukan daripada 2012 sehingga 2013 adalah kebanyakkan peruntukan itu dimasukkan ke dalam inisiatif NKRA untuk "Meningkatkan Indeks Persepsi Keselamatan" yang menyamai anggaran belanjawan inisiatif NKRA "Mengurangkan Jenayah" pada 2012 dan 2011. Peningkatan luar biasa dalam peruntukan ini adalah RM103 juta!

Sementara semua peningkatan peruntukan melibatkan inisiatif pengawasan seperti mengembangkan program "Kewujudan Mutlak" dan "Pembersihan", ada kemungkinan bahagian yang banyak akan disalurkan kepada amalan perhubungan awam termasuklah menganjurkan "Hari Kesedaran Jenayah", menjalankan tinjuan bebas dan memperkasakan Unit Komunikasi PDRM. Dalam erti kata lain, berbanding mempertuntukkan lebih sumber begi mengurangkan jenayah seperti Jenayah Jalanraya (yang hanya mendapat RM26.4 juta daripada belanjawan NKRA Jenayah), kebanyakkan sumber-sumber tersebut akan digunakan untuk perhubungan awam.

Oleh itu, bukan sahaja pendanaan untuk kebanyakkan NKRA telah dipotong, yang masih berbaki juga kelihatan dalam bahaya disalahletak untuk pendekatan publisiti. Pengurangan dalam peruntukan bagi GTP dan ETP adalah petunjuk bahawa Perdana Menteri semakin terdesak dan akan meninggalkan inisiatif-inisiatif transformasinya bagi membeli undi melalui pemberian-pemberian secara terus. Satu lagi simtom tambahan memihak kepada gula-gula jangka pendek berbanding perubahan struktur jangka panjang adalah perbelanjaan pembangunan akan dikurangkan daripada RM49.8 bilion pada 2012 kepada RM49.7 bilion. Perbelanjaan pembangunan kita telah menurun daripada 24% belanjawan keseluruhan kepada kurang daripada 20% perbelanjaan keseluruhan dalam belanjawan terkini. Ini amat membimbangkan kerana perlunya perbelanjaan pembangunan yang sihat sebagai tapak kepada pertumbuhan masa depan negara kira.

Tanda-tanda untuk berhenti kelihatan pada komitmen Perdana Menteri terhadap ETP. Peruntukan belanjawan buat ETP adalah sebanyak RM5 bilion pada 2011. Sekiranya angka ini dipercayai, ini bermakna pelaburan kerajaan ke atas ETP adalah 47% daripada RM12.9 bilion pelaburan direalisasikan di bawah ETP pada 2011, angka yang lebih besar daripada sasaran 8% pelaburan kerajaan yang ditetapkan PEMANDU.

Angka ini telah dikurangkan hampir separuh, RM3.3 bilion pada 2013. Jika penurunan ini disebabkan sektor swasta telah memenuhi sasaran pelaburan ETP, maka tiada masalah.Tetapi pengurangan peruntukan belanjawan bagi ETP terjadi ketika pelaburan-pelaburan komited bagi ETP turut menurun. Untuk 2012, pelaburan-pelaburan diumumkan bagi ETP hanya RM16 bilion atau 16% daripada RM167 bilion pelaburan-pelaburan komited yang diumumkan pada 2011. Dikala sektor swasta berterusan ragu-ragu dengan daya maju ETP, Perdana Menteri kelihatan turut menyedari hal itu dan memotong peruntukan belanjawan bagi ETP, berharap jaminan keluar secara diam-diam ini akan terlepas daripada perhatian umum.

Satu-satunya peruntukan yang telah meningkat adalah peruntukan kepada Inisiatif Reformasi Strategik (SRI). Sayangnya, jumlah yang diperuntukkan bagi reformasi struktur melalui SRI hanyalah jumlah yang tidak berpada iaitu RM154 juta pada 2013 daripada jumlah yang juga tidak berpada iaitu RM121.5 juta pada 2012. SRI, yang pada asalnya dirancang dalam Model Ekonomi Baru (NEM) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC), kelihatan telah diabaikan selepas dikepilkan kepada ETP. Daripada 51 SRI yang dikenalpasti di dalam NEM, 14 ditempatkan di "tempat asal" sebagai sebahagian daripada NKEA atau NKRA. Baki 37 lagi dikelompokkan ke dalam 6 SRI yang dijenamakan semula.

Walau bagaimanapun, kebanyakkan SRI belum lagi dilaksanakan dan dana diperuntukkan dengan jumpa yang kecil kepada SRI dalam Belanjawan 2013 mencerminkan hal tersebut. Sebagai contoh, SRI bagi "Menubuhkan Pihak Berkuasa Kawalselia-Kawalselia Pusat" bertujuan menilai semula "Penyertaan Kerajaan dalam Perniagaan" belum lagi dilaksanakan. SRI bagi "Memperkenalkan Insurans Pengangguran" sebagai Jaringan Keselamatan Pekerja sebagai sebahagian daripada "Pembangunan Modal Insan" juga telah diabaikan. Serupa juga, SRI bagi Mengaktifkan semula Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara (NDPC) sebagai badan utama untuk penggubalan, penyelarasan dan perundingan dasar" di bawah "Penyampaian Perkhidmatan Awam" turut diabaikan.

Kegagalan pelbagai skim transformasi boleh dilihat dengan baik melalui jatuhnya kedudukan Malaysia daripada tempat ke-21 pada 2011 kepada tempat ke 25 pada 2012 di dalam Laporan Daya Saing Global oleh Forum Ekonomi Dunia(WEF). Kedudukan Malaysia jatuh 4 tempat kesan dipotong oleh Korea, Korea, Luxembourg, New Zealand and the Emiriah Arab Bersatu. Pada masa yang sama, skor Malaysia jatuh sedikit daripada 5.08 pada 2011 kepada 5.06 pada 2012. Ini disebabkan daripada 148 indikator yang digunakan oleh WEF untuk menyusun kedudukan, Malaysia mengalami kejatuhan dalam 77 indikator berbanding peningkatan hanya 48 indikator dan kedudukan tidak berubah 23 indikator. Indikator-indikator ini meliputi inisiatif-inisiatif di bawah GTP seperti rasuah juga ETP seperti akses jalur lebar dan SRI seperti reformasi kewangan umum. Ia adalah salah satu indikator yang menunjukkan selepas keterujaan di peringkat awal terhadap GTP dan ETP, kini ia semakin hambar. Keraguan umum di Malaysia terhadap inisiatif-inisiatif transformasi ini nampak jelas melalui kedudukan antarabangsa dan tinjauan-tinjauan.

Menyeru semua Ahli-Ahli Parlimen, sama ada BN atau PR, baik di Sabah, Sarawak atau Semenanjung Malaysia untuk menyokong Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menilai sama ada harapan dan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak untuk membentuk Malaysia telah dipenuhi atau dikhianati dalam tempoh lima dekad ini

Pada Hari Malaysia ke-49 Ahad lalu, Biskop Katolik Datuk Conelius Piong dalam mesejnya mempersoal adakah perjanjian 49 tahun yang tertanda pada Batu Sumpah Keningau, untuk mendukung kebebasan beragama, hak-hak rakyat Sabah dan adat setempat telah ditepati.

Piong berkata sebagai sebahagian daripada kempen bagi meyakinkankan rakyat Sabah untuk bersatu membentuk Malaysia, bersama dengan Sarawak dan Singapura 49 tahun lalu, pemimpin dari Persekutuan Malaya berjanji kepada rakyat Sabah bahawa mereka akan maju bersama dan semua hak asasi mereka akan dilindungi.

Tiga janji utama yang dibangkitkan Piong adalah jaminan bahawa rakyat Sabah akan mendapat kebebasan beragama, tanah mereka akan dijaga oleh kerajaan negeri dam kerajaan persekutuan akan menghormati dan melindugi adat setempat.

"Adakah janji-janji ini masih dijunjung dan dihormati?" Tanya Piong di dalam mesej Hari Malaysia beliau.

Beliau berkata: "Perjanjian itu terukir di atas Batu Sumpah Peringatan yang masih boleh dibaca dan diingati."

Kali pertama saya melawat pusat pentadbiran majlis daerah Keningau pada Mac 2010. Ketika itu bersama-sama Ahli Parlimen DAP Hiew King Cheu (Kota Kinabalu), Teo Nie Ching (Serdang), Lim Lip Eng (Segambut) dan Jimmy Wong (Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah bagi Sri Tanjong). Terlihat Batu Sumpah itu masih teguh berdiri dan di atasnya terukir perkataan ini:

"BATU SUMPAH MENGIKUT PERLEMBAGAAN

  1. Ugama Bebas dalam Sabah

  2. Tanah Tanah dalam Sabah di kuasai oleh Kerajaan Sabah

  3. Adat istiadat anak rayat Sabah dihormatkan dan dipelihara oleh Kerajaan. Sebalik pula rayat2 Sabah di dalam interior bersumpah taat setia kepada Kerajaan Malaysia."

Selepas lawatan ke Batu Sumpah Keningau pada Mac 2010, saya telah bertanya: "Ini merupakan syarat-syarat kepada sumpah taat setia rakyat Sabah lima puluh tahun lalu untuk penubuhan Malaysia. Adakah sumpah yang dilakar di atas Batu Sumpah Keningau ini sudah ditunaikan kedua-dua belah pihak?"

Dua minggu lalu, sebagai sebahagian daripada Perbicaraan Awam "Janji Ditepati" DAP di seluruh Sabah, saya kembali ke Keningau bersama Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing, melawat kembali Batu Sumpah Kengingau yang bersejarah. Dan saya semakin yakin adalah releven dan berpatutan cadangan yang telah saya usulkan di Parlimen pada Mac 2010 selepas lawatan saya ke Batu Sumpah Keningau - iaitu untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menilai sama ada harapan dan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak dalam membentuk Malaysia telah dipenuhi atau dikhianati dalam tempoh lima dekad ini.

Saya telah katakan pada 2010 bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja adalah cara yang paling bermakna dalam persediaan menyambut ulang tahun ke-50 Hari Malaysia pada 16 September 2013. Walaupun terdapat kurang daripada satu tahun menjelang ulangtahun ke-50 Hari Malaysia September akan datang, tujuan untuk Suruhanjaya Siasatan Diraja itu ditubuhkan tetap bermakna, sah dan bersangkutan.

Saya menyeru semua Ahli-Ahli Parlimen, sama ada BN atau PR, baik di Sabah, Sarawak atau Semenanjung Malaysia untuk menyokong Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), bagi menilai sama ada harapan dan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak untuk membentuk Malaysia telah dipenuhi atau dikhianati dalam tempoh lima dekad ini.

Sebuah penilaian ke atas perkembangan tiga syarat-syarat sumpah utama Batu Sumpah Keningau dan Perjanjian 20 Perkara Sabah adalah sumbangan besar menjadikan ulang tahun sambutan Hari Malaysia ke-50 lebih bermakna.

Ketika saya melawat Tamparuli bersama Wilfred Bumburing dua minggu lalu, mantan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Monggoh Orow bercakap tentang rintihan rakyat Sabah terutamanya mereka yang tidak mempunyai tanah.

Ini jelas satu pencabulan melampau, memeranjatkan dan benar-benar satu jenayah terhadap perjanjian "tanah" pada Batu Sumpah Keningau. Peminggiran, kemiskinan dan keterbelakangan sosio-ekonomi tidak sepatutnya berlaku pada negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak.

Kerajaan Pakatan Rakyat akan segera melaksanakan dasar "Tanah bagi yang Tidak Bertanah" untuk rakyat asal Sabah yang mahu mengusahakan tanah dan kami akan membanteras penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan sebahagian besar tanah dirampas oleh mereka yang berkuasa untuk kroni-kroni mereka. Adakah Barisan Nasional bersedia melakukan perkara yang sama?

Inilah contoh terperinci Tiga Sumpah Utama kepada Batu Sumpah Keningau tidak lagi dipenuhi. Oleh itu adalah sesuai, tepat pada masanya dan amat kena untuk membawa harapan dan kehendak rakyat Sabah seperti yang terkandung dalam Batu Sumpah Keningau di bawa kepada perhatian dewan politik tertinggi negara ini - Parlimen.

Ketika sambutan Hari Malaysia Pakatan Rakyat di Kuching pada 16 September, pemimpin Pakatan Rakyat menjanjikan satu "New Deal" buat rakyat Sabah dan Sarawak, mengangkat komitmen Deklarasi Kuching untuk memenuhi harapan dan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak dari segi pembangunan infrasturktur dan perlindungan hak asasi mereka dalam membentuk Malaysia pada 1963, 49 tahun lalu.

Selepas 49 tahun bersama Malaysia, Sabah dan Sarawak telah terkena sumpahan CLIB sementara Sabah terkena sumpahan sama dengan penambahan "I". Sumpahan CLIB untuk Sarawak dan CLIBI untu Sabah. "C" untuk corruption atau rasuah. "L"untuk Land (NCR) Injustice atau Ketidakadilan Hak Tanah Adat (NCR). "I" untuk Infrasturcture (Backwardness) atau Kemunduran Infrastruktur dan "B" untuk Borneanisation (breach) atau pelanggaran Borneonisasi. Manakala "I" untuk Sabah adalah Illegal Immigrants atau pendatang tanpa izin.

1. Rasuah

Walaupun Membanteras Rasuah adalah salah satu keutamaan Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Program Transformasi Kerajaan (GTP) Najib, rasuah di Malaysia menjadi semakin teruk dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini seperti yang dikesan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International.

Di malaysia, Sabah dan Sarawak adalah dua negeri yang mana rasuah berleluasa dan sukar dikawal.

Setakat ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya berdiam diri berkenaan dakwaan serius rasuah dan penyalahgunaan kuasa terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Saya bersetuju sepenuhnya dengan Bekas anggota panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang yang menyatakan bahawa persidangan antarabangsa perangi rasuah di Kuala Lumpur hari ini adalah membuang masa dan hanya acara untuk kerajaan Malaysia berpura-pura ia serius membanteras rasuah.

Saya tidak rasa mana-mana Ahli Parlimen yang serius tentang barah rasuah dalam jasad politik kita akan tidak bersetuju dengan Phang bahawa Persidangan Pertubuhan Agensi Penguatkuasa AntiRasuah Antarabangsa (IAACA) ke-6 yang diadakan di Kuala Lumpur hanya berbaloi sekiranga delegasi Malaysia menggunakan ia sebagai peluang untuk menumpukan pada isu dakwaan rasuah terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Saya ingin menjadikan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak sehingga Gani Patail sebagai "ujian trio" sama ada terdapat kehendak politik yang sebenar di Malaysia untuk melawan "Rasuah Besar" - penyebab mengapa kedudukan dan skor Indeks Persepsi Rasuah Transparency International telah jatuh ke tingkat paling bawah iaitu No. 60 pada skor 4.3 sejak 18 tahun lalu.

Bolehkah Perdana Menteri mengemaskini untuk Parlimen dan negara tindakan oleh MACC terhadap pelbagai laporan polis yang dibuat ke atas "trio" tersebut berkaitan rasuah - terutamanya berhubung buku terbaru peguam Zainal Abidin Ahmad, "Tan Sri Gani Patail: Pemalsu, Penipu, Penjenayah (Fraud, Liar, Criminal)?"?

Izinkan saya kembali kepada CLIB untuk Sarawak dan CLIBI untuk Sabah.

2. Ketidakadilan Hak Tanah Adat (NCR)

Isu kedua terpenting di Sabah dan Sarawak sejak lima dekad penubuhan Malaysia adalah rintihan masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut di Sabah dan Dayak di Sarawak tentang Hak Tanah Adat (NCR).

Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Linto Albert berkata dalam keputusannya berkenaan kes Hak Tanah Adat "Pantu": "Ini merupakan laungan tangisan untuk keadilan kerana ia tidak patut berlaku dan tidak boleh diterima sebagai fitrah kehidupan"!

Saya mengesahkan kenyataan oleh Pengerusi DAP Negeri Sarawak, Ahli Parlimen bagi Sibu dan ADUN Bukit Assek, Wong Ho Leng bahawa "dalam negeri yang terbesar di Malaysia, tiada sesiapapun di Sarawak patut merebut untuk tanah" - dan ini juga bersangkut paut dengan Sabah- akan tetapi prinsip ini hanya boleh dikuatkuasakan oleh Pakatan Rakyat dan bukan Barisan Nasional.

3. Kemunduran Infrastruktur

Di Sabah dan Sarawak, salah satu keperitan yang dihadapi warganya adalah kegagalan untuk menyediakan infrastruktur asas seperti jalanraya, air berpaip dan bekalan elektrik.

Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang kaya dengan sumber asli, sama ada minyak, gas atau balak akan tetapi kekayaan ini telah dirampas oleh pemimpin BN serta kroni mereka bukannya dikembalikan untuk memastikan rakyat kedua-dua negeri menikmati sumber-sumber infrastruktur paling asas - bukan seperti yang dapat dilihat dalam banyak kawasan di kedua-dua negeri ini dimana wujud paip tanpa air, tiang eletrik tanpa bekalan elektrik atau hospital tanpa doktor.

Reaksi selalu berubah-ubah Barisan Nasional kepada janji Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 untuk menyempurnakan dan meningkatkan Lebuhraya Pan-Borneo yang menghubungkan Kuching ke Kota Kinabalu dan pantai timur Sabah, bagi membawa pembangunan Sabah dan Sarawak setanding Semenanjung Malaysia menggambarkan keperitan diabaikan yang telah lama berlaku dan peminggiran.

4. Pelanggaran Borneonisasi

Kegagalan Barisan Nasional untuk menghormati "Borneonisasi" yang termaktub dalam Perjanjian 18 Perkara yang telah ditekankan oleh cadangan Tun Zaki Azmi, Pengerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam untuk menurunkan syarat keperluan bagi kaum Dayak dan golongan etnik minoriti untuk direkrut ke dalam sektor perkhidmatan awam juga untuk meneliti ketidakseimbangan komposisi kaum didalam barisan perkhidmatan awam.

Cadangan Zaki telah diserang oleh pemimpin Dayak dari kedua-dua pihak politik yang berlainan dan dianggap sebagai satu sindiran komuniti Dayak, diatas tanggapan bahawa bilangan warga Dayak dan golingan minoriti yang berkelulusan adalah mencukupi, akan tetapi masalah sebenar adalah ketiadaan meritokrasi bukan sahaja dalam usaha perekrutan serta promosi dalam sektor perkhidmatan awam.

Kita sepatutnya berterima kasih kepada Zaki kerana telah mengetengahkan kegagalan Barisan Nasional untuk melaksanakan Borneonisasi seperti yang dijanjikan dalam Perjanjian 18 Perkara bagi Sarawak dan Perjanjian 20 Perkara bagi Sabah dalam tempoh lima dekad ini, yang telah mengakibatkan kesengsaraan, peminggiran serta diskriminasi oleh kaum Dayak dan golongan etnik minoriti yang berhubung dengan sektor perkhidmatan awam.

Perkara 8 di dalam Perjanjian 20 Perkara Sabah dan Perjanjian 18 Perkara Sarawak pada tahun 1963 yang membawa kepada penubuhan Malaysia menyebut:

"8. Borneonisasi: Proses untuk melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam negeri Borneo Utara seharusnya diwujudkan secepat mungkin."

Kebelakangan ini slogan kegemaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah "Janji Ditepati".

Sudahkah Perkara 8 di dalam Perjanjian 20 Perkara berkenaan Borneonisasi telah ditepati?

Dalam jawapan kepada soalan saya di Parlimen, Perdana Menteri telah mendedahkan yang daripada 133 Jabatan Persekutuan (termasuk badan berkanun Persekutuan) di Sabah, 61 (45.9%) agensi adalah diketuai rakyat Sabah manakala 72 (54.1%) diketuai oleh bukan rakyat Sabah.

Tambahan pula, menurut jawapan Perdana Menteri, "Sehingga 14 September 2012, pegawai kelahiran Sabah yang memegang jawatan tertinggi (Gred Utama/Khas dan keatas) di Perkhidmatan Awam Persekutuan ialah seramai 19 orang. Daripada jumlah tersebut, seorang pegawai masing-masing berada di Gred Utama Turus 1, Gred Utama Turus 2 dan Gred Utama A. Tiga pegawai Gred Utama B serta 13 pegawai di Gred Utama dan Gred Khas C."

Ini "Janji Ditepati"?

5. Pendatang Tanpa Izin

CLIBI bagi Sabah, "I" kedua merujuk kepada masalah pendatang tanpa izin di Sabah yang berlarutan.

Keputusan terkini undian September di Sabah dikeluarkan selepas pembentangan belanjawan Najib menyenaraikan pendatang tanpa izin merupakan kebimbangan tertinggi rakyat Sabah. Dan mengapa terdapat penurunan pengundian kepada hanya 54 peratus pengundi pada September yang merasakan negeri ini sedang menuju arah yang betul. Penurunan yang ketara berbanding 66 peratus dalam tinjauan sebelumnya yang dijalankan pada November 2009.

Tinjauan mendapati 53 peratus pengundi menyenaraikan pendatang tanpa izin sebagai masalah paling meruncing dan isu paling penting dihadapi Sabah.

Tinjauan turut mendapati bilangan besar sebanyak 87 peratus bersetuju dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat pendatang tanpa izin (RCIII) di Sabah.

Tetapi keyakinan terhadap keberkesanan RCIII lebih bersifat hati-hati - dengan hanya 54 peratus meluahkan keyakinan yang suruhanjaya akan dapat menyelesaikan masalah itu.

Tinjauan turut mendapati yang pengundi Sabah mempunyai pandangan yang bercampur terhadap dorongan di sebalik penubuhan suruhanjaya. Dengan 46 peratus mengatakan ia "usaha jujur untuk menumpukan masalah pendatang tanpa izin" manakala 36 peratus bersetuju yang ia adalah "tindakan politik untuk menurunkan kemarahan rakyat Sabah sebelum pilihan raya".

Saya turut merasakan keraguan yang RCIII benar-benar serius untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah yang berlarutan sekian lama, memandangkan Barisan Nasional tidak memiliki kehendak politik untuk betul-betul menyelesaikan terus masalah itu. Tetapi lebih kepada mahu memberikan gambaran yang sesuatu telah diusahakan untuk menraih undi rakyat Sabah sebagai negeri "deposit tetap" menjelang pilihan raya umum.

Disebabkan inilah kabinet telah mencatat rekod dunia memgambil masa enam bulan untuk membuat keputusan terhadap bidang tugas dan keanggotaannya selepas membuat keputusan untuk menubuhkan RCIII pada 8 Febuari. Dan lebih dari sebulan untuk mengeluarkan surat perlantikan kepada anggota suruhanjaya untuk memulakan tempoh enam bulan bagi RCIII melengkapkan tugas dan laporan dapat diperhitung.

Tetapi sehingga kini, tiada sebarang laporan sama ada RCIII akan melakukan perbicaraan awam di seluruh negeri Sabah untuk memberi peluang rakyat Sabah ke hadapan secara sukarela untuk membuat pengakuan tentang masalah yang berlarutan sekian lama ini yang telah menjadikan rakyat Sabah seperti pendatang di tanah sendiri.

Tetapi adakah sesiapa di Sabah sepatutnya terkejut dengan sikap tak endah, acuh tak acuh dan layanan tidak jujur terhadap masalah pendatang tanpa izin oleh Barisan Nasional mengambil kira sejarah UMNO dalam isu tersebut, terutamanya episode memalukan Projek Mahathir pada awal tahun sembilan puluhan?

Berhubungan dengan ini, kenyataan terbaru pegawai tinggi Cawangan Khas menimbulkan keraguan terhadap keikhlasan Kabinet sewaktu membuat keputusan untuk menubuhkan RCI bagi isu pendatang tanpa izin di Sabah pada Febuari.

Pegawai tinggi Cawangan Khas ini tidak lain tidak bukan adalah Penolong Pengarah E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Nasional Mohd Sofian Mohd Makin yang membuat tuduhan liar dan tidak berasas bahawa Pakatan Rakyat telah dimasuki pengganas Jemaah Islamiah (JI) bagi kes PAS dan komunis bagi kes DAP - dan beliau sehingga kini tidak mampu membawa sebarang bukti apabila dicabar berbuat sedemikian.

Sofian telah memberitahu akhbar bahawa sokongan untuk RCI bagi pendatang tanpa izin adalah unsure anti-nasional yang hanya mahu mendapat laba politik daripada isu tersebut, menjejaskan hubungan diplomatic antara Malaysia dan Filipina dan mengapi-apikan sentiment anti-semenanjung di kalangan rakyat Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sepatutnya mengisytiharkan sama ada Sofian mewakili pemikiran arus pedana Kerajaan Persekutuan UMNO/BN tetapi tersembunyi berhubung isu RCI terhadap pentadang tanpa izin di Sabah. Jika tidak, tindakan serta merta perlu diambil untuk menggantung dan mendisiplinkan Sofian kerana beliau telah menjadi contoh buruk "ancaman ekstremis sosial nasional" yang sepatutnya dipantau Cawangan Khas.

Masalah pendatang tanpa izin yang telah lama berlarutan, juga RCIII, adalah contoh nyata kegagalan Barisan Nasional dalam "Janji Ditepati" - tema rasmi sambutan Hari kemerdekaan ke-55 dan Hari Malaysia ke-49 yang telah dirampas oleh Barisan Nasional.

Perjanjuan 20 Perkara Sabah dan 18 Perkara Sarawak sepatutnya dikaji semula untuk menamatkan sumpahan CLIB Sarawak dan sumpahan CLIBI Sabah.

Menyeru semua Ahli-Ahli Parlimen, sama ada BN atau PR, baik di Sabah, Sarawak atau Semenanjung Malaysia untuk menyokong Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menilai sama ada harapan dan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak untuk membentuk Malaysia telah dipenuhi atau dikhianati dalam tempoh lima dekad ini. RCI tersebut sepatutnya dipengerusikan dua pengerusi bersama, seorang rakyat Sabah dan seorang rakyat Sarawak.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur