Najib sepatutnya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat RM40 juta dana UMNO

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menolak untuk mendedahkan sumber "sumbangan politik" RM40 juta kepada UMNO Sabah yang menjadi subjek siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman, dengan memberikan alasan yang lemah dan tidak dapat diterima.

Najib berkata "Setiap parti politik mempunyai hak untuk menerima sumbangan politik" dan "selagi ia datang mengikut saluran yang betul".

Apa yang Najib telah abaikan adalah RM40 juta itu bukanlah "duit bersih" tetapi wang haram. Ini kerana ia merupakan dana UMNO yang telah digubah di Hong Kong dan cuba diseludup masuk semula ke negara ini oleh seorang ahli perniagaan Sabah, Michael Chia di dalam bagasinya dalam bentuk $S16 juta. Tetapi dia ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada 14 Ogos, 2008 kerana penyeludupan wang dan penggubahan wang haram.

Ini menimbulkan satu persoalan, adakah SPRM dan Peguan Negara mempunyai kuasa untuk mendakwa dan menyiasat pemimpin tertinggi UMNO (termasuk Presiden UMNO) sama ada kerana korupsi atau penggubahan wang haram tanpa perlu mendapat lampu hijau daripada Perdana Menteri?

Tiada sesiapa di Malaysia yang tertipu bahawa SPRM dan Peguam Negara mempunyai kuasa untuk menyiasat pemimpin tertinggi UMNO termasuklah Presiden UMNO berkenaan korupsi dan penggubahan wang haram memandangkan Perdana Menteri sendiri adalah Presiden UMNO.

Sekiranya begitu keadaanya, sebarang siasatan yang bebas, menyeluruh dan professional melibatkan pemimpin tertinggi UMNO termasuklah Presiden UMNO berkenaan korupsi dan penggubahan wang haram tidak boleh dijalankan di bawah SPRM atau Peguam Negara tetapi mestilah dijalankan oleh suruhanjaya yang terpisah dan bebas.

Memandangkan Najib adalah Presiden UMNO, beliau sepatutnya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat RM40 juta dana UMNO yang telah digubah di Hong Kong dan penggubahan wang-wang haram luar negara UMNO/BN yang lain bagi membersihkan nama UMNO/BN dan Malaysia.

Ini juga untuk menunjukkan yang Najib benar-benar serius membanteras rasuah terutamanya Rasuah Besar yang melibatkan personaliti awam dan politik tertinggi. Juga bagi memastikan ucapan "anti rasuahnya" yang berkobar-kobar minggu lepas sewaktu perasmian Persidangan Persatuan Pihak Berkuasa Anti-rasuah Antarabangsa (IAACA) di Kuala Lumpur tidak menjadi sejarah persidangan anti-rasuah antarabangsa sebagai ucapan paling hipokrit dan tidak ikhlas.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur