Laporan polis ke atas Peguam Negara Gani Patail berkenaan rasuah berdasarkan buku peguam Zainal Abidin masih dalam siasatan

Saya telah menerima jawapan bertulis daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz kepada beberapa perkara yang saya telah bangkitkan tentang rasuah dalam ucapan Belanjawan 2013 di Parlimen 4 Oktober 2012 lalu, yang mana beliau tidak mempunyai masa untuk menjawab ketika penggulungan beliau.

Dalam ucapan saya, saya telah meminta Perdana Menteri untuk mengemaskini kepada Parlimen dan negara apakah tindakan yang telah diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dengan pelbagai laporan polis ke atas "trio" Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Saya telah bertanya secara terperinci apakah hasil daripada laporan polis berkenaan pertuduhan rasuah ke atas Peguam Negara terutamanya melibatkan buku terbaru peguam Zainal Abidin Ahmad bertajuk "Tan Sri Gani Patail: Pemalsu, Penipu, Penjenayah?"?

Ini adalah jawapan bertulis Nazri:

"Yang Berhormat Ipoh Timur ingin mengetahui tindakan terhadap dakwaan rasuah oleh Peguam Negara Malaysia sebagaimana dalam buku tulisan Zainal Abidin Ahmad yang bertajuk "Tan Sri Abdul Gani Patail Pemalsu, Penipu, Penjenayah". Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, buku yang ditulis oleh Zainal Abidin Ahmad mengenai dakwaan rasuah terhadap Peguam Negara yang bertajuk "Tan Sri Abdul Gani Patail Pemalsu, Penipu, Penjenayah" masih dalam siasatan pihak polis."

Berkenaan laporan rasuah ke atas Ketua Menteri Sarawak, jawapan bertulis Nazri menyatakan:

"Yang Berhormat Ipoh Timur, Yang Berhormat Bandar Kuching, Yang Berhormat Sibu, Yang Berhormat Puchong dan Yang Berhormat Serdang ingin mengetahui hasil siasatan tuduhan rasuah yang melibatkan YAB Ketua Menteri Sarawak. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, isu ini masih dalam siasatan SPRM. Siasatan kes-kes rasuah yang dibuat oleh SPRM adalah berlandaskan undang-undang dan memerlukan beban pembuktian yang cukup kukuh sehingga mencapai tahap (dengan izin) beyond reasonable doubt. Ini kerana penyiasatan sesuatu kes itu menjurus kepada intipati kesalahan yang melibatkan keterangan saksi, dokumen dan bukti-bukti lain yang mampu menyokong kes berkenaan."

Dalam ucapan saya, telah saya katakan walaupun membanteras rasuah adalah salah satu keutamaan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) bagi Program Transformasi Kerajaan (GTP) Najib, rasuah di Malaysia telah bertambah buruk dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini seperti yang dikesan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International.

Saya katakan saya bersetuju sepenuhnya dengan bekas anggota panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang yang menyatakan bahawa persidangan antarabangsa perangi rasuah di Kuala Lumpur hari ini adalah membuang masa dan hanya acara untuk kerajaan Malaysia berpura-pura serius membanteras rasuah.

Ini respon Nazri dalam jawapan bertulisnya:

Yang Berhormat Ipoh Timur membangkitkan isu berkenaan kejatuhan negara dalam skor Corruption Perception Indeks (CPI). Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bebanan pencapaian skor CPI tidak boleh diletakkan dibahu Kerajaan semata-mata dan kerjasama daripada semua pihak adalah sangat perlu agar tanggungjawab membanteras rasuah digembleng bersama di antara sektor Kerajaan, sektor swasta, masyarakat usahawan, NGO, parti-parti politik dan rakyat keseluruhannya bagi mencapai matlamat Pelan Transformasi Kerajaan ke arah menjadikan negara kita bebas rasuah.

Yang Berhormat Ipoh Timur mendakwa penganjuran 6th IAACA Annual Conference and General Meeting adalah membuang masa. Pandangan bahawa penganjuran 6th IAACA Annual Conference and General Meeting yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) adalah membuang masa dan tidak mencerminkan indeks persepsi rasuah negara adalah menunjukkan bahawa Yang Berhormat Ipoh Timur mempunyai pandangan yang cetek. Kerajaan berpandangan bahawa penganjuran ini boleh membawa impak yang besar kepada negara dari segi kerjasama antarabangsa dalam usaha pembanterasan rasuah. Ini kerana rasuah sebagai jenayah yang juga merentasi sempadan memerlukan kerjasama antarabangsa bagi membendungnya.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, IAACA secara rasmi telah ditubuhkan pada 22 Oktober 2006 di Beijing, China bertujuan membantu negara-negara ahli bagi memenuhi ketetapan dalam United Nations Convention Against Corruption (UNCAC). Persidangan pada tahun ini menekankan Artikel 6 UNCAC iaitu "Technical Assistance and Information Exchange" sebagai tema. IAACA mempunyai lebih daripada 300 ahli organisasi yang meliputi hampir semua agensi pengkuatkuasaan undang-undang memerangi rasuah dan melibatkan lebih daripada 2,000 ahli-ahli individu dari 18 buah negara termasuk pendakwa, penyiasat dan pakar-pakar yang mempunyai pengalaman dalam penyelidikan anti-rasuah.

Keputusan yang berjaya dicapai dalam persidangan-persidangan lepas termasuklah menghasilkan dua deklarasi penting iaitu mengenai kerjasama antarabangsa menentang rasuah dan pencegahan rasuah.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur