Kong Cho Ha perlu meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengakutan sekiranya majoriti Ahli Parlimen menyokong penangguhan AES

Dalam tempoh 24 jam lalu, dua Ahli Parlimen UMNO telah mengubah sokongan mereka kepada tuntutan Pakatan Rakyat untuk penangguhan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi kesalahan trafik, menunggu kajian penuh kepada pelbagai isu kepentingan awam berkaitan dengan perlaksanaanya.

Yang pertama sekali melakukannya adalah Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang mana selepas mesyuarat exco Pemuda UMNO semalam meminta kerajaan untuk menunda perlaksanaan AES memandangkan satu penilaian semula terhadap sistem itu adalah diperlukan untuk mengesan kelemahannya.

Hari ini, seorang Ahli Parlimen UMNO Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin, yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) juga menyokong tuntutan PR untuk penangguhan AES.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan telah menangguh persetujuan untuk melaksanakan AES sehingga kajian penuh dan satu proses rundingan yang sewajarnya dengan semua pihak yang berkaitan.

Persoalannya sekarang adalah apakah ada Ahli-Ahli Parlimen MCA, Timbalan Perdana Menteri atau Menteri yang berani untuk turut serta menuntut penangguhan segera AES supaya menghasilkan “politik berprofil tinggi” MCA yang pertama atau apakah semua cakap besar tentang “politik berprofil tinggi” itu hanyalah mengarut.

Memandangkan Menteri Pengangkutan, Datuk Kong Cho Ha telah menolak untuk mendengar kebimbangan yang absah tentang perlaksanaan AES, saya menyeru semua Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional, sama ada Menteri, Timbalan Menteri atau penyokong biasa; baik daripada UMNO, MCA, Gerakan, MIC atau parti-parti komponen lain dalam BN; sama ada daripada semenanjung Malaysia, Sabah atau Sarawak, untuk mencontohi Khairy dan Bung Mokhtar menyokong tuntutan penangguhan segera AES.

Ahli-Ahli Parlimen daripada PR mahupun BN boleh menyebabkan penagguhan segera AES dengan mengambil pendirian serupa ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2013 ke atas Kementerian Pengangkutan pada 20 November 2012.

Pakatan Rakyat mempunyai 76 Ahli Parlimen dan sekiranya ada sekurang-kurangnya 36 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional dan Bebas yang menyokong penangguhan AES, itu akan menjadikan jumlah majoriti parlimen paling kurang 112 daripada 222 Ahli Parlimen, dengan itu Kong Cho Ha tidak ada pilihan lain lagi melainkan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sekiranya beliau menolak untuk mendengar suara majoriti Ahli Parlimen supaya segera menangguhkan AES.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur