BN harus menjelaskan mengapa 2 pemimpin UMNO enggan berkongsi keuntungan dengan 31 pemilik tanah Melayu

Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chan Yeow harus menjelaskan mengapa 2 pemimpin UMNO yang mendakwa diri pembela hak Melayu memilih untuk mengaut keuntungan sebanyak RM5 juta dalam jangka masa tiga setengah bulan sebagai broker tanah tetapi enggan berkongsi keuntungan tersebut dengan 31 pemilik tanah Melayu. Hari ini, Teng memilih untuk mempertahankan kedua-dua timbalan pengerusi UMNO Pulau Pinang Dato’ Musa Sheikh Fadzir dan pengarah pilihan raya BN Pulau Pinang Dato’ Omar Faudzar kerana mengaut keuntungan RM5 juta daripada jualan tanah yang dimiliki 31 pemilik tanah Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau, sebagai satu urusan perniagaan.

Teng jelas lupa bahawa sebagai pemimpin politik, kepentingan awam menuntut bahawa urusan perniagaan kedua-dua pemimpin UMNO ini harus selari dengan jawatan politik yang disandangi. Adakah ini cara pemimpin-pemimpin UMNO melindungi hak pemilik tanah Melayu dengan membeli tanah mereka pada harga yang murah kemudian menjualnya pada harga yang tinggi, dan menelan 100% keuntungan yang didapati? Saya kesal bahawa Musa bukan sekadar enggan menerangkan mengapa beliau tidak mahu berkongsi keuntungan RM5 juta tersebut dengan 31 orang pemilik tanah Melayu, tetapi apabila disoal beliau berlaku emosi dan bersikap tidak rasional serta menyerang saya sebagai rasis kerana menimbulkan isu kepetingann awam ini.

Bagaimanakah saya boleh dianggap rasis kerana menyaran supaya Musa dan Omar berkongsi keuntungan RM5 juta itu dengan 31 pemilik tanah Melayu dan bukan dengan orang bukan Melayu? Jelas BN dan UMNO ketandusan idea politik apabila sebuah parti perkauman boleh mencela sebuah parti pelbagai bangsa sebagai rasis!

Keengganan Teng untuk memberi penjelasan adalah serupa dengan taktik menabur fitnah demi fitnah tanpa bukti terhadap pemimpin-pemimpin PR. Bermula dengan pemalsuan foto Google dalam kes projek-projek bukit untuk mengutuk kerajaan negeri PR, Teng masih lagi belum menunjukkan bukti bahawa saya, 4 ahli EXCO iaitu Chow Kon Yeow, Phee Boon Poh, Wong Hon Wai dan Danny Law serta ADUN Komtar Ng Wei Aik mempunyai kepentingan peribadi dalam projek hospital swasta Taman Manggis.

Kini Teng cuba untuk menjelaskan kegagalan BN untuk menunaikan janji untuk membeli tanah 1.1 ekar di Taman Manggis pada harga RM450 sekaki persegi untuk tujuan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan mengatakan bahawa kerajaan negeri belum lagi memberi surat rasmi kepada BN. Ini merupakan satu syarat baru yang tidak pernah disebut oleh BN.

Untuk memastikan Teng tidak dapat mengelak dengan membuat janji-janji dan dakwaan yang tidak berasas, saya telah mengarahkan Setiausaha Politik saya Ng Wei Aik untuk menulis surat rasmi yang akan dihantar kepada pejabat Teng supaya BN boleh membeli tanah itu pada harga RM450 sekaki persegi untuk tujuan PPR. Keuntungan daripada penjualan tanah itu kepada BN akan digunakan untuk pembinaan perumahan mampu milik oleh kerajaan negeri di kawasan Pulau, terutamanya di Jalan SP Chelliah.

Soalannya, adakah BN akan membayar lebih RM22 juta sebelum pilihan raya umum yang akan datang untuk membeli tanah tersebut untuk pembinaan PPR atau adakah ini hanya sandiwara murahan semata-mata?

Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang