Speaker sepatutnya menolak campur tangan Nazri terhadap hal ehwal parlimen

Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, sepatutnya menolak campur tangan terang-terangan hal ehwal parlimen oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri yang bertanggung jawab dalam hal ehwal dan Parlimen, Datuk Seri Nazri Aziz dan mengarahkan dibentangkan segera tanpa bertangguh-tangguh laporan Ketua Audit Negara.

Alasan yang diberikan Nazri bahawa kerajaan hanya akan membentangkan laporan audit Ketua Audit Negara 2011 seminggu dua selepas belanjawan 2013 dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak pada hari jumaat adalah mengarut, tidak boleh diterima dan mempersendakan konsep dan prinsip kebebasan dan autonomi parlimen. Walaupun sebenarnya telah pun dilemahkan oleh 55 tahun pencerobohan kerajaan UMNO/Barisan Nasional!

Kenyataan Nazri yang mengatakan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara ditangguhkan supaya ia tidak “mencuri tumpuan (perdebatan) belanjawan” adalah salah dan terang-terangan menyalahgunakan kuasa eksekutif, terutama apabila laporan tahunan audit oleh Ketua Audit Negara adalah bahagian yang penting dan sangat diperlukan kepada debat belanjawan Ahli Parlimen.

Adakah Najib telah memberikan Nazri “lampu hijau” atau arahan untuk menangguhkan dahulu laporan Ketua Audit Negara 2011 seminggu dua selepas pembentangan belanjawan pada Jumaat?

Adakah Najib dan Nazri bimbang Laporan Ketua Audit Negara 2011 terhadap Akaun Persekutuan mengandungi pendedahan yang menggemparkan seperti skandal “lembu dan kondominuim”, berkait rapat dengan Pusat Fidlot Nasional (NFC) sehingga membawa kepada perletakkan jawatan seorang Menteri Kabinet dan pengangguhan sekurang-kurangnya sekali tarikh Pilihan Raya Umum?

Sama ada terdapatnya bom jangka tersembunyi di dalam Laporan Ketua Audit 2011 yang bukan sahaja akan memalukan tetapi juga menjejaskan Najib sebagai Perdana Menteri, semuanya adalah faktor yang tidak berkaitan dan tidak dapat mewajarkan penangguhan pembentangan laporan tahunan Ketua Audit Negara kepada Parlimen apabila ia telah tersedia dan telah diserahkan kepada simpanan dan bidang kuasa parlimen.

Speaker sepatutnya tidak membenarkan, baik Perdana Menteri atau Menteri Jabatan Perdana Menteri yang bertanggung jawab dalam hal ehwal Parlimen daripada campur tangan dengan hak dan keistimewaan Ahli Perlimen untuk dibentangkan segera Laporan Ketua Audit Negara di Parlimen.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur