MIC gagal menstrukturkan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India

BN telah gagal merancang program pembangunan sosio-ekonomi untuk masyarakat India di negara ini. Orang-orang India telah dianggap sebagai golongan minoriti dan tidak dipedulikan oleh kerajaan ini. Kaum India dibiarkan begitu sahaja tanpa apa-apa program khas untuk membantu membangunkan taraf sosio-ekonomi.

Mengikut sumber-sumber yang tertentu, direkodkan bahawa hanya 25.5% kaum India telah menetap di kawasan Bandar berbanding dengan 74.5% yang menetap di luar Bandar dan di ladang-ladang pada tahun 1970.

Tetapi keadaan amat berbeza sekarang, dimana pertambahan kaum india di kawasan Bandar adalah amat ketara sekali. Mengikut rekod yang ada, dalam tempoh 30 tahun kemudian didapati 81.2% kaum india menetap di kawasan Bandar manakala hanya 18.8% masih lagi menetap di kawasan luar Bandar dan ladang-ladang.

Ini adalah angka-angka yang amat memeranjatkan dan menakutkan. Bagaimanakah ini boleh berlaku? Penutupan ladang-ladang getah dan kemasukan orang-orang asing ke ladang-ladang kelapa sawit yang baru telah menyebabkan orang-orang India yang bekerja di ladang-ladang itu terpaksa keluar mencari rezeki di tempat lain.

Ramai yang terpaksa meninggalkan ladang-ladang untuk mencari pekerjaan di Bandar-bandar atau pekan-pekan kecil yang berhampiran. Mereka terpaksa mencari pekerjaan sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana pihak. Ramai yang telah masuk kerja di sektor perkilangan dan sebagai buruh kasar di pelbagai industri.

Walaupun ada juga yang telah berjaya dalam lapangan ikhtisas dan dalam bidang perniagaan tetapi jumlahnya boleh dikira dan boleh dianggap tidak signifikan. Masih ramai lagi di antara mereka yang keluar dari ladang terpaksa hidup menderita, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Ini adalah kerana kerajaan BN terutamanya MIC bersikap tidak mengambil tahu tentang proses transformasi penempatan masyarakat India yang telah menjadi satu cabaran dalam pembangunan sosio-ekonomi mereka. kerajaan tidak merangka apa-apa program untuk menstrukturkan semula kaum India yang telah banyak berjasa kepada negara ini.

MIC telah gagal menyelesaikan masalah sosio-ekonomi masyarakat india. Malah tidak juga menjadi salah kalau dikatakan MIC itu sendiri telah menjadi batu penghalang untuk kemajuan masyarakat India di negara ini. Budaya mengangguk dan ‘Yes Boss’ kepada tuan UMNO telah merugikan masyarakat India dalam semua lapangan.

Tidak ada program-program yang dirangka khas untuk masyarakat india yang amat memerlukan bantuan kerajaan supaya dapat bersaing dengan kaum-kaum lain. MIC perlu mengakui kelemahan mereka dalam menjaga kepentingan dan pembangunan sosio-ekonomi kaum india. Kegagalan inilah yang menyebabkan MIC telah hilang sokongan Kaum India di negara ini.

V. Sivakumar Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & ADUN kawasan Tronoh