Bukti akan didedahkan secara terbuka pada hari Isnin untuk menunjukkan Najib sanggup menipu untuk memfitnah dan memusnahkan DAP

Kenyataan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berhubung dengan isu pemilihan semula CEC DAP mengesahkan terdapat usaha di peringkat tertinggi untuk melakukan satu komplot politik untuk memusnah dan melenyapkan DAP dari arena politik Malaysia. Najib sendiri telah “menghalalkan” penipuan yang telah disebar dan diulangi ratusan kali oleh agen-agen propaganda UMNO selama beberapa bulan ini dengan kenyataan beliau seperti berikut:

“Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, DAP adalah parti yang tiada kredibiliti kerana kononnya mengamalkan prinsip demokrasi namun pemimpin mereka tidak berani mengamalkan prinsip tersebut di dalam parti sendiri.

Perdana Menteri berkata, ini kerana seramai 753 perwakilan DAP yang berhak hadir pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) tidak dimaklumkan untuk hadir dan jumlah itu bukan suatu jumlah yang kecil.” (Utusan Malaysia 16 Ogos 2013)

Ini merupakan satu dakwaan yang tidak berasas sama sekali dan tidak pernah dibuktikan oleh ROS kerana ROS tidak pernah memberikan sebarang alasan dalam tindakan mereka mengarahkan pemilihan semula CEC DAP. Faktanya, mereka tidak dapat membuktikan bahawa 753 perwakilan yang tidak hadir di Kongres DAP pada 15 Disember 2012 tidak dimaklumkan oleh Parti kerana dakwaan tersebut merupakan satu penipuan yang direka untuk menyabitkan “kesalahan” yang tidak pernah wujud ke atas DAP.

Kalau isu 753 perwakilan yang berhak hadir tidak dimaklumkan merupakan “kesalahan” yang telah dilakukan oleh DAP sehingga kita patut dihukum dengan pemilihan semula, mengapakah ROS tidak dapat memberikan sebab tersebut dalam surat arahan mereka?

Bukti penghantaran notis melalui pos kepada semua perwakilan yang layak hadir telah pun diberikan kepada ROS namun ia langsung tidak diendahkan oleh ROS dalam pertimbangan mereka. Oleh kerana Najib sendiri yang mengulangi penipuan ini semalam, maka saya terpanggil untuk menunjukkan bukti-bukti tersebut secara terbuka supaya rakyat Malaysia boleh menjadi “hakim” dalam “mahkamah pendapat umum” (court of public opinion) untuk menentukan sama ada DAP yang bersalah ataupun Najib yang menipu!

Semua wakil media dijemput hadir ke sidang media saya pada hari Isnin, 19 Ogos 2013 jam 11 pagi di Ibupejabat Kebangsaan DAP, Kuala Lumpur.

Loke Siew Fook Ketua Whip DAP & Ahli Parlimen Seremban