Adakah UMNO akan meneruskan fitnah yang tidak masuk akal terhadap DAP?

DAP menuntut supaya Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi mengemukakan bukti atau menarik balik dan meminta maaf atas fitnah beliau bahawa DAP akan mencetak 100,000 naskhah Bible Bahasa Malaysia yang menggunakan kalimah "Allah". Fitnah Mohd Puad tidak masuk akal dan tidak berasas sama sekali.

Fitnah Mohd Puah langsung tidak masuk akal kerana DAP tidak pernah terlibat dalam hal ehwal agama. Pendirian parti menganggap agama itu adalah hal peribadi dan tidak harus dipergunakan atau dipolitikkan. Malah, DAP tidak mempunyai sumber kewangan atau keupayaan untuk mencetak dan mengedar 100,000 naskhah Bible Bahasa Malaysia. Malangnya, fitnah yang tidak masuk akal oleh pemimpin UMNO ini disiarkan dalam semua akhbar kawalan UMNO iaitu New Straits Times, Berita Harian dan Utusan Malaysia.

Puad telah dipetik sebagai berkata dalam sidang akhbar di Putrajaya bahawa "Parti pembangkang (DAP) bercadang untuk mencetak sekurang-kurangnya 100,00 naskhah Bible dan mengedarkannya secara percuma di beberapa negeri, termasuk Kedah dan Kelantan."

Di ambang pilihan raya umum, adakah UMNO akan meneruskan fitnah yang tidak masuk akal terhadap DAP demi memenangi undi dengan mendakwa bahawa DAP sebenarnya yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan model Mongolia Shaariibuugiin Altantuyaa? DAP berasa meluat dengan taktik UMNO yang bertujuan untuk membangkit kebencian terhadap DAP di kalangan masyarakat Islam dan juga di kalangan masyarakat agama-agama lain di Malaysia.

Saya akan mengarahkan pemimpin-pemimpin DAP untuk membuat laporan polis terhadap Puad dan ketiga-tiga akhbar kawalan UMNO esok kerana menyebarkan fitnah yang tidak masuk akal dan bertujuan untuk mengacau ketenteraman awam. DAP juga akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Puad dan ketiga-tiga akhbar kawalan UMNO tersebut.

DAP bukan parti yang tidak jujur dan bersikap "baling batu, sembunyi tangan", seperti UMNO dan BN yang suka main kotor dan tidak mengaku kesilapan. Demi menegakkan kebenaran dan keadilan, DAP sanggup berkorban daripada menipu.

Dalam konteks bola sepak, BN umpama pemain Liverpool Luis Suarez - seorang rasis, "penerjun" dan penipu, berbanding DAP yang sanggup mengakui kesilapan dengan rela hati tanpa tekanan seperti BN, sepertimana semangat "fair play" pemain Liverpool Robbie Fowler yang dahulu pernah membantah apabila pengadil tersilap memberi penalti kepada Robbie dalam perlawanan menentang Arsenal.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan