Jaminan Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa tindakan akan diambil ekoran laporan atau ketetapan yang dikeluarkan RCIII Sabah adalah tidak bermakna

Jaminan Ketua Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa tindakan akan diambil ekoran laporan atau ketetapan yang dikeluarkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pendatang asing tanpa izin Sabah adalah tidak bermakna apabila beliau gagal untuk mengambil tindakan terhadap Perkasa atas seruan mereka untuk membakar Bible serta untuk menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis atau IPCMC yang dicadangkan oleh RCI Polis. Abdul Gani telah pun membuktikan bahawa beliau takut untuk mengambil tindakan dalam kes-kes yang membabitkan pemimpin BN, kroni atau penyokong mereka.

Contoh yang paling jelas bahawa beliau takut dan mengamalkan dwi-standard adalah keengganan beliau untuk mengambil tindakan terhadap Perkasa atas seruan mereka untuk membakar Bible dengan alasan yang tidak masuk akal bahawa belum ada Bible yang dibakar lagi, dan beliau hanya akan bertindak setelah ada Bible yang dibakar! Pada masa yang sama, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pemimpin PR seperti Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh atas dakwaan hasutan.

Jaminan Abdul Gani bahawa beliau akan bertindak sekiranya ada kesalahan jenayah merupakan janji kosong berikutan simdrom penafian kerajaan BN dalam kes kematian ngeri pengawal sekuriti C Sugumaran yang telah mati dalam keadaan digari oleh polis. Kematian Sugumaran adalah ekoran kes-kes kematian dalam tahanan seperti Chang Ching Te di Subang pada tahun ini dan A Kugan serta budak 16 tahun Aminulrasyid Amzah yang telah ditembak mati oleh polis.

Seruan Abdul Gani agar memberi keyakinan kepada RCI tidak berjaya meyakini rakyat kerana rekod prestasi beliau yang berat sebelah. Malah beliau mengamalkan politik partisan dengan meniru kenyataan BN bahawa RCI tersebut adalah telus dan merupakan sebuah janji yang ditepati.

Masa sudah tiba bagi rakyat Malaysia untuk menggugurkan Ketua Peguam Negara yang bersifat politik dan yang tidak berfungsi melainkan untuk memenuhi keperluan tuannya. Rakyat Malaysia berhak mempunyai Ketua Peguam Negara yang menunaikan tanggungjawabnya secara profesional dan tidak berat sebelah mengikut undang-undang tanpa rasa takut atau memihak. Selagi para kroni dan penyokong pemimpin BN mempunyai imuniti undang-undang sementara rakyat yang tidak bersalah dihukum oleh Ketua Peguam Negara hanya kerana mereka berbeza pendapat atau menentang BN, selagi itulah tidak ada keadilan untuk semua.

Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bagan