Pelancaran Pusat Komuniti DAP Derga lambang permulaan baru DAP dan Pakatan Rakyat Kedah

Pada pagi ini saya amat berbangga kerana dapat hadir untuk melancarkan Pusat Komuniti DAP bagi kawasan Derga. Rasa bangga itu bukan hanya kerana pusat ini merupakan pusat khidmat pertama yang dirasmikan oleh saya selaku Pengerusi Interim DAP Kedah, tetapi kerana ia juga melambangkan permulaan baru bagi DAP Kedah secara khas dan Pakatan Rakyat secara umumnya.

Pada masa yang sama, saya juga yakin bahawa Pusat Komuniti DAP Derga ini bakal menjadi titik tolak untuk DAP kembali mengukuhkan kedudukannya dalam politik negeri Kedah. Ini kerana kejayaan DAP dalam memenangi kerusi Derga adalah sangat bermakna dan menjadi contoh kepada akar umbi parti di seluruh negara memandangkan Derga merupakan kawasan majoriti Melayu. Hakikat ini sekaligus memecahkan propaganda sempit Barisan Nasional yang cuba menggambarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagai "Tsunami Cina".

Maka, dalam konteks yang lebih besar, saya juga percaya kejayaan DAP di kawasan Derga ini akan memberikan sumbangan yang signifikan kepada Pakatan Rakyat Kedah. Dalam pada itu, saya menyambut baik kehadiran barisan kepimpinan parti-parti komponen pada pagi ini, dan harap agar kerjasama dan keakraban antara ketiga-tiga parti akan lebih dieratkan lagi.

Detik paling getir

Kita kini berada dalam detik paling getir dalam sejarah politik negara ini. Buat kali pertama, rakyat Malaysia mempunyai pilihan kerajaan alternatif yang bukan sahaja berwibawa tetapi juga terbukti.

Ekoran daripada itu, PRU13 telah menyaksikan persaingan yang begitu sengit sehingga gabungan Pakatan Rakyat hampir-hampir berjaya membina kerajaan Persekutuan. Malah, secara teknikal, Pakatan Rakyat kini adalah suara majoriti rakyat Malaysia kerana telah memenangi majoriti undi rakyat dengan 51 peratus undi popular, berbanding 47 peratus yang dimenangi BN. Situasi ini cukup menjelaskan bahawa politik Malaysia kini sedang melalui peralihan.

Oleh hal yang demikian, sudah pasti sikap dan kekuatan parti akan diuji pada tahap yang paling tinggi. Sudah tentu terdapat banyak isu antara parti komponen Pakatan Rakyat, bukan hanya di peringkat politik semasa, malah juga di peringkat ideologi dan dasar yang harus dituntaskan.

Pergulatan pemikiran (struggle of ideas), cita-cita dan gerak kerja politik ini adalah lumrah dan sihat. Hal ini kerana bangsa Malaysia sendiri juga berada pada transisi yang melibatkan isu-isu dasar seperti hubungan antara kaum, pendekatan ekonomi dan pembagunan sosial, yakni isu-isu yang tidak diberi perhatian yang cukup oleh parti pemerintah selama ini.

Malah, umum mengetahui bahawa dasar-dasar Barisan Nasional merupakan punca ketegangan kaum, pecah belah rakyat, dasar ekonomi yang memperkayakan kroni dan mengabaikan rakyat, jurang pendapatan yang makin melebar serta penindasan hak asasi manusia.

Maka, adalah menjadi tanggungjawab Pakatan Rakyat untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan sebagai sebuah gabungan parti yang matang serta berani kerana hanya Pakatan Rakyat yang mampu menyediakan alternatif kepada politik lapuk kerajaan Barisan Nasional. Hanya Pakatan Rakyat yang mampu melawan politik perkauman, ekonomi kroni dan ketidakadilan sosial yang berleluasa.

Kerjasama Pakatan Rakyat kunci kejayaan

Justeru, saya tidak perlu berdolak-dalik untuk mengatakan bahawa terdapat banyak lagi ruang kerjasama dan kesefahaman yang boleh dicapai dalam Pakatan Rakyat. Pada saya, Pakatan Rakyat negeri Kedah kini berada dalam kedudukan terbaik untuk mencapai hasrat ini.

Malah, di peringkat Parti DAP negeri Kedah sendiri, kami telah melakukan perubahan struktur organisasi bagi menyediakan barisan kepimpinan terbaik – melalui gabungan pemimpin muda dan pemimpin berpengalaman – untuk menjayakan misi besar Pakatan Rakyat bagi menawan kembali negeri ini.

Saya percaya pucuk pimpinan parti-parti komponen yang lain juga mempunyai pendirian yang sama, dan saya yakin masa yang akan datang ini bakal menyaksikan penggemblengan yang padu antara ketiga-tiga parti.

Sekali lagi saya mengucapkan tahniah atas kejayaan DAP Kedah menubuhkan Pusat Komuniti Derga berdasarkan konsep “kemasyarakatan”, di mana pusat itu bukan sahaja sekadar tempat aduan orang awam tetapi pusat kegiatan aktiviti-akiviti masyarakat.

Pada masa yang sama, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyokong Pakatan Rakyat di Alor Setar atas sokongan yang kuat dalam Pilihan Raya Umum yang lepas dan juga di masa akan datang.

Terima kasih dan selamat maju jaya.

Zairil Khir Johari Pengerusi Interim DAP Kedah & Ahli Parlimen Kawasan Bukit Bendera