Kerajaan patut perangi jenayah dengan serius bukan mimpi siang nak hidupkan kembali undang-undang zalim

Saya membantah cadangan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi untuk menggubal akta baru untuk mengganti Ordinan Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan sebelum ini. Alasan beliau ialah jenayah semakin meningkat.

Yang peliknya, Menteri Dalam Negeri sebelum ini, Hishammuddin Hussein telah mengatakan bahawa kejadian jenayah yang tinggi hanyalah persepsi semata-mata. Ini sekali lagi menunjukkan bagaimana kerajaan Barisan Nasional terus memperbodohkan rakyat dengan pelbagai maklumat yang mengelirukan.

Cadangan Zahid Hamidi juga membuktikan kerajaan telah gagal menanangi masalah jenayah. Dan masalahnya, daripada memberi tumpuan kepada isu jenayah, kini Menteri ingin menghidupkan kembali satu akta zalim yang sering diperalatkan untuk menindas rakyat terutamanya ahli politik dan penyokong pembangkang.

Kegagalan kerajaan bukan sahaja mendatangkan parah kepada rakyat yang menjadi mangsa jenayah dan hidup dalam ketakutan, malah merbahayakan nyawa anggota polis kita.

Saya menggesa kerajaan melaksanakan empat perkara di bawah bagi menghadapi jenayah dan jangan membuang masa bermimpi siang untuk membawa menghidupkan kembali akta zalim.

    1) memperbaiki undang-undang jenayah yang sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah (Criminal Procedure Code) untuk memperkasakan PDRM dengan kuasa yang berpatutan bagi menghadapi penjenayah masa kini;

    2) meningkatkan kecekapan polis dalam menanangi jenayah dan bukan membuat kerja intipan politik. Apabila kerajaan hanya memperuntukkan 9% sumber manusia PDRM untuk kerja-kerja Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan selebihnya untuk operasi-operasi lain, maka bukan sahaja kecekapan polis merundum malah kerajaan merbahayakan anggota polis yang melawan jenayah dengan menyusutkan sumber untuk operasi yang penting tersebut;

    3) membanteras rasuah dan meningkatkan profesionalisme PDRM melalui perlaksanaan segera Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) yang bukan sahaja akan bertindak ke atas anggota yang menyalahguna kuasa tetapi juga bertanggungjawab dalam kenaikan pangkat pasukan polis agar anggota yang baik dan cekap akan diberi kenaikan tanpa campurtangan politik. Bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan sendiri telah mengaku bahawa kerajaan termasuk Menteri Kabinet sering campurtangan dalam urusan polis;

    4) melaksanakan dasar ekonomi yang adil bagi memastikan kebajikan semua lapisan masyarakat terpelihara bagi membanteras gejala sosial seperti jenayah. Pembangunan ekonomi dan sumber kekayaan negara tidak patut menguntungkan kroni dan taukeh besar sahaja. Mungkin sudah tiva masanya kerajaan mengambil ikhtibar daripada manifesto Pakatan Rakyat dan melaksanakan dasar-dasar keadilan ekonomi seperti caruman sosial wanita RM600 setahun, penurunan harga kereta dan harga minyak, memperbaiki sistem pengangkutan awam, penghargaan warga emas RM1,000 setahun. Selain itu, kerajaan juga patut mengatasi masalah "underemployment" di mana terdapat ketidakpadanan antara pekerjaan sebenar dan pekerjaan yang diinginkan. Contohnya, kerajaan tidak patut mewar-warkan kadar pengangguran yang rendah apabila rakyat yang bekerja mendapat gaji yang rendah dan kos kehidupan semakin meningkat.

Steven Sim Chee Keong Ahli Parlimen Kawasan Bukit Mertajam