Penilaian separuh masa 100 hari pertama: Paul Low lebih kepada seorang pembela kuasa berbanding daripada seorang reformis

Laporan Barometer Rasuah Global (Global Corruption Barometer, GCB) yang diumum oleh Transparency International-Malaysia (TI-M) tidak mengejut. Kegagalan kerajaan dalam menanangi rasuah adalah perkara yang rakyat sudah sedia maklum dan juga satu perkara yang menyebabkan rakyat sakit hati. Walaupun tanpa laporan ini, rakyat sudah tidak yakin bahawa kerajaan mampu menyelesaikan gejala rasuah. Pada tahun 2012 Malaysia telah dinobat sebagai "Juara Rasuah" selepas mencatatkan prestasi paling teruk dalam Laporan Siasatan Rasuah (Bribe Payers Survey) oleh Transparency International.

Justeru, amat jelas sekali, tindakan Perdana Menteri menandatangani ikrar integriti sebelum Pilihanraya Umum ke-13 dan melantik Paul Low menjadi "Menteri Integriti" adalah satu sandiwara. Kini sudah separuh daripada 100 hari pertama Paul Low menjadi Menteri, namun beliau terbukti bukan suara reformis dalam dalam kerajaan, tetapi lebih kepada pembela kerajaan yang sudah tercemar oleh rasuah.

Paul Low telah mempertahankan perkara-perkara yang tidak patut dipertahankan. Contohnya beliau mempertahankan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang mendapat kritikan banyak pihak kerana telah hilang integriti, dan menolak untuk menegakkan tuntutan rakyat dan saranan Laporan Suruhanjaya Diraja Tun Dzaiddin tahun 2005 iaitu menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Dalam separuh masa kedua 100 Hari Pertama beliau, ada dua perkara yang boleh Low lakikan demi membuktikan keikhlasan untuk pembaharuan dalam kerajaan, iaitu reformasi dua badan yang paling rasuah dalam pandangan rakyat mengikut laporan Barometer Rasuah Global iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan parti-parti politik:

Memansuhkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)

Pertama sekali, beliau patut memansuhkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC). Selepas dua minggu Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan saya mendedahkan pengawai penyiasat kanan terlibat dalam kes Teoh Beng Hock, akhirnya pengawai penyiasat tersebut digugurkan daripada pasukan bertindak menyiasat kes kematian dalam tahanan, dan pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) juga di tukar ke agensi kerajaan lain. Ini jelas menunjuk bahawa Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIc) gagal sama sekali. Paul Low patut menggunakan peluang ini untuk mencadangkan Bil untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Hanya melalui penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) baru boleh mengembalikan integriti dan professionalisme PDRM dan seterusnya menanangi kadar jenayah yang sedang meningkat. Saya juga mencadangkan IPCMC bukan sahaja mengambil tindakan displin terhadap polis, malah juga mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dalam hal ehwal kenaikan pangkat dalam PDRM. Ini mampu memastikan pegawai polis yang baik dan cekap diberi peluang kenaikan pangkat dan mengelakkan campur tangan politik seperti yang didedahkan oleh bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan.

Pembaharuan dalam pembiayaan politik (political financing)

Kedua, Paul Low patut melaksanakan prinsip-prinsip yang diketengahkan dalam buku terbitan Transparency International Malaysia pada 2012 bertajuk "Reforming Political Financing in Malaysia"; ketika itu, Paul Low merupakan presiden Transparency International Malaysia. Rasuah dalam parti-parti politik merupakan ibu kepada segala rasuah kerana ia berpotensi menjejaskan setiap peringkat kerajaan. Paul Low patut melaksanakan kesemua 22 saranan Transparency International Malaysia untuk membuktikan bahawa beliau bukan munafik. Walau bagaimanapun 6 daripada 22 saranan tersebut patut dilaksanakan serta-merta:

  1. pembaharuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), termasuk mengugurkan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR bagi mengembalikan kebebasan dan intergriti SPR;

  2. mengehadkan sumbangan kewangan individu atau kumpulan kepada parti-parti politik, mewajibkan parti-parti politik mengisytiharkan akaun mereka termasuk sumber-sumber kewangan;

  3. mengehadkan perbelanjaan parti-parti politik dan bukan sahaja mengehadkan perbelanjaan calon seperti masa kini;

  4. melarang parti-parti politik memiliki atau terlibat dalam perniagaan sama ada secara langsung atau secara tidak langsung;

  5. melaksanakan peruntukan dana daripada kerajaan secara telus dan adil kepada parti-parti politik;

  6. melarangkan parti-parti politik memiliki mana-mana media untuk memastikan persaingan yang adil.

Kedua-dua badan ini adalah penjaga negara, polis menjamin keselamatan kita, ahli-ahli politik yang professional menjamin kemajuan negara kita. Oleh itu dalam 50 hari yang akan datang, Paul Low patut menunjuk bahawa beliau adalah seorang "Menteri Intergriti" yang benar-benar berfungsi, beliau adalah seorang reformis dan bukan seorang pembela kuasa semata-mata.

Steven Sim Chee Keong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAPSY & Ahli Parlimen Kawasan Bukit Mertajam