Vandalisme tiada tempat dalam politik baru Malaysia

Politik yang saya percaya adalah usaha berterusan untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat. Politik yang saya yakini juga adalah politik yang berteraskan idea dan perdebatan fikiran.

Oleh kerana itu, saya berasa kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab mereka yang melakukan vandalisme pada papan iklan milik Urban Development Authority (UDA) di kawasan Tanjong Tokong yang tertera gambar Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak dan ayahandanya yang juga Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak.

Saya menghormati jasa Tun Razak sebagai tokoh yang banyak menyumbang dalam pembangunan negara bangsa, khususnya dalam usaha mereformasikan demografi bandar dan menaikkan taraf hidup masyarakat migran di bandar melalui penubuhan UDA. Malah, Allahyarham ayahanda saya sendiri pernah menjadi rakan seperjuangan dengan beliau.

Tindakan mengaibkan Tun Razak dan Dato’ Sri Najib dengan merosakkan gambar mereka adalah perbuatan kebudak-budakan dan tidak mencerminkan budaya politik baru yang sedang saya perjuangkan. Meskipun saya dan Dato’ Sri Najib berbeza dari segi pandangan politik, namun saya tetap yakin bahawa tumpuan harus diberikan kepada perdebatan idea, dasar dan ideologi – bukan serangan peribadi atau fizikal.

Saya mengecam sekeras-kerasnya perbuatan vandalisme ini dan berharap agar semua pihak dapat bersama-sama mencegah perbuatan khianat dan dangkal seperti ini. Semoga dengan sokongan segenap lapisan masyarakat, usaha untuk membawa agenda politik baru akan dipermudahkan.

Zairil Khir Johari Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bukit Bendera