Kaji bilangan pekerja asing menjadi peniaga

Saya menyeru Kerajaan supaya mengkaji dengan sedalam-dalamnya bilangan pekerja asing yang menjadi peniaga. Kajian ini mestilah juga dibuat di bidang-bidang lain seperti perladangan dan pengilangan serta dampaknya di Malaysia.

Dalam 20 tahun ini, pelbagai sektor bergantung kepada pekerja asing dengan izin dan tanpa izin (PADI dan PATI). Walaupun Kerajaan mengatakan pengupahan pekerja asing adalah amalan sementara sahaja, tetapi kecenderungan ini merupakan sementara untuk selama-lamanya. Perkara pokok ini berlaku juga di lain negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail menegaskan semasa sesi soal-jawab di Parlimen bahawa setakat ini bilangan PADI adalah 1.5 juta orang dan bilangan PATI 1.3 juta orang. Ini bukan angka yang sebenar untuk PATI. Kita tidak tahu keadaan yang sebenarnya. Satu telahan ialah 4 juta PATI dalam negara dan 1.3 juta hanya di Sabah dan Sarawak.

Isu pekerja asing adalah rumit. Kita berharap program-program kerajaan untuk mengurangkan pekerja asing di pelbagai sektor dapat dijayakan. Sementara itu, orang ramai terus bimbang.

Dr Tan Seng Giaw Ahli Parlimen Kawasan Kepong