Paul Low melaksanakan pembaharuan separuh masak maka secara langsung mengekalkan budaya rasuah dalam BN

Saya menunjuk kepada jawapan yang diberi oleh “Menteri Integriti” Paul Low terhadap soalan Parlimen saya pada 11 Julai 2013.

Soalan saya berbunyi:

Sim Chee Keong [Bukit Mertajam] minta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan akan melaksanakan 22 saranan Transparency International-Malaysia (TI-M) dalam memorandum Reform of Political Financing in Malaysia oleh TI-M. Jika ya, bila dan jika tidak, mengapa.

Sekali lagi Paul Low memainkan peranan pembela rejim dan mengatakan bahawa 8 daripada 22 sasaran cadangan telah dilaksanakan secara sebahagian atau sepenuhnya. Lapan saranan tersebut ialah:

  1. Memperkenalkan mekanisme yang sesuai untuk mempertingkatkan kebebasan cara berfungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR);

  2. Menjadikannya mandatori supaya perbelanjaan pilihanraya parti politik dan calon diaudit secara bebas oleh juruaudit bertauliah sebelum dikemukakan kepada SPR;

  3. Mencegah pertubuhan yang terkait dengan parti politik daripada digunakan sebagai saluran untuk pendanaan politik;

  4. Melarang parti politik menerima derma asing;

  5. Mengenakan had perbelanjaan aktiviti pilihan raya oleh parti politik;

  6. Melibatkan semua pemegang saham dalam keputusan syarikat untuk sumbangan politik

  7. Memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984;

  8. Membenarkan akses sama rata dan bebas terhadap media awam untuk semua kumpulan kepentingan di bawah Akta Parti Politik.

Menteri juga mengatakan bahawa baki 22 saranan yang lain “masih sedang dalam kajian kebolehlaksanaan”. Maklumbalas Menteri mempunyai tiga masalah:

  1. Pertama sekali, pembaharuan yang dilaksanakan paling hebat pun hanyalah "separuh masak" sahaja. Sebagai contoh, reformasi SPR tidak lengkap tanpa pengerusi dan timbalan pengerusi yang bermasalah dan telah hilang keyakinan rakyat digugurkan. Contoh satu lagi, pada masa kini, pengehadan perbelanjaan pilihan raya hanya dikenakan ke atas calon-calon dan bukan parti-parti serta tiada satu mekanisme yang efektif untuk memastikan ketelusan. Satu lagi contoh; media arus perdana masih dimiliki oleh parti-parti politik pemerintah dan masih dikawal oleh kerajaan, maka, tiada liputan media yang bebas dan adil kepada semua pihak berkepentingan.

  2. Kedua, asas yang penting bagi TI-M untuk mengemukakan 22 saranan tersebut ialah “untuk memastikan ketelusan kewangan kempen pilihan raya dan juga sumber kewangan aktiviti-aktiviti parti politik luar tempoh kempen”. TI-M juga telah menggariskan beberapa kerisauan dalam laporan mereka:

    a. Rejim kawalan pembiayaan politik yang lemah;

    b. Satu medan permainan yang tidak adil di pilihan raya peringkat negeri dan persekutuan apabila sesetengah pihak mempunyai lebih akses kepada sumber kewangan dan lain-lain;

    c. Ahli-ahli politik yang mempunyai sumber kewangan yang terselindung boleh menjurus ke arah rasuah dan penyalahgunaan kuasa;

    d. Politik puak (Factionalism) yang serius yang tidak berdasarkan perbezaan ideologi atau politik tetapi berdasarkan pemimpin politik mana yang mempunyai keupayaan terbesar untuk mengagihkan wang menawan sokongan akar umbi.

    Maka reformasi separuh masak kerajaan pada masa kini bukan sahaja gagal untuk menangani masalah-masalah ini malah menghalalkan segala kepincangan dalam pembiayaan politik. Sebagai contoh, oleh kerana pengehadan perbelanjaan pilihan raya yang separuh masak, calon-calon pembangkang mempunyai keupayaan kewangan yang terhad dan dihadkan oleh undang-undang walhal parti pemerintah mempunyai dana yang cukup untuk menyokong calon-calon mereka. Seperti dalam satu kes baru-baru ini di mana Pakatan Rakyat telah mendedahkan seorang calon Barisan Nasional telah membelanjakan lebih daripada 10 ganda dana yang dibenarkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lepas.

  3. Akhir sekali, saya tidak faham mengapa Paul Low tidak melaksanakan kesemua 22 saranan TI-M dan menggunakan alasan lapuk yang selalu digunapakai oleh kerajaan iaitu: “masih sedang dalam kajian”. Manifesto TI-M tersebut telah disiapkan selepas kajian lebih setahun oleh ahli-ahli akademik yang berwibawa dan telah melibatkan semua pihak berkepentingan sama ada tempatan dan antarabangsa, termasuk agensi-agensi kerajaan, ahli-ahli politik daripada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional dan juga bekas Perdana Menteri iaitu Dr Mahathir Mohamad and Abdullah Ahmad Badawi. Mengapa Paul Low melambatkan perlaksanaan 22 saranan tersebut apabila beliau kini diberi peluang untuk merealisasikan prinsip ketelusan yang beliau ketengahkan selama ini sebagai presiden TI-M. Kita hanya mempunyai tiga pilihan jawapan iaitu 1) Paul Low tidak mampu menyelesaikan budaya rasuah yang sudah berakar kukuh dalam Barisan Nasional, 2) beliau ialah seorang “cakap tidak serupa bikin” atau dalam kata lain, munafik, atau 3) paling teruk, kedua-dua jawapan 1) dan 2) adalah benar.

Sebelum ini, saya telah menyenaraikan 6 saranan daripada 22 saranan TI-M yang saya percaya amat kritikal dan patut dilaksanakan serta-merta manakala yang lain patut dilaksanakan secepat mungkin:

  1. pembaharuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), termasuk mengugurkan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR bagi mengembalikan kebebasan dan intergriti SPR;

  2. mengehadkan sumbangan kewangan individu atau kumpulan kepada parti-parti politik, mewajibkan parti-parti politik mengisytiharkan akaun mereka termasuk sumber-sumber kewangan;

  3. mengehadkan perbelanjaan parti-parti politik dan bukan sahaja mengehadkan perbelanjaan calon seperti masa kini;

  4. melarang parti-parti politik memiliki atau terlibat dalam perniagaan sama ada secara langsung atau secara tidak langsung;

  5. melaksanakan peruntukan dana daripada kerajaan secara telus dan adil kepada parti-parti politik;

  6. melarangkan parti-parti politik memiliki mana-mana media untuk memastikan persaingan yang adil.

Enam langkah ini adalah penting kerana ianya merupakan asas kepada reformasi yang lebih menyeluruh bagi aktiviti pembiayaan politik di Malaysia. Enam saranan ini bukan sahaja memastikan ketelusan dalam urusan kewangan untuk aktiviti-aktiviti politik tetapi juga memastikan medan yang lebih adil untuk semua pihak sama ada pembangkang atau kerajaan. Selepas itu, kerajaan perlu mengumumkan tempoh masa yang munasabah untuk melaksanakan kesemua 22 cadangan oleh TI-M.

Steven Sim Chee Keong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAPSY & Ahli Parlimen Kawasan Bukit Mertajam