Adakah Kementerian Pendidikan membayar YTL lebih tinggi daripada kadar pasaran untuk Chromebook?

Dalam satu kenyataan saya semalam, saya telah mendedahkan bahawa YTL Corporation Bhd dan anak syarikatnya telah dianugerahkan monopoli ke atas pelbagai projek yang menguntungkan oleh Kementerian Pendidikan bagi:

  1. Pemasangan jalur lebar 4G berkelajuan tinggi di bawah program 1BestariNet ke semua sekolah (RM663 juta bagi kontrak 2.5 tahun);

  2. Pelantar Pembelajaran Maya (VLE) untuk guru-guru, pelajar dan ibu bapa (RM250.5 juta untuk yuran pelesenan bagi suatu jangka masa tetap dan RM262.8 juta bagi kos pengurusan dan penyelenggaraan); dan

  3. Pembekalan komputer riba Chromebook di bawah program “1 Student 1 Device” (RM139.6 juta untuk tempahan 116,399 unit permulaan pada kos RM1,200 setiap unit).

Saya juga telah menyatakan bagaimana sebahagian besar daripada kos di atas akan berulang, khususnya kos pelesenan dan penyelenggaraan. Pada masa yang sama, saya juga menegaskan bahawa pembelian Chromebook merupakan bom jangka kepada Kementerian, kerana Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah secara terbuka berjanji untuk menyediakan satu komputer riba kepada setiap murid di negara ini di bawah program “1 Student 1 Device”. Ini bermakna kos keseluruhan akan mencecah RM6.6 bilion bagi kesemua 5.5 juta murid pada harga RM1,200 setiap unit, iaitu harga yang dinyatakan kepada saya dalam jawapan Parlimen.

Saya kini ingin mempersoalkan kecekapan kos pembelian yang dicadangkan untuk Chromebook tersebut. Chromebook adalah komputer riba berdasarkan pengkomputeran awan (cloud computing), yang bermakna setiap unit bukan untuk pengguna unik. Dalam erti kata lain, pengguna boleh login menggunakan mana-mana Chromebook untuk mencapai maklumat dan fail-fail mereka, yang disimpan dalam “awan” atau pelayan jauh (remote server). Jawapan Parlimen yang saya terima pada 8 Julai 2013 menyatakan bahawa pihak Kementerian bercadang untuk memulakan pelancaran Chromebook tahun depan.

Menurut garis panduan Kementerian, berkenaan dengan pembekalan Chromebook[1], sekolah-sekolah akan dibekalkan sama ada Chromebook Samsung atau Chromebook Acer, kedua-duanya dilengkapi dengan Wi-Fi. Semakan awal saya pada harga runcit mendedahkan bahawa Samsung Chromebook dengan Wi-Fi dijual pada harga RM988 di Malaysia, manakala unit dengan 4G dijual pada harga runcit RM1,299. Malah, harga ini adalah lebih tinggi daripada kos unit yang sama di seluruh dunia, berdasarkan perbandingan yang saya lakukan di bawah:

Negara Kos Model
Malaysia RM988 Samsung Wi-Fi
RM1,299 Samsung 4G
Amerika Syarikat/Kanada RM633 Acer C7 Wi-Fi
RM792 Samsung Wi-Fi
Australia RM952 Acer C7 Wi-Fi
RM1,111 Samsung Wi-Fi
United Kingdom RM943 Acer C7 Wi-Fi
RM1,085 Samsung Wi-Fi

Jadual 1: Harga Chromebook di seluruh dunia

Oleh itu, persoalan timbul mengapa Kementerian membayar RM1,200 untuk Samsung Wi-Fi apabila unit yang sama dijual hanya pada harga RM988? Malah, pastinya Kementerian akan mendapat diskaun yang besar dengan pesanan berjumlah 116,399 unit dan bakal membeli lagi 5.4 juta unit lebih sejajar dengan program “1 Student 1 Device”?

Pada masa yang sama, tidakkah Kementerian akan mendapatkan tawaran yang lebih baik jika mereka membeli Chromebook terus daripada pengeluar, sama ada Samsung atau Acer?

Dalam kenyataan balas kepada soalan saya di Parlimen semalam mengenai rasional penganugerahan ketiga-tiga projek tersebut kepada YTL, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata bahawa penggunaan Chromebook adalah lebih menjimatkan berbanding kos pembinaan makmal komputer yang baru di sekolah. Beliau telah memaklumkan bahawa penggunaan Chromebook akan menelan belanja RM86,700 setiap kelas, berbanding kos sebanyak RM150,000 untuk membina makmal komputer biasa.

Sekiranya begitu, tidakkah ia lebih menjimatkan jika Kerajaan membeli Chromebook secara langsung daripada pengeluarnya, berbanding kos yang lebih mahal melalui YTL, sedangkan syarikat tersebut bukan pengeluar atau pengedar komputer?

Zairil Khir Johari Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP & Ahli Parlimen Kawasan Bukit Bendera