Surat kepada Menteri Kewangan Kedua untuk mendapat penjelasan berkenaan dengan pengecualian duti eksais dan cukai jualan kepada warga asing yang mengambil bahagian dalam MM2H

Ingin dimaklumkan bahawa saya telah menulis surat kepada Menteri Kewangan Kedua untuk mendapat penjelasan daripadanya berkenaan dengan pengecualian Duti Eksais dan Cukai Jualan kepada warga negara asing yang mengambil bahagian dalam program Malaysia My Second Home (MM2H).

Dalam satu sidang media pada 5 Julai 2013, saya telah membongkarkan bahawa kerajaan persekutuan telah memberi pengecualian yang dimaksudkan di atas kepada warga asing yang mengambil bahagian dalam program MM2H sedangkan rakyat Malaysia tidak diberi sebarang peluang untuk memiliki kereta mereka tanpa perlu membayar kedua-dua cukai yang dimaksudkan itu.

Saya juga menyifatkan dasar kerajaan ini adalah tidak adil dan bersifat diskriminasi terhadap rakyat Malaysia sendiri. Sehingga ke 15 Julai, saya tidak membaca apa-apa maklum balas daripada pihak yang berkenaan tentang kepincangan dasar ini walaupun sidang media ini mendapat liputan luas dalam media elektronik dan media cetak.

Justeru itu, saya berharap Menteri Kewangan Kedua, YB Dato' Seri Haji Ahmad Husni bin Mohamad Hanadzlah, boleh memberi maklum balas umum tentang perkara ini secepat mungkin. Surat saya juga telah dihantar kepadanya melalui emel dan diharap beliau dalam memberi maklum balasnya dalam masa terdekat.

Berikut ialah isi kandungan surat saya:

“15 Julai 2013

Ruj Tuan:

Ruj Kami: KT/2013/Julai/Bil.11

YB Dato' Seri Haji Ahmad Husni bin Mohamad Hanadzlah,
Menteri Kewangan II,
Kompleks Kementerian Kewangan,
No. 5 Persiaran Perdana, Presint 2,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62592 WP Putrajaya.
Tel: 03-88824155, Faks:03-88823787
Emel: [email protected]
Melalui pos dan emel

YB Dato’ Seri,

PENGECUALIAN DUTI EKSAIS DAN CUKAI JUALAN KEPADA WARGA ASING UNTUK MEMBELI SEBUAH KENDERAAN PEMASANGAN TEMPATAN (CKD) YANG MENYERTAI PROGRAM MALAYSIA MY SECOND HOME (MM2H)

Saya ingin merujuk kepada perkara di atas dan membawa perhatian YB Dato’ Seri tentang dasar Kerajaan Persekutuan membenarkan pengecualian duti eksais dan cukai jualan kepada warga luar negara yang menyertai Malaysia My Second Home (MM2H) untuk membeli sebuah kenderaan pemasangan tempatan (Complete Knock Down - CKD).

2. Saya sedia maklum bahawa layanan yang sama tidak diberi kepada rakyat Malaysia sendiri, khususnya rakyat Malaysia yang banyak menyumbangkan tenaga kepada pembangunan negara, baik dari segi cukai pendapatan ataupun pembayaran cukai-cukai yang lain.

3. Diharap pihak YB dapat menyemak semula dasar yang bersifat diskriminasi terhadap rakyat Malaysia ini dan seterusnya membenarkan pengecualian dalam bentuk yang sama kepada rakyat Malaysia agar rakyat Malaysia boleh memiliki kenderaan yang berkualiti tanpa perlu membayar harga yang terlampau tinggi.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku”

Lau Weng San Setiausaha Organisasi Negeri DAP Selangor & ADUN Kampung Tunku