Perbelanjaan Hari Belia 2012 mencecah RM55 juta?

Pada tahun lepas, satu dokumen tuntutan kewangan telah muncul di Internet, mendakwa bahawa kontraktor yang terlibat dalam program Hari Belia 2012, Stadium First, telah menuntut pembayaran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebanyak RM10.6 juta iaitu 70% daripada keseluruhan kos perkhidmatan dan bekalan oleh Stadium First berjumlah RM15.2 juta. Jumlah keseluruhan ini termasuk RM2.04 juta untuk kos artis K-Pop dari Korea Selatan. Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Mohid Mohamed mengaku bahawa itu merupakan invois awal untuk penganjuran Hari Belia 2012.

Kos ini juga hampir kepada peruntukkan asal untuk penganjuran Hari Belia oleh KBS sebanyak RM15 juta.

Persoalan terbaru ialah, mengapa angka ini meningkat RM12 juta lagi sedangkan Kementerian juga berkata bahawa tajaan pihak swasta berjumlah RM28 juta. Ini menjadikan jumlah keseluruhan Hari Belia sebanyak RM55juta!

Jika program tersebut berlangsung selama 5 hari, bermakna kerajaan telah membelanjakan purata RM11 juta sehari!

Dua soalan genting untuk Menteri Belia dan Sukan

Saya hanya ada dua soalan untuk Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan saya tahu hal ini berlaku sebelum beliau menjadi Menteri. Justeru saya mohon beliau menjawab soalan ini dengan jujur bagi menunjukkan komitmen beliau terhadap ketelusan agar menjadi teladan kepada anak muda kita.

  1. Mengapa kos Hari Belia 2012 bertambah begitu mendadak sedangkan Mentri Belia dan Sukan1) pada ketika itu Ahmad Shabery Cheek menjelaskan bahawa tajaan pihak swasta jauh melebihi tajaan pada tahun sebelumnya iaitu RM10 juta pada tahun 2011, dan RM28 juta pada 2012.

  2. Saya juga pohon Menteri Belia dan Sukan memberikan pecahan kos kepada RM55 juta tersebut, termasuk dengan penajaan, dan senarai kontraktor ataupun pembekal yang dilantik serta kos perkhidmatan mereka setiap satu.

Perbelanjaan PRU mensasarkan anak muda?

Saya nak tegaskan di sini, sebagai anak muda, saya tak nampak manfaatnya untuk membelanjakan berpuluh-puluh juta hanya untuk hiburan lima hari. Ditambah pula kedekatan dengan PRU13 menyebabkan timbul syak bahawa jumlah RM55 juta tersebut adalah belanja pilihan raya kerajaan Barisan Nasional yang mensasarkan anak muda. Ucapan Perdana Menteri semasa majlis perlancaran jelas menunjukkan bahawa Kementerian telah mengambil kesempatan Hari Belia itu untuk menyebarkan propaganda kerajaan bagi meraih undi anak muda.

Siapa untung, anak muda ataupun kontraktor?

Persoalan seterusnya ialah, adakah kos yang dibelanjakan ini membawa lebih banyak manfaat kepada anak muda ataupun kontraktor-kontraktor yang memperoleh durian runtuh daripada perbelanjaan gergasi tersebut.

Jika kerajaan ingin membelanjakan RM 55 juta untuk anak muda, saya cadangkan banyak lagi tempat yang boleh diperbaiki. Contohnya, ada 4 sekolah di kawasan saya tidak mempunyai padang, iaitu SRJKT Kampung Baru, SRJKT Ladang Alma, SRJKC Keow Kuang. Dan jangan ingat hanya sekolah jenis kebangsaan sahaja yang tiada padang, malah SK Machang Bubok, yang sudah berusia 100 tahun sehingga kini pun tiada kemudahan yang begitu asas iaitu padang sekolah.

Baru-baru ini, ada sekumpulan 43 orang pelajar cacat penglihatan daripada SRK Bukit Minyak telah mengadu kepada saya bahawa mereka tidak lagi diberikan Brailler seperti dahulu. Ini telah menyulitkan mereka untuk mengaji terutamanya selepas waktu sekolah. Setiap Brailler berharga kira-kira RM2, 250. Wang yang dibelanjakan untuk hiburan satu hari berhibur semasa Hari Belia 2012 iaitu RM 11 juta sudah boleh beli lebih kurang 5,000 buah Brailler bagi membantu pendidikan anak-anak muda kita yang cacat penglihatan.

Akhir sekali, terbaru, kita dibelenggui masalah tahunan di mana pelajar kaum minoriti tidak mendapat tempat di universiti. Jika kos untuk seorang mahasiswa ke universiti sampai tamat pengajian ialah kira-kira RM50,000 seorang, dan ini saya ambil panduan dari sebuah kolej swasta pengajian jurusan undang-undang, maka wang bagi hiburan Hari Belia boleh membiayai lebih 1,000 orang anak muda kita untuk masuk universiti.

Steven Sim Chee Keong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAPSY & Ahli Parlimen Kawasan Bukit Mertajam