Kantin tandas adalah satu penghinaan terhadap murid-murid bukan Islam

Insiden yang berlaku di SK Seri Pristana, Sungai Buloh adalah sesuatu yang amat memalukan Kememterian Pendidikan Malaysia. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku di negara kita. Saya tidak mengerti bagaimana murid- murid bukan Islam di sekolah itu ditempatkan di tandas untuk makan pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Saya tidak mengerti sama ada tindakan atau perbuatan itu menunjukkan kebodohan atau keangkuhan guru besar terhadap anak-anak kecil itu. Lebih-lebih lagi perbuatan keji seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan mencemari bulan Ramadhan yang suci.

Apa salahnya murid- murid bukan Islam dibenarkan makan di kantin sekolah? Kenapa tempat makan harus diubah pada bulan Ramadhan? Ini adalah tidak logik kerana di semua sekolah-sekolah yang lain perkara seperti ini tidak pernah berlaku. Murid- murid Islam akan berada di kelas dan tempat-tempat yang lain. Murid-murid bukan Islam pula dibenarkan makan di Kantin. Ini adalah budaya yang diamalkan di sekolah-sekolah kita selama ini. Tidak timbul apa-apa masalah dengan cara yang diselenggarakan ini.

Tambahan pula, cara ini membolehkan semua anak-anak memahami agama, adat dan budaya masing- masing dengan penuh penghormatan. Tetapi, apa yang berlaku di SK Pristana ini akan mewujudkan perasaan marah dan benci antara sama lain. Ini adalah bertentangan dengan aspirasi untuk mencapai perpaduan nasional.

Kesian melihat gambar-gambar di mana anak-anak kita terpaksa makan di dalam tandas sekolah. Adakah guru besar dan guru-guru di sekolah itu tidak mempunyai perasaan dan keperimanusiaan langsung. Ini menunjukkan guru besar dan orang-orang yang terlibat dalam insiden itu benar- benar kurang ajar dan perlu dididik sebelum mereka mendidik anak-anak kita. Mereka ini tidak layak untuk memimpin sekolah kerana telah menunjukkan teladan yang amat negatif dan akan meninggalkan kesan buruk kepada kanak- kanak ini untuk selama- lamanya.

Bolehkah guru besar sekolah itu makan dalam tandas? Adakah guru besar dan guru- guru sekolah itu akan berasa senang dan membiarkan anak-anak mereka diwajibkan makan di dalam tandas? Sudah pasti jawapannya tidak. Jika tidak, bagaimana mereka sampai hati untuk membuat dan membenarkan perbuatan yang hina ini.

Angkuh atau Bodoh, yang mana satu? Walau apa sekali pun, pihak Kementerian Pendidikan harus mengambil tindakan yang tegas terhadap guru besar dan semua pihak yang terlibat dalam insiden ini.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Perak & beberapa NGO mendesak supaya tindakan segera diambil terhadap semua yang terlibat dalam isu 'kantin tandas'. Satu pertemua telah diadakan di Pejabat Pakatan Rakyat Perak malam semalam berhubung dengan perkara ini. Mesyuarat itu memutuskan supaya mendesak Kementerian Pendidikan memecat guru besar yang tidak bertanggungjawab itu. Harap Kementerian Pendidikan tidak akan menutup mata dan memberi apa-apa alasan untuk menyelamatkan pihak-pihak yang terlibat.

V. Sivakumar Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & Ahli Parlimen Kawasan Batu Gajah