MIC mengaku kerajaan tidak menepati janji 1500 tempat Matrikulasi

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pendidikan telah bercakap bohong dalam Parlimen pada 27 Jun 2013. Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa 1500 tempat matrikulasi telah diberikan kepada pelajar- pelajar India pada tahun 2012. Manakala bagi tahun 2013 pula, beliau berkata 1850 pelajar-pelajar India telah diberi peluang untuk mengikuti program matrikulasi di seluruh negara. Ini adalah satu penipuan yang besar dan merupakan penghinaan kepada Dewan yang mulia. Sebagai Timbalan Perdana Menteri beliau tidak sepatutnya memberi jawapan yang mengelirukan dan tidak jitu semata- mata untuk memesong daripada keadaan yang sebenar.

Perkara yang lebih memalukan ialah apabila Timbalan Menteri Pendidikan YB Kamalanathan juga menjadi Pak Angguk dan menyokong kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen. YB Kamalanathan juga telah beberapa kali membuat kenyataan dalam media bahawa kerajaan telah menepati janji dan tidak menipu masyarakat India. Beliau bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin UMNO untuk menipu masyarakat India. Beliau tidak layak memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan kerana sanggup menipu kaum sendiri untuk kepentingan politik dan kedudukannya.

Hari ini, satu kenyataan akhbar telah dibuat oleh Bendahari Agung MIC, Jaspal Singh mendedahkan perkara yang sebenar. Dalam kenyataannya beliau berkata janji kerajaan untuk memberi 1500 tempat matrikulasi kepada pelajar- pelajar India tidak dipenuhi. Mengikut statistik yang didedahkan oleh beliau hanya 1142 tempat sahaja yang diberikan kepada pelajar- pelajar India. Kenyataan beliau itu adalah bertentangan dengan apa yang disebutkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat. Terbukti bahawa satu penipuan besar telah dibuat oleh Menteri Pendidikan dengan kerjasama MIC. Pendedahan Jaspal Singh memang tidak dapat dinafikan walaupun jumlah yang diberikan itu masih boleh dipertikaikan.

Mengikut kajian yang dibuat oleh sebuah NGO, Malaysian Indian Education Transformation Association (MIETA), hanya seramai 862 pelajar berbangsa India ditempatkan di 13 buah pusat matrikulasi seluruh Malaysia pada tahun ini. Statistik yang diberikan oleh MIETA adalah lebih jitu kerana diperolehi daripada sumber- sumber yang boleh dipercayai. Jika pihak Kementerian Pendidikan mahu menafikan kejituan angka itu, maka adalah ersi untuk mempamerkan senarai nama pelajar-pelajar India yang diberikan tempat mengikut pusat matrikulasi. Tetapi, Kamalanathan tidak berani untuk berbuat demikian dan memberi alasan- alasan yang tidak munasabah. Selagi senarai itu tidak dipamerkan kepada umum, kerajaaan dan MIC tidak boleh membersihkan diri daripada tuduhan menipu masyarakat India.

V. Sivakumar Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak & Ahli Parlimen Kawasan Batu Gajah